Borhan Hadi

Graduan sains kesihatan dan penterjemah bertauliah. Aktif menulis ulasan buku di Goodreads

Adakah media di Malaysia berat sebelah? Jawapan kepada persoalan tersebut begitu jelas sehinggakan tidak ramai yang ingin mengambil tahu akar puncanya, dan keparahan implikasinya lebih-lebih dalam konteks pilihan raya umum. Buku Media and Elections: Democratic Transition in Malaysia cuba untuk menjawab kedua-dua persoalan ini.

Buku terbitan terbaharu syarikat penerbitan wacana alternatif, Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) ini terbit pada 10 Januari yang lepas. Buku ini merupakan himpunan 8 artikel daripada 9 orang penulis.

Tiga tema besar disentuh: berat sebelah dalam media arus perdana, etnik dan gender serta media baharu. Hampir kesemua daripada penulis tersebut merupakan sarjana dalam bidang sains politik, pengajian pedia dan komunikasi massa dan cuma seorang sahaja yang merupakan seorang jurnalis.

 

Di sebalik bias

Seperti yang lazim dengan penerbitan-penerbitan alternatif sebegini, kritikan tertajam adalah ditujukan kepada pemerintah parti penguasa- antara parti politik yang paling berjaya di dunia jika dinilai pada lamanya tempoh pemerintahannya.

Artikel pertama buku ini, Watching the Watchdog sudah menonjolkan hal ini. Penulis Wang Lay Kim, Yuan Beng Lee dan Mahyuddin Ahmad meninjau kes-kes bias yang berlaku dalam media arus perdana negara sepanjang Pilihan Raya Umum 2013.

Ini diikuti dengan penjelasan rantaian sebab-akibat yang menyebabkan kecondongan perspektif tersebut berlaku. Dapatannya mengesahkan kecurigaan ramai: majoriti daripada syarikat-syarikat media ini telah dimonopoli pemilikannya oleh sebilangan kecil gergasi korporat dan taikun perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan parti-parti politik tertentu.

Artikel seterusnya cuba untuk meneroka persoalan yang sama dalam kes yang berbeza. Mustafa K. Annuar dalam “Election Advertising menunjukkan bagaimana kolum iklan dalam akhbar-akhbar perdana turut dipengaruhi oleh bias tersebut.

Jika artikel-artikel sebelumnya menunjukkan seolah-olah tiada sebarang jalan keluar kepada kitaran ganas yang mewujudkan bias dalam media, artikel susulan oleh Mohd Azizuddin Mohd Sani memberikan sedikit nafas lega.

Menulis tentang liputan akhbar-akhbar berbahasa Melayu sepanjang PRU 13, Azizuddin menyingkap kejayaan akhbar Sinar Harian, yang dimiliki oleh Karangkraf, dalam menawarkan idealisme kewartawanan yang seimbang dan mampan buat pembangunan sebuah masyarakat yang arif dan demokratik.

Bab terakhir buku ini meneroka kemunculan media sosial sebagai wadah propaganda mulanya oleh parti pembangkang sewaktu 2008 dan kemudian ditandingi oleh parti pemerintah menjelang PRU 13.

Peranan seni grafik seperti poster dan kartun satira dalam menyampaikan mesej berbaur politik juga disentuh dalam bab ini dengan mengambil contoh dua tokoh kontroversial dalam lapangan ini: Zunar dan Fahmi Reza.

Dinilai pada nilai subversif yang terkandung dalam karya mereka, dua individu ini tampak serupa. Namun banyak kelainan didapati dari sudut pendekatan. Sejak mula berkarya pada era 80-an, Zunar sentiasa berpihak kepada pembangkang. Fahmi Reza pula personalitinya lebih milennial: beliau tidak menyokong mana-mana parti politik, dan Fahmi melibatkan peminat-peminat dalam penghasilan karya-karyanya dengan kepercayaan bahawa ia memberdayakan (empower) khalayaknya. Lalu karya yang dihasilkannya mensatirakan kedua-dua pihak.

 

Tepat pada Masanya

Tiada masa yang lebih baik untuk buku ini diterbitkan: waktu bila mana negara di ambang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), dan peranan media sosial dalam mempengaruhi sentimen pengundi kian membesar.

Buku ini nampaknya diterbitkan dengan niat untuk memenuhi permintaan pasaran tersebut iaitu yang terdiri daripada pembaca urban dan golongan terpelajar yang mendambakan sebuah analisis objektif.

Sesuatu yang diragui jika objektif ini tercapai. Mutu-mutu penulisannya sederhana cuma. Analisis-analisis kuantitatif yang disajikan juga cetek. Analisisnya sekadar berhasil mengesahkan dapatan-dapatan yang (harus diakui) sudah diketahui ramai.

Beberapa artikel cuba untuk mengambil ‘jalan potong’ dengan menggunakan metodologi yang bersifat kualitatif seperti analisis wacana yang diguna pakai Yuan Beng Lee dan Wang Lay kim dalam Print Media and Gender Stereotyping.

Artikel tersebut bukan sahaja kabur fokus penulisannya, malah sudut pandang feminisme radikal yang diguna pakai telah menyibukkan pembaca dengan persoalan-persoalan yang tidak relevan dengan isu pemerkasaan calon wanita dalam pilihan raya. Implikasi di sebalik topik yang disentuh juga tidak dibawa jauh.

Watching the Watchdog” menunjukan merudumnya rating penonton televisyen di Malaysia berikutan liputan bias yang diamal stesen-stesen tersebut. Secara tidak langsung hal ini mengisyaratkan betapa kuatnya cengkaman parti pemerintah terhadap badan-badan media ini sehinggakan permintaan pasaran pun tidak mampu mengubah fikiran mereka.

Bagaimanapun, implikasi ini tidak dihurai dengan lanjut oleh penulis begitu juga kes-kes bandingan daripada pengalaman negara serantau tidak didatangkan sebagai perbandingan.

Gaya penulisan yang bersifat kewartawanan ini merendahkan nilai kesarjanaan buku ini secara umumnya. Memandangkan setiap artikel dalam buku ini pula berkongsikan tema yang sama, banyak premis awal dan konklusi-konklusi akhir yang dicapai terpaksa diulang sebut oleh penulis-penulis berbeza. Ini menyebabkan buku setebal 221 muka surat ini terasa lebih nipis daripada yang disangka.

 

Bukan yang diharapkan

Media and Elections bukanlah buku yang dinanti-nantikan pembaca kritikal. Mengambil suatu contoh, sewaktu membincangkan isu bias dalam media, tiada definisi diberikan kepada istilah ‘neutral’. Adakah semua liputan yang memuji parti pemerintah dan mengkritik parti pembangkang dikira bias?

Penerbitannya juga kelihatan terburu-buru. Buku ini gagal mengantisipasi gerakan #undirosak walaupun kelesuan para pengundi terhadap perbalahan politik sudah pun boleh dikesan melalui perkembangan-perkembangan di media sosial sepanjang Oktober 2016 sehingga Januari 2017 menurut politweet.

Pendekatan objektif dan kuantitif yang diambil pula terlalu kurang datang sandaran datanya. Tidak seperti laman web pemerhati perkembangan media sosial yang disebutkan tadi– politweet –yang menampilkan analisis kuantitif yang begitu lumayan.

Hasil dapatan yang dipaparkan di blog tersebut sarat dengan implikasi-implikasi yang seharusnya memeranjatkan seluruh rakyat Malaysia antaranya: tahukah anda kebolehan berbahasa yang berbeza mempengaruhi pemilihan parti yang akan diundi?

Apakah implikasinya terhadap hubungan antara kaum?

Adakah isu-isu negara yang dibimbangi oleh setiap kaum tersebut mendapat keprihatinan daripada yang lain?

Jika sebuah entri blog mampu menimbulkan persoalan-persoalan sepenting itu, seharusnya sebuah buku yang ditulis oleh sekumpulan sarjana mampu melakukan tugas yang lebih baik. #

Comments

comments