Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

PADA awal Oktober 48SM, Julius Caesar tiba di Iskandariah purba. Beliau mengekori Pompey yang lari ke Iskandariah kerana pertelingkahan perang saudara.

Ketika itu, angin Etesian yang bertiup dari Laut Aegean tidak memungkinkan kapal-kapal meninggalkan Iskandariah. Jadi angkatan laut Caesar terpaksa bertahan di pelabuhan sedaya upaya. Dalam sebuah pertempuran sengit, pasukan Caesar terkepung. Untuk melepaskan diri ke Pulau Pharos yang berdekatan, Caesar mengarahkan kapal-kapal di pelabuhan Timur dibakar sebagai taktik berundur

Taktik itu berjaya, tetapi malang kebakaran itu merebak sehingga menjadi ribut api yang memusnahkan Perpustakaan Purba Iskandariah yang masyhur. Kisah ini ada disebutkan dalam versi sejarah Seneca dan Plutarch.

Walau bagaimanapun, ada dua lagi andaian tentang kemusnahan perpustakaan purba ini yang tidak kurang popular ini.

 

Teori konspirasi kemusnahan Perpustakaan Iskandariah

Pendapat kedua memalitkan nama ‘Amr bin al-‘Āṣ dalam pemusnahan koleksi Perpustakaan Purba Iskandariah. Menurut versi ini, apabila ‘Amr berjaya menduduki Mesir pada 642M, John Si Ahli Tatabahasa (John the Grammarian) bertemu beliau untuk berunding tentang keselamatan koleksi perpustakaan.

Namun, Khalifah ‘Umar telah mengeluarkan dekri kepada panglimanya bahawa mana-mana buku yang bertentangan dengan al-Quran adalah sesat, sedangkan yang selari dengan mesej al-Quran tidak lagi diperlukan kerana al-Quran itu sendiri sudah memadai.

Berdasarkan dekri itu, maka koleksi perpustakaan pun bertemu nasibnya, digunakan sebagai bahan api bagi memanaskan air di lebih 4000 rumah mandi awam Kota Iskandariah. Pengarang pertama yang menyebarkan kisah ini ialah Uskup Gregory Barhebræus yang menulis 500 tahun selepas peristiwa penawanan Mesir. Pandangan Barhebræus dipetik dan disebarkan oleh pengarang Barat lain selepasnya.

 

BACA: Pesona perpustakaan ahli hadis; al-Hāfiz al-Khatīb al-Baghdādī

 

Pandangan terakhir mengambil jalan yang sama sekali berbeza. Dalam bukunya The History of the Decline and Fall of the Roman Empire, Edward Gibbon berpendapat pihak yang memusnahkan koleksi perpustakaan itu ialah pihak Kristian yang diketuai Biskop Theophilus.

Tindakan Biskop Theophilus berpunca daripada Titah Perintah Theodosius yang melarang amalan pagan diteruskan. Ketika itu, amalan pagan termasuk aliran sains dan falsafah Greek yang dipelopori oleh para sarjana Perpustakaan Purba Iskandariah. Seorang pustakawan perempuan terkenal bernama Hypatia dianggap simbol kelompok ini, sehingga kisahnya difilemkan dengan judul Agora.

Filem Agora mendokumentasikan kisah hancurnya Perpustakaan Purba Iskandariah

Penyokong Biskop Theopilus dikatakan memusnahkan Kuil Serapis termasuk koleksi perpustakaan yang ada di situ pada 391SM. Perpustakaan Kuil Serapis dianggap sebagai perpustakaan cabang bagi Perpustakaan Iskandariah. Selepas itu, keganasan agama memuncak, sampai Hypatia terbunuh.

Ketiga-tiga kisah menunjukkan nasib koleksi Perpustakaan Purba Iskandariah telah menjadi tanda tanya dalam kalangan penyelidik sejak sekian lama. Peristiwa kebakaran besar pada 48SM itu sahaja dalam kaitannya dengan kemusnahan perpustakaan, telah dibincangkan selama 183 tahun oleh ahli filologi klasik, sejarawan dan ahli arkeologi.

Namun apakah yang menyebabkan perpustakaan ini menjadi begitu istimewa dan dibincangkan nasibnya sehingga berkurun-kurun?

 

Keistimewaan Perpustakaan Iskandariah

Hakikatnya, Perpustakaan Purba Iskandariah ialah perpustakaan yang sangat terkenal sejak zaman silam lagi. Koleksi perpustakaan itu dibangunkan oleh Ptolemy dengan cita-cita besar. Sebagai pemerintah kota Iskandariah, beliau mahu mengumpulkan seluruh sumber ilmu pengetahuan Greek untuk dijadikan bahan rujukan.

Jumlah sasaran koleksi yang ingin dicapai oleh Ptolemy ialah sebanyak 500 000 bahan. Satu cita-cita besar pada zaman itu, jika mengambil kira segala kemudahan perhubungan yang ada pada hari ini belum lagi wujud pada waktu itu.

Begitu juga apabila mengingatkan tiadanya kemudahan percetakan moden! Setiap buah buku disalin dalam tulisan tangan oleh penyalin.

Gambaran pelukis Perpustakaan Purba Iskandariah

Demetrius dari Phaleron adalah orang yang pertama dilantik dan diamanahkan oleh Ptolemy untuk membangunkan dan menyusun koleksi Perpustakaan Iskandariah. Demetrius adalah seorang sarjana besar di Athens, juga bekas gabenor yang membawa diri ke Iskandariah selepas berlaku kekacauan politik di Greek. Beliau boleh dianggap sebagai pustakawan pertama perpustakaan purba itu.

Beliau membangunkan koleksi berpandukan cara Plato, bermula dengan pengetahuan mengenai tataurus negara, kerajaan dan pemerintah. Hal ini demikian kerana menurut ajaran Plato, kemajuan perkhidmatan awam dan kebudayaan dianggap objektif berkembar mana-mana pemerintah yang bijaksana.

Ptolemy turut mengarang dan menyumbangkan karya sejarah mengenai kempen-kempen ketenteraan Iskandar Agung dan dirinya sendiri, lalu diserahkan kepada pihak Perpustakaan Iskandariah sebagai koleksi. Selain daripada sumbangan dalam kalangan diraja, Ptolemy turut menggalakkan pemimpin-pemimpin lain supaya mengirimkan pelbagai bentuk karya kepadanya, tidak kira yang dikarang oleh ‘pemuisi atau pengarang prosa, ahli retorik atau sofis, doktor atau pawang, ahli sejarah mahupun sesiapa sahaja’.

Hasil daripada kebesaran cita-cita dan panduan pembangunan koleksi yang dibuat, velum dan skrol papirus yang memuatkan pelbagai bidang ilmu berjaya dikumpulkan. Karya-karya dalam bidang kesusasteraan, puisi, perubatan, sains dan falsafah menjadi koleksi penting perpustakaan.

Kehebatan Perpustakaan Iskandariah juga bertitik tolak daripada konsep perpustakaan pada zaman itu yang merupakan satu entiti yang sangat berkait rapat dengan penyelidikan dan kesarjanaan. Dalam kompleks perpustakaan itu turut terdapat pusat penyelidikan dan pembelajaran di mana para sarjana zaman purba berkumpul dan mengajar, serta melakukan kajian dan mengarang.

Naungan pemerintah kepada para sarjana ini memarakkan suasana keilmuan di kota Iskandariah, menyerlahkan lagi kemasyhuran perpustakaannya.

Maka tidak menghairankan kisah Perpustakaan Purba Iskandariah masih diperkatakan sampai ke hari ini. Apatah lagi, suatu hubungan erat antara peradaban Barat yang bersumberkan pengetahuan Greek dan Rom  dengan perpustakaan itu wujud sebagai simbol keagungan silam mereka.

 

BACA: Histoire du livre: bidang buku rentas sejarah

 

Dibina semula

Oleh sebab itu, ketika kerajaan Mesir mengumumkan rancangan untuk menyalakan semula semangat perpustakaan purbanya melalui pembinaan Bibliotheca Alexandrina, bantuan mencurah-curah tiba dari negara-negara Barat. Pelbagai bentuk sokongan moral, material dan koleksi diberikan.

Sementara itu, andaian pengakhiran Perpustakaan Iskandariah masih tetap digembar-gemburkan mengikut kecenderungan pihak yang menyebarkannya.

Dalam sebuah  buku berjudul What Happened to the Ancient Library of Alexandria? susunan Mostafa El-Abbadi, para penyelidik masih tidak putus asa mencari sudut pandang dan kaedah baharu untuk melakar sejarah muktamad Perpustakaan Iskandariah.

Bibliotheca Alexandrina (Perpustakaan Iskandariah moden) di Mesir, kini

Bagaimanapun, orientalis Bernard Lewis berpendapat banyak bukti kukuh menunjukkan bukan ‘Umar atau ‘Amr yang bertanggungjawab atas kemusnahannya. Hal ini demikian kerana sumber lebih awal sama ada dari zaman pertengahan Islam yang begitu kaya persuratannya, sumber Koptik atau aliran Kristian lain, karya-karya Byzantine mahupun Yahudi sama sekali tidak menyebut tentang kejadian sepenting dan sebesar ini.

Barhebræus yang menjadi pintu masuk kisah ini ke Barat, hanya mencedoknya daripada dua orang penulis Muslim yang lain iaitu ‘Abd al-Latīf dan Ibn al-Qiftī dan kedua-dua sumber itu lebih bersifat mitos dan cerita rakyat berbanding fakta.

Malah Ibn Khaldun pun pernah menceritakan kisah yang betul-betul sama dalam karyanya, tetapi mengatakan peristiwa tersebut berlaku di Parsi terhadap karya-karya Zoroaster, juga atas arahan ‘Umar.

Selain itu, John Si Ahli Tatabahasa didapati tidak pernah hidup sezaman dengan ‘Amr tetapi meninggal dunia sekurun lebih awal. Jadi tidak mungkin John dapat bertemu dengan ‘Amr sama sekali ketika pembukaan Mesir.

Apapun versi pengakhiran Perpustakaan Purba Iskandariah yang kita terima, Bibliotheca Alexandrina kini berdiri teguh di pinggir Laut Mediterranean, menjadi simbol keagungan sebuah perpustakaan purba zaman silam yang terus diraikan. #

Comments

comments