Borhan Hadi

Graduan sains kesihatan dan penterjemah bertauliah. Aktif menulis ulasan buku di Goodreads

KANDUNGAN pameran ini sudah boleh dijangka daripada namanya. Pameran ini suatu pameran komprehensif berkenaan Tamadun Melayu.

Bahan-bahan pameran terdiri daripada manuskrip lama bersama buku-buku Melayu terawal yang dicetak, disokong oleh beberapa alat pandang dengar seperti video wawancara dan klip ringkas, rakaman audio serta tayangan filem melalui projektor. Sudut pameran ini terbahagi kepada lima bahagian mengikut urutan kronologikal: Pengenalan, Dunia Manuskrip Melayu, Pasaran Manuskrip Melayu, Zaman Percetakan Moden dan Kisah-kisah Warisan. Semua ini menghuni ruang dalaman galeri yang dari hujung ke hujung, panjangnya mungkin lebih sedikit sahaja daripada 50 meter.

sssss
Ruang masuk galeri pameran. Luas dan kemas, tidak berserabut. Lampu dimalapkan demi menjaga integriti manuskrip-manuskrip yang dipamerkan.

Peliknya, para pengunjung akan keluar daripada galeri ini dengan pengetahuan dan rasa yang sarat. 2 jam yang terhabis dirasakan belum mencukupi. Boleh jadi, sihir pameran ini adalah pada kejayaannya menghidupkan semula nilai estetika kesusasteraan Melayu lama menurut citarasa moden. Ini boleh dilihat dengan ketara pada unsur-unsur sekeliling di dalam galeri pameran.

Sebaik sahaja menginjakkan kaki masuk ke dalam galeri, perkara pertama yang akan mengusik deria pengunjung bukanlah ragam hiasan manuskrip yang gemilang warnanya lagi cemerlang coraknya; bukan juga visual interaktif yang menampilkan maklumat-maklumat sejarah berinformatif; sebaliknya ia adalah bunyi audio pembacaan hikayat dan deklamasi syair yang sayup-sayup bermain di belakang.

Julat audio ini diletakkan pada takah yang cukup rendah untuk tidak menganggu pengalaman para pengunjung meneliti bahan-bahan pameran, namun cukup jelas untuk isi bacaannya diikuti oleh mereka yang peka dan prihatin. Hikayat yang dibacakan dipetik daripada Sejarah Melayu dan Hikayat Muhammad Hanafiah, manakala cuplikan syair adalah daripada Syair Bidasari dan Syair Siti Zubaidah Perang Melawan Cina didendangkan dengan merdu sekali oleh bintang muda Singapura, Siti Shahirah Samad.

Terdapat signifikasi di sebalik pemilihan teks-teks yang dibacakan ini. Hikayat Muhammad Hanafiah lazim dibacakan dalam situasi yang getir terutamanya menjelang perang. Sejarah Melayu ada meriwayatkan bahawa hulubalang Melayu telah memohon kepada Raja supaya kisah Hikayat Muhammad Hanafiah dibacakan kepada mereka guna menaikkan semangat berperang melawan Feringgi (Portugis) esoknya. Manakala Syair Bidasari ialah sebuah dongengan rakyat yang sangat popular pada zamannya. Ia mengisahkan derita Siti Bidasari yang diseksa oleh Putri Lela Sari, permaisuri kepada Raja Johan Syah kerana dihasut cemburu buta.

Pendekatan imersif sebegini membawa pengunjung menghayati tradisi masyarakat silam dengan daya imaginasi. Untuk masyarakat zaman sekarang, membaca ialah suatu aktiviti perseorangan yang mungkin lebih biasa dilakukan dalam bilik. Namun untuk masyarakat tradisional di Nusantara, membaca adalah aktiviti berkelompok yang dilakukan di balai atau dataran awam.

Syair dan hikayat ini dibacakan oleh penyair dan penglipur lara pada lewat petang iaitu waktu berehat para tani dan nelayan. Kadang-kadang, jika teksnya panjang, dua tiga malam diperlukan untuk menghabiskan pembacaan sebelum diraikan dalam sebuah majlis kenduri.

 

Menilai tradisi Melayu

Aspek pendengaran (aural) dan lisan (oral) dalam tradisi kesusasteraan Melayu lama aspek berkembar yang sentiasa hadir bersama. Signifikasi ini sering kali diperlecehkan oleh sejarawan kontemporari sepertimana kandungan manuskrip-manuskrip ini turut ditempelak sebagai tidak logik, tidak historik atau penuh dengan fantasi.

Persoalan yang perlu ditanyakan kembali: adilkah untuk kita menilai manuskrip silam dengan kayu ukur masyarakat moden?

Masyarakat dahulu kala itu majoritinya buta huruf dan hidup dalam struktur sosial yang pekat unsur feudalismenya. Hikayat dan syair ini pula ditulis dengan maksud yang berkumpul: mendidik, memerihalkan cerita, mengkritik golongan penguasa atau sekadar menghibur (menglipur) hati yang lara. Kerana itu kisah-kisah ini telah dibungkus dengan perlambangan, alegori dan simbolisme agama guna mengendurkan isinya.

Kamus dwibahasa Inggeris-Melayu pertama yang diterbitkan pada 1701 dan disusun oleh Thomas Bowrey.

Manuskrip Melayu justeru menuntut cara penilaian yang bersesuaian dengan pengalaman historikal tempatan. Seperti yang dimaklumkan, teks-teks ini lahir daripada tradisi lisan yang diturunkan secara turun-temurun sebelum ia di’beku’kan ke dalam bentuk tulisan. Hatta dalam bentuk tulisan, para penglipur lara tidak disyaratkan untuk membaca teks tersebut secara verbatim; perkataan demi perkataan. Mereka bebas menyadur unsur tempatan dan unsur asing ke dalam cerita.

Lantas, teks yang penting dan popular seperti Sejarah Melayu mempunyai hampir 32 versi setiap satunya dengan kelainan yang bukan sedikit seperti yang terbukti dalam pameran ini.

Sejarah Melayu naskhah Raffles umpamanya mengagungkan peristiwa penubuhan Singapura oleh Sang Nila Utama dengan beberapa penambahan yang tidak terdapat dalam naskhah lain. Menyentuh berkenaan asal-usul hulubalang Melayu par excellence itu pula, Sejarah Melayu naskhah Shellabear menceritakan Hang Tuah berasal dari Goa, Sulawesi dan beliau berbangsa Bugis. Ini langsung bertelingkahan dengan beberapa naskhah SM lain dan juga Hikayat Hang Tuah sendiri yang menitipkan bahawa Tuah asalnya dari Sungai Duyung, Melaka dan merupakan anak Melayu jati.

Naskhah Raffles yang lebih dikenali sebagai Raffles 18 dari simpanan Royal Asiatic Society. Disalin pada 1612. Kini dipamerkan di National Library of Singapore

Dalam satu sudut video di pameran ini, Prof John Miksic, arkeologis dari National University of Singapore (NUS) menjelaskan dinamika di sebalik kesenjangan ini.

Kunci kepada permasalahan ini terletak pada tarikh naskhah-naskhah tersebut ditulis. Naskhah Raffles 18 adalah naskhah SM terawal. Naskhah ini disalin pada 1612 daripada sebuah naskhah yang lebih lama bertarikh 1536 – pendeknya pada zaman di mana Temasek atau Singapura merupakan hab perdagangan serantau yang penting.

Naskhah Shellabear diterbitkan paling lewat berbanding yang lain iaitu pada 1913 dan disunting daripada beberapa koleksi naskhah terdahulu yang disalin sekitar abad ke-19 iaitu zaman kemuncak kekuasaan Kesultanan Riau-Lingga (1824-1911).

Nyata sekali, Sejarah Melayu telah menjadi wadah propaganda kelas-kelas penguasa di zamannya guna mengabsahkan kekuasaan dan ‘kedaulatan’ mereka. Hal ini didapati dengan lazim: muka surat-muka surat terawal Sejarah Melayu pun sudah mendakwa bahawa raja-raja Melayu keturunannya bersusur-galur daripada Iskandar Zulkarnain.

Ini menunjukkan kecanggihan masyarakat dahulu kala membina identiti mereka dengan memasukkan elemen tempatan dan menyerap unsur asing.

Hikayat Hang Tuah yang selama ini dianggap karya Melayu paling asli selepas SM, juga mengandungi pengaruh sastera Hindu iaitu daripada Hikayat Pandawa Lima atau Hikayat Pandawa Jaya. Naskhah ini turut dipengaruhi cerita-cerita panji dari sastera Jawa.

Salah satu varian cerita panji ini contohnya, menampilkan adegan di mana watak utamanya, Raden Inu (atau salah satu jelmaannya) terpaksa membunuh saudaranya sendiri, Carang Tinangluh yang sudah menjadi jahat akibat sumpahan ayahanda mereka, demi menyelamatkan Candra Kirana, kekasih Raden ini. Persamaan kisah dari Jawa ini dengan tragedi Tuah-Jebat adalah terlalu hampir untuk ditolak bulat-bulat.

Hikayat Pandawa Jaya yang disadur daripada adikarya sastera Hindu Mahabharata, dari simpanan British Library. Disalin pada 1804

Jika begitulah kayanya khazanah manuskrip Melayu menampilkan kebestarian akal budi Melayu, mengapakah kepulangan (buat sementara) ‘mereka’ (naskhah-naskhah tersebut) ke rantau ini menunggu masa lebih satu setengah abad?

Peranan pentadbir kolonial: dosa atau jasa?

Pentadbir kolonial memainkan peranan besar dalam mengumpulkan manuskrip-manuskrip ini dan seterusnya menjual koleksi tersebut kepada muzium-muzium dan persatuan-persatuan pengkaji luar. Tradisi ini dimulai oleh British mulanya sebelum turut ditiru oleh Belanda. Dalam kalangan mereka itu, tiada tokoh yang meninggalkan jejak yang lebih besar daripada jejak yang ditinggalkan oleh Sir Thomas Stamford Raffles (1781-1826).

Raffles-lah yang memulakan perusahaan mengumpul manuskrip-manuskrip dari Alam Melayu. Beliau mempunyai banyak peluang dan pengaruh untuk berbuat demikian: pertama, dalam kapasitinya sebagai Gabenor untuk jajahan Jawa (1811-1816) dan seterusnya Sumatera (1818-1823) dan kedua, jaringan-jaringannya di rantau ini yang terdiri daripada orang-orang tempatan.

Tersohor sekali reputasi Raffles sebagai peminat dan pengumpul manuskrip tempatan sehinggakan penguasa-penguasa serantau menganugerahkan beliau manuskrip-manuskrip milik mereka dalam usaha membina hubungan yang baik dengan British seperti yang dilihat dalam salah satu koleksi pameran ini.

Surat daripada Sultan Syarif Kasim kepada Sir Thomas Raffles pada 1811.

Setelah Raffles, usaha ini bergerak secara berterusan khususnya dengan permintaan pasaran antarabangsa yang wujud susulan daripada penubuhan fakulti-fakulti pengajian Melayu di Eropah. Antara yang terawalnya ialah Leiden pada 1877, dan SOAS, London pada 1916. Tidak peliklah koleksi manuskrip Alam Melayu yang terbanyak kini berada di kedua-dua ibu kota Eropah ini.

Kita tidak tahu sama ada kerajaan kolonial memang berniat menyeludup keluar manuskrip-manuskrip ini kerana tugas tersebut tidak tertulis dalam skop kerja pentadbir-pentadbir yang ditugaskan mereka. Dalam kes Raffles yang merupakan pelopor ‘gerakan’ ini, beliau melakukan atas rasa ingin tahu yang mendalam. Minatnya kepada budaya Melayu sudah lama terbenam. Raffles didapati fasih berbahasa Melayu sebelum tiba di Alam Melayu lagi – di pelabuhan Pulau Pinang, 1805.

Kalaulah Raffles ingin disalahkan untuk ‘kehilangan’ manuskrip Melayu, Raffles juga harus dipuji kerana beliaulah yang merangsang penghasilan salinan-salinan manuskrip yang baharu. Masyarakat Melayu pada zamannya tidak arif menilai signifikasi teks-teks lama ini. Mereka lantas membuangnya begitu sahaja. Kalau disalin untuk dijual pun, salinan yang dilakukan begitu comot sekali kerana penyalinnya tidak berkeahlian.

Tambahan pula, jumlah manuskrip Melayu tidaklah banyak. Abdullah Munsyi (1797-1854) yang diupah bersama bapanya oleh Raffles untuk mengumpul manuskrip-manuskrip ini, sudah pun mengadu berkenaan jumlah manuskrip yang terhad sekali didapati.

Jangan dilupa juga melalui pengaruh politik Raffles, manuskrip-manuskrip silam yang selama ini berada dalam simpanan istana-istana feudal berjaya digali keluar. Manakala, jasa Raffles dengan membuka semula kota Singapura pada 1819 selepas 200 tahun kota itu menyepi, telah membuka jalan buat Singapura menjadi hub percetakan serantau pada dengan penerbitan secara komersial hikayat-hikayat baharu di Kampung Gelam pada hujung abad ke-19 sehingga awal abad ke-20.  ##

Comments

comments