Asyraff Safar Ad-Din

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewartawanan -- penulis non-fiksyen & pengulas media sosial.

TULISAN Jawi pernah dianggap sebagai nadi kepada perkembangan Bahasa Melayu kerana bukan sahaja digunakan untuk urusan keagamaan, tetapi juga sebagai tulisan rasmi dalam pentadbiran kerajaan dan perhubungan dengan negara-negara lain. Sehingga ke hari ini, negara yang kaya dengan hasil minyak, Brunei Darussalam merupakan antara negara Alam Melayu yang masih memartabatkan dan memperkasakan penggunaan tulisan Jawi.

Brunei Darussalam menjadikan tulisan Jawi sebagai salah satu sistem tulisan rasmi dan sangat penting penggunaannya dalam usaha bagi memastikan kegemilangan tulisan itu tidak hilang ditelan zaman.

Tulisan Jawi dianggap sebagai salah satu khazanah bangsa yang harus dipelihara dan tetap kekal sehingga akhir zaman. Tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam sistem pentadbiran negara kerana masih digunakan secara rasmi dalam urusan kerajaan. Ini selaras dengan surat pekeliling Jabatan Perdana Menteri Brunei bilangan 21/1988 yang menjadikan tulisan Jawi sebahagian daripada peraturan negara.

Papan tanda yang menyambut kedatangan pelancong ke Brunei di lapangan terbang

Sebagai negara pertama yang secara rasminya menggunakan hukum Islam antara negara-negara Asia Tenggara, tulisan Jawi memainkan peranan penting sebagai asas dalam membentuk pembelajaran Al-Quran dan kehidupan seorang Islam di Brunei.

Oleh sebab itu, sistem pendidikan Brunei telah memperkenalkan asas pengetahuan tulisan Jawi yang digunakan dalam Kurikulum Pendidikan Bahasa Melayu dan Agama di sekolah rendah. Pihak kerajaan Brunei berharap dengan tindakan ini, pelajar-pelajar sekolah mempunyai asas kemahiran Jawi ketika belajar bagi memudahkan mereka mengikuti pembelajaran Al-Quran dan tidak kekok untuk melatih diri mempelajari Bahasa Arab yang umumnya menggunakan tulisan Jawi.

 

Keunggulan tulisan Jawi di Brunei Darussalam

Tulisan Jawi yang menjadi tulisan rasmi di negara tersebut kini sebenarnya banyak memperlihatkan daya tarikan kepada negara-negara lain dan juga pelancong yang berkunjung ke Brunei.

Tulisan ini menjadi khazanah negara Brunei dan seterusnya dengan penguasaan tulisan jawi secara kreatif dan inovatif dapat menyumbang kepada sektor industri kreatif. Sultan dan Yang Di-pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan agar khazanah ini dapat berterusan penggunaannya dan dikekalkan kepentingannya kerana kedudukan tulisan Jawi itu sendiri, adalah menjadi tanggungjawab semua dalam mengembangkan potensi tulisan ini.

Papan tanda ini hampir kelihatan di mana mana

Selain itu, sekiranya pelancong melalui sekitar bandar-bandar di Brunei, boleh dikatakan setiap bangunan kementerian, jabatan kerajaan atau swasta menggunakan tulisan Jawi dan mana-mana premis juga menggunakan tulisan ini kerana satu keperluan dan merupakan tulisan rasmi di Brunei.

Disebabkan itulah ia menjadi antara faktor tarikan pelancong datang ke sana kerana Brunei merupakan satu-satunya negara Melayu yang masih mengekalkan tulisan Jawi hampir sepenuhnya di keseluruhan bandar mereka terutamanya di tempat-tempat umum. Ini juga dapat dilihat pada papan-papan tanda, di mana setiap perkataan dalam Bahasa Melayu akan disertakan dengan tulisan Jawi. Tulisan ini menjadi nadi kepada perkembangan Bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam.

Tambahan pula, tulisan Jawi ini memberi sumbangan yang besar kepada negara Brunei kerana tulisan Khat yang diilhamkan oleh penulis-penulis khat dan kaligrafi Jawi mendapat pengiktirafan seluruh dunia seterusnya meningkatkan sumber pendapatan negara.

Setiap kanak-kanak di Brunei akan didedahkan dengan seni penulisan Khat ini dengan tujuan untuk memupuk minat mereka seterusnya memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai tulisan Jawi dan ini secara tidak langsung warisan itu dapat diteruskan dari generasi ke generasi yang akan datang.

Keunikan tulisan Jawi menjadi keunggulan negara Brunei kerana tulisan Jawi mempunyai kaitan yang dekat dengan Islam. Ini dapat dilihat bila mana negara Brunei sangat menitikberatkan agama Islam dan akan memastikan setiap umat Islam mengamalkan budaya yang baik serta patuh pada ajaran Islam.

Negara ini sewajarnya dijadikan contoh bagi sebuah negara maju dan kaya raya kerana masih memegang teguh pada ciri-ciri asli yang menjadi imej kepada agama Islam dan mengamalkan prinsip yang sama dalam mentadbir negara mereka.

Tidak dinafikan di Malaysia juga penggunaan tulisan Jawi masih ada seperti di negeri sebelah Pantai Timur dan juga Melaka namun masih tidak menyeluruh sebagai sebuah negara. Mungkin pada masa akan datang Malaysia perlu menggarispanduankan penggunaan tulisan Jawi di setiap negeri supaya tulisan ini tidak hilang buat tatapan generasi akan datang. #

Comments

comments