Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

EUREKA! Mungkin itulah yang tercetus di minda sebahagian para bibliofil tatkala maklum berkenaan kewujudan laman web ini. Usaha tanpa mengenal putus asa seorang gadis, yang juga pengasas KL Book Exchange, Gladys Wong, membolehkan para pencinta buku saling menukar buku di antara mereka secara sukarela dengan harga buku sifar!

Melalui laman web oneforone.my, prosedur ringkas telah diberikan untuk para penggemar buku mendaftarkan diri. Setelah sempurna, mereka boleh saling memuat naik buku yang ingin dikongsikan dan memilih buku kegemaran seperti mana yang sudah sedia tersenarai.

Secara tidak langsung, ini ialah alternatif untuk para pencinta buku, mendapatkan bahan bacaan –terutamanya fiksyen inggeris- dengan kos paling minimum dan dalam masa yang sama mengelakkan koleksi buku-buku menjadi terbiar dan tidak dibaca, lalu terus tersimpan dan akhirnya tidak dimanfaatkan.

Secara lebih jelas, tatkala buku yang telah dimuat naik mendapat permintaan dari pengguna yang juga pelanggan buku, maka setiap transaksi buku yang berjaya membolehkan pemilik buku tersebut dapat mengumpul mata (point); dengan satu mata bersamaan sebuah buku yang telah berjaya ditransaksikan.

Dengan menggunakan sistem pengumpulan mata tersebut, membolehkan pemilik buku pula, memilih buku yang diminati seperti yang telah tersenarai pada platform laman web oneforone.my.

Antara muka laman sesawang oneforone.com (SYOT LAYAR: Editorial MukaSurat.my)

Keberkesanan seseorang pemilik menghantarkan buku secara pos akan dinilai dengan diberikan markah penilaian. Kaedah ini bertujuan untuk memberi keyakinan terhadap pelanggan untuk membuat permintaan terhadap sesuatu buku yang digemari melalui seseorang pemilik buku.

Ini secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan dan kebolehpercayaan para pengguna akan keberkesanan dan kredibiliti platform tukar buku atas talian tersebut.

Bagi membolehkan buku yang dipesan sampai dengan selamat dan baik, platform ini mencadangkan supaya pemilik buku menggunakan perkhidmatan penghantaran pos yang mempunyai sistem kesan dan jejak. Sebagai contoh, melalui Pos Laju, Flexi Pack, Pos Ekspres  dan sebagainya, mengikut kesesuaian dan bajet masing-masing.

Sekalipun caj dikenakan, sistem ini dilihat masih lagi berbaloi untuk para penggemar buku saling bertukar sesama mereka, kerana ternyata keterujaan ilmu maklumat dan pengalaman yang bakal didapati dan diperolehi dari buku yang dipesan pasti jauh lebih bernilai dan berharga.

Ketika dihubungi, beliau juga turut memberitahu usaha murni berstatus non-profit ini telah dilaksanakan dan sedang berkembang di sekitar ibu negara dan juga Pulau Pinang; secara fizikal.

“Selain oneforone.my, kami juga membuat pertukaran buku secara fizikal. Dibawah KL Book Exchange, setiap hari Ahad, minggu pertama setiap bulan, dan di Pulau Pinang, ahad minggu ketiga setiap bulan.”

Laman web tersebut adalah merupakan kesinambungan usaha beliau melalui aktiviti fizikal yang telah dimulakannya pada Mei 2014, dan sudah menampakkan kestabilan jika dibandingkan tatkala permulaan prakarsa pada sekitar tahun 2013.

Kronologi aktiviti tukar-tukar buku

Melihat timbunan buku yang masih lagi dalam keadaan baik terbiar di tempat kitar semula, telah membuatkan beliau berfikir dan mencari solusi supaya buku-buku tersebut dapat ‘diselamatkan’. Gladys Wong yang juga seorang bibliofil, pasti tidak tegar untuk membiarkan keadaan yang menyentuh ini daripada terus berlaku.

Dengan itu sekitar tahun 2013, beliau tekad untuk memberikan buku-buku tersebut peluang untuk ‘mengembara’ sekali lagi dan memberi manfaat kepada orang ramai yang meminatinya, seramai yang mungkin.

Antara koleksi yang dimiliki oleh KL Book Exchange

Berbekalkan semangat dan keyakinan tinggi, Gladys Wong memulakan langkah pertamanya dengan mewujudkan sebuah laman web sewaan buku di bawah nama Four Letr Word. Hal ini dapat direalisasikan hasil usaha sama rakan-rakan dan organisasi yang membekalkan buku-buku terpakai tersebut.

Pun begitu, laman sesawang kurang mendapat sambutan kerana hebahan serta pengiklanan yang terhad, membuatkan usaha murninya itu tidak mendapat liputan yang meluas dari sampai ke pengetahuan orang awam yang meminati buku, terutamanya novel bergenre fiksyen Inggeris.

Sekalipun begitu, hal ini tidak sedikitpun melemahkan semangat mahupun membuatkan beliau berputus asa. Langkah seterusnya diorak dengan bantuan idea bersama rakannya tatkala itu yang menjalankan Subang Jaya Book Exchange Program.

Akhirnya ilham untuk menjalankan program sendiri terlaksana untuk pertama kalinya pada 4 Mei 2014.

Melalui programnya yang diberi nama KL Book Exchange, orang ramai amnya, atau para peminat buku khususnya, dapat saling bertukar buku pada program tersebut secara percuma. Sebagaimana yang beliau maklumkan:

“Bawalah sebarang buku yang anda tidak perlukan lagi, letakkannya di atas rak dan pulanglah dengan membawa buku lainnya yang anda gemari. Ianya adalah pertukaran satu-dengan satu (one-to-one).”

Namun, sekiranya pelanggan tidak membawa buku mereka, tetapi mahu mendapatkan buku-buku terpakai yang dipamerkan pada aktiviti tersebut, mereka boleh memilikinya dengan harga sekitar RM5 hingga RM10, bergantung kepada keadaan buku. Wang yang terkumpul akan disalurkan kepada organisasi pembekal buku yang saling berkolaborasi bersama beliau.

Gladys Wong kini boleh berbangga dengan inisiatif pertukaran buku
Lokasi program

Menurut Gladys Wong, aktiviti pertukaran buku ini tidak sekadar berlokasi di Kuala Lumpur sahaja. Setelah setahun  mengusahakan KL Book Exchange, beliau meneruskan aktiviti bertukar-tukar buku ini di lokasi lain pula, iaitu sekitar Pulau Pinang.

Secara terperinci, KL Book Exchange dilaksanakan sekitar kawasan tempat letak kenderaan  terbuka Wisma TM, Taman Desa, Kuala Lumpur bermula jam 8.45 pagi hingga 10.45 pagi.

Manakala, lokasi di Pulau Pinang pula (Penang Book Exchange), bertempat di Beach Street (di hadapan Alliance Bank), Georgetown, bermula jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Aktiviti yang saban tahun berkembang ini, ternyata mendapat pengiktirafan dari Malaysian Book of Record sebagai aktiviti pertukaran buku terbesar di Malaysia, iaitu sebanyak 2,356 judul buku dengan penglibatan pengunjung seramai 1,982 orang!

 

Perancangan seterusnya

Melihat kepada penerimaan dan sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai, pastinya terdetik untuk mengetahui apakah perancangan seterusnya yang bakal dilakukan. Ketika dihubungi, beliau menyatakan bahawa masih belum lagi membuat perancangan untuk mengembangkannya dengan penambahan lokasi program book exchange ini, akan tetapi lebih menumpukan kepada perkembangan dan pembangunan laman web beliau, iaitu oneforone.my.

“…belum lagi merancang untuk mengembangkannya ke lokasi-lokasi lain tetapi lebih (memberikan penumpuan) kepada idea untuk membangunkan laman web oneforone.my untuk orang ramai saling bertukar buku.”

“Untuk membukanya ke lokasi lain memerlukan usaha yang tinggi, untuk Pulau Pinang sahaja, kami telah bergelut meneruskan survival selama satu tahun setengah.”

“Reaksi yang diterima agak teruk selama setahun diusahakan, dan hampir berputus asa. Hanya baru-baru ini sahaja sambutannya bertambah baik.”

“Agak bertuah kerana kami tidak berputus asa. Sekarang hanya lebih fokus kepada mempromosikan oneforone.my.”

“Biarkan segala-segalanya stabil terlebih dahulu, kemudian mungkin kami akan mulakan secara fizikal di negeri lain. Berkemungkinan Johor atau Melaka,” tambah beliau.

Sekiranya berminat untuk mengetahui program beliau, atau juga ingin turut serta dalam pertukaran buku secara atas talian boleh layari laman web tersebut (oneforone.my).

Selain itu, layari jjuga laman Facebook berkaitan KL Book Exchange di www.facebook.com/klbookexchange dan Penang Book Exchange di www.facebook.com/penangbookexchange untuk mengikuti aktiviti  yang telah atau bakal dilaksanakan.

Sememangnya usaha akan diteruskan, dan aktiviti sihat dan positif ini bakal menyusul pula pada minggu pertama Februari 2018 di lokasi ibu negara seperti yang telah dimaklumkan. Begitu juga di Pulau Pinang pada minggu ketiga (tertakluk kepada sebarang perubahan).

 

##

Comments

comments