Asyraff Safar Ad-Din

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewartawanan -- penulis non-fiksyen & pengulas media sosial.

HASRAT untuk mencapai wawasan 2020 yang semakin menjelang (walaupun dipinda kepada TN50) tidak pernah terkubur daripada matlamat negara jelas sekali bahawa cara berfikir atau mentaliti rakyat di negara ini dalam menggunakan media masih belum lagi mencapai tahap intelektual yang diimpikan.

Hal ini jelas kerana isu media berkenaan tidak akan timbul sekiranya semua pengguna media khususnya media sosial sudah faham dengan jelas mengenai penggunaan media dengan baik.

Hari ini, boleh dikatakan bahawa media adalah satu medium yang membantu sesebuah negara untuk mencapai pembangunan yang mapan dari segi penyebaran maklumat mahupun perkembangan pemikiran masyarakat.

Apa yang dimaksudkan dengan celik media adalah bukan hanya pandai mengendalikan sesebuah akaun media sosial semata contohnya Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya — celik media yang dinyatakan ini adalah bijak mengendali dan menggunakan pelbagai laman sesawang serta cakna dengan kesahihan setiap sumber yang dipaparkan dalam internet. Hal ini seterusnya menjurus ke arah pembangunan minda dan dapat menyebarkan ideologi mahupun maklumat yang bermanfaat kepada pengguna lain dalam setiap perkongsian yang dilakukan.

Kecenderungan pengguna-pengguna media sosial di negara ini yang begitu proaktif menyebabkan timbulnya kekecohan dalam kalangan pengguna apabila keluarnya desas-desus mengatakan kerajaan akan menyekat segala penggunaan media sosial beberapa tahun yang lalu.

Kenyataan itu disangkal oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan menjelaskan bahawa berita tersebut adalah palsu. Mengambil petikan yang telah ditulis oleh Datuk Dr Ismail Sualman, seorang kolumnis di akhbar Berita Harian dan pensyarah di sebuah universiti awam, untuk menyekat media sosial di negara ini adalah suatu perkara yang mustahil.

Hal ini demikian kerana dengan menyekat media sosial adalah bermakna menyekat hak rakyat untuk bersuara. Jelas sekali sistem di negara ini berbeza dengan sistem yang diamalkan di negara-negara yang menyekat media sosial di negara mereka seperti China, Korea Utara dan sebagainya kerana dasar komunis menggalakkan cara yang sedemikian dan Malaysia menolak sekeras-kerasnya ideologi tersebut.

Namun begitu, dengan hak kebebasan dalam menggunakan media yang telah diberikan di negara ini masih lagi ada golongan-golongan yang menyalahgunakan kemudahan tersebut demi kepentingan diri sendiri.

Beberapa tahun yang lepas juga, media dikejutkan dengan sebuah isu yang hangat apabila terdapat pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab menghina Sultan Johor di laman Facebook-nya. Hal ini menyebabkan kemarahan setiap rakyat Johor pada ketika itu. Malah, hingga ke hari ini sekiranya diamati, masih ramai penulis-penulis di blog yang mengherdik kedaulatan sultan-sultan di negara ini dengan lantang.

Tidak hanya dengan wujud kumpulan lantang atau “keyboard warrior”, muncul juga golongan penggodam di mana kepakaran mereka ini menggodam sistem komputer kerajaan dengan amaran untuk membongkar segala rahsia-rahsia yang kononnya disembunyikan daripada pengetahuan rakyat. Golongan ini yang menggelar diri mereka “Anonymous” boleh dianggap berbahaya kerana dengan dasar hasutan yang dikeluarkan boleh membahayakan kedudukan sistem politik negara sekali gus menggugat kedaulatan negara.

 

Kes Alvin Tan sebagai rujukan

Menyorot kembali kes Alvin Tan, seorang warga cina yang suatu ketika dahulu pernah menyebabkan provokasi dalam kalangan umat Islam di Malaysia apabila memuat naik gambar masakan berasaskan khinzir dengan ucapan “selamat berbuka puasa”.

Gambar yang dimuat naik Alvin Tan yang mencetuskan kemarahan orang ramai

Selain itu, dia juga turut menghina agama Islam sendiri dengan beberapa gambar yang dimuat naik ke laman Facebook-nya di mana lagi membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini. Segala penyebaran negatif mengenai isu-isu kenegaraan di laman sesawang akan memberikan implikasi buruk terhadap negara apatah lagi jikalau perkara tersebut dilakukan oleh rakyat sendiri.

Dalam usaha menangani isu-isu sedemikian, sebenarnya telah lama wujud pelbagai undang-undang yang digubal seperti Undang-Undang Siber Malaysia — diisyhtihar dan telah berkuat kuasa pada 15 Julai 1998.

Antara akta-akta yang telah diwujudkan adalah seperti Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Teleperubatan 1997. Selain itu, contoh akta lain yang memainkan peranan yang besar dalam mengawal alam siber di Malaysia adalah seperti Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, dan terutama sekali Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penguatkuasaan akta-akta tersebut amat perlu bagi pengguna media untuk diambil kira supaya mereka tidak melanggar undang-undang yang selama ini tidak pernah mereka ketahui. Tanpa pengetahuan asa mengenai undang-undang siber tersebut, pengguna media dengan mudah boleh dijatuhkan sesuatu hukuman apabila mereka memuat naik gambar atau apa-apa jenis bahan pada laman sosial walaupun perkara yang dimuat naik tersebut kelihatan remeh.

Namun begitu, masih lagi terdapat golongan yang boleh dikatakan celik media tetapi masih menggunakan media sosial secara amnya untuk menjatuhkan tampuk pemerintahan kerajaan sendiri.

Berikutan daripada perhimpunan Bersih, Bersih 20, Bersih 3.0 dan Bersih 4.0 dapat kita saksikan matlamat utama mereka adalah untuk menjatuhkan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Tidak cukup dengan perhimpunan golongan ini turut juga menggunakan media dalam perjuangan Bersih mereka di laman-laman sesawang dan media sosial yang lain.

 

Gunakan media sosial untuk dekati rakyat

Sementara ada pihak yang tidak bertanggungjawab berusaha untuk menjatuhkan kerajaan, Perdana Menteri Negara kita sendiri juga tidak ketinggalan dalam menggunakan media sosial, Twitter misalnya dalam mendekati rakyat dengan mengemaskini “tweet” berunsur informasi kenegaraan mahupun ucapan-ucapan hari perayaan. Ini adalah satu usaha yang baik untuk memenangi hati dan pemikiran pengguna media khususnya golongan muda yang lebih cenderung ke arah teknologi media massa berbanding golongan yang lebih senior.

Selain Datuk Seri Najib Razak, seorang lagi nama besar yang kian mendapat sokongan golongan muda masa kini juga turut menggunakan laman Twitter sebagai tunjang dalam mendekati golongan muda ialah Khairy Jamaludin, Menteri Belia Dan Sukan Malaysia.

Najib Razak antara pemimpin yang kerap memanfaatkan sosial media untuk dekati rakyat

Bergiat aktif di dalam laman sosial, reputasi menteri belia dan sukan ini kini lebih meningkat dan diterima dalam kalangan belia di Malaysia sehinggakan beliau pernah mendapat jolokan sebagai “Menteri Twitter” pada suatu ketika dahulu kerana sifat ramah dan keterbukaannya terhadap pengguna-pengguna media.

Berikut adalah contoh yang baik yang telah ditunjukkan oleh menteri-menteri tersebut dalam memenangi semula hati dan minda rakyat di negara yang sedang mengalami pergolakan politik ini. Tambahan pula, usaha ini harus diteruskan oleh pemimpin-pemimpin lain kerana laman media adalah sumber yang amat pantas penyebarannya berbanding akhbar mahupun mana-mana medium yang lain.

Sebagai pengguna yang celik media, kita seharusnya mengenal pasti setiap undang-undang siber yang telah ditetapkan sebagai garis panduan agar kita tidak sewenang-wenangnya memuat naik perkara-perkara negatif yang berunsur fitnah, hasutan dan sebagainya. Hal ini bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan hak bersuara rakyat tetapi untuk mengawal dan memberi jaminan kepada kedaulatan negara agar terus terjamin.

#

Comments

comments