Borhan Hadi

Graduan sains kesihatan dan penterjemah bertauliah. Aktif menulis ulasan buku di Goodreads

INI satu situasi lazim buat pembaca-pembaca yang baru ingin berjinak dengan dunia buku: hendak baca apa ya? Sukar sebenarnya untuk memberikan satu jawapan yang baku. Selalunya hal ini bergantung kepada bentuk pendedahan terawal yang dialami seseorang pembaca sewaktu dia diperkenalkan kepada dunia baharu ini.

Suasana tempat belajar, pengaruh rakan, atau keberadaan kedai buku yang terdekat – semua ini antara faktor yang boleh memainkan peranan. Namun ada jawapan baharu dicadangkan oleh beberapa siri kajian psikologi dekad kebelakangan ini: ia bergantung kepada personaliti pembaca.

 

Tembok Sempadan Dunia Pembaca

Tidak lama selepas tenggelam dalam dunia pembacaan, anda akan dapati bahawa komuniti pembaca buku ini beraneka profilnya. Setiap satu berbeza dengan yang lain.

Perbezaan yang paling runcing tentulah dikotomi fiksyen-bukan fiksyen. Fiksyen dan bukan fiksyen diakui memang ada persamaan asasi. Kedua-duanya bermediumkan buku dan menampilkan cerita yang tertentu yang disampaikan melalui teks. Perbezaanya adalah fiksyen mengguna pakai unsur imaginasi dalam karyanya manakala bukan fiksyen menekankan unsur realiti dengan bersandarkan kejadian yang benar-benar berlaku.

Pun begitu, terdapat pertindihan antara keduanya. Karya-karya fiksyen selalunya diinspirasikan daripada kejadian sebenar. Genre fiksyen seperti fiksyen sains atau thriller umpamanya masih terikat dengan logika dunia sebenar walaupun secara longgar. Karya bukan fiksyen tidak terkecuali dalam hal ini dengan beberapa genrenya turut menyadur teknik-teknik penulisan fiksyen. Genre biografi, motivasi adalah contoh yang terdekat.

Akan tetapi, perbezaan antara kedua-duanya yang paling menjadi perhatian. Ketara sekali perbezaan ini sehinggakan andai diletakkan bersebelahan si pembaca fiksyen dengan si pembaca bukan fiksyen, perbualan antara mereka ibarat ayam dan itik – walaupun kedua-duanya berkongsikan minat yang sama!

Pemerhatian mirip itulah yang sejak dekad kebelakangan ini telah menyinggung pakar-pakar psikologi untuk mengkaji kesenjangan tersebut. Untuk matlamat itu, pada tahun 2005, satu kumpulan pengkaji dari Universiti Toronto telah mendirikan siri-siri uji kaji untuk menilai perbezaan personaliti yang mungkin mendasari fenomena ini.

 

Mengukur Personaliti Pembaca

Mula-mula, responden didatangkan dengan 28 set pernyataan yang dibahagikan kepada tema fantasi (fantasy), pengambilan sudut pandang lain (perspective-taking), empati (empathic concern) dan tahap kesinggungan peribadi (personal distress).

Mereka diminta menyatakan sejauh manakah persetujuan mereka terhadap pernyataan-pernyataan tadi. Uji kaji Interpersonal Reactivity Index (IRI) ini walaupun agak subjektif, membantu pengkaji mewujudkan suatu tanda aras buat mengukur personaliti respon dalam uji kaji susulan.

Seterusnya keupayaan empati dan skil sosial para responden dinilai secara objektif. Uji kaji Reading the Mind in the Eyes (RME) melampirkan kepingan-kepingan gambar yang menunjukkan wajah-wajah tertentu. Cuma bahagian matanya sahaja yang tertayang.

Berdasarkan maklumat itu, responden perlu menduga apakah perasaan yang sedang dialami si empunya wajah tersebut.

Uji kaji Interpersonal Task (IPT) pula mendatangkan 15 video perbualan spontan antara sekumpulan individu. Selesai menonton, para responden perlu menjawab soalan-soalan sekitar kandungan perbualan tersebut. Jawapan-jawapan kepada persoalan itu tidak disebut dalam video. Sebaliknya para responden perlu meneka bersandarkan isyarat non-verbal -gerak badan atau cara bercakap- dalam video tadi.

Menakjubkan sekali responden yang membaca karya fiksyen merakamkan markah tertinggi dalam kesemua uji kaji itu jika dibandingkan dengan pembaca bukan fiksyen. Selepas mengambil kira faktor kefasihan berbahasa, tahap kecerdasan am, usia dan jantina, pembaca fiksyen masih menunjukkan markah kebolehan bersosial yang tinggi. Hatta faktor tahap pendedahan kepada dunia buku juga tidak menjejaskan keputusan akhir ujikaji.

Sementara itu, pembaca bukan fiksyen pula berkadaran songsang dengan kriteria tadi: mereka lagi sukar membaca isyarat-isyarat non-verbal, dan kurang rasa empati. Ini menambah kesukaran buat mereka untuk bergaul dengan orang ramai.

Menariknya, David Comer Kidd and Emanuele Castano, pakar psikologi daripada The New School for Social Research, New York telah mengulang semula uji kaji tersebut dengan lebih jitu pada 2013 dalam 5 siri ujikaji. Hasil kajian mereka bukan setakat mengesahkan dapatan Universiti Toronto tadi, ia juga menambah beberapa dapatan baharu.

Antaranya, fiksyen genre sastera (literary fiction) jauh lebih berkesan daripada fiksyen-fiksyen berjudul popular (popular fiction) dalam membolehkan pembacanya mendalami cara berfikir yang berlainan daripada diri mereka sendiri – lebih-lebih jika teks tersebut merupakan teks yang mencabar atau tinggi bahasanya.

Usai membacanya, pembaca karya sastera lebih bertolak ansur, dan mampu melihat sesuatu dari sudut pandang berbeza. Justeru, mereka bijak mengendurkan sebarang ketegangan yang berlaku dalam interaksi sosial. Keupayaan inilah yang diistilahkan psikologi moden sebagai Teori Minda (Theory of Mind atau ToM).

 

Bukan sebarang fiksyen

Jika ada yang berandaian bahawa sifat mudah memahami yang terdapat pada pembaca fiksyen menumpulkan keupayaan mereka untuk mengambil kira faktor-faktor luaran, fikirkan semula.

Kajian terbaru pada 2015 oleh Jessica E. Black & Jennifer L. Barnes dari University of Oklahoma menunjukkan bahawa markah pembaca fiksyen dalam aspek tersebut (intuitive physics understanding) juga tidak kurang positif.

Dalam kata lain, keupayaan empati dan skil bersosial yang dimiliki pembaca fiksyen tidak menghalang mereka untuk mengambil kira faktor-faktor luaran yang bersifat non-sosial yang lain.

Ahli psikologi masih berhipotesis tentang sebab di sebalik penemuan ini. Ini mungkin boleh dijelaskan oleh bentuk karya fiksyen itu sendiri yang sebenarnya punya sandaran realiti. Boleh jadi juga, ini disebabkan oleh elemen kausaliti yang memainkan peranan penting dalam plot karya fiksyen.

Aspek-aspek ini secara tidak langsung menajamkan daya pemikiran pembaca fiksyen sewaktu merenungkan faktor-faktor bukan sosial.

Hipotesis lain yang tidak kurang menarik adalah teori transportasi. Teori ini meneroka signifikasi gaya pengolahan karya fiksyen yang membawa pembacanya menghayati jalan cerita melalui sudut pandang setiap watak-watak di dalamnya. Seolah-olah pembaca karya fiksyen tersebut dianugerahkan sepasang mata baharu untuk merenung kejadian sekelilingnya.

Elemen ini khususnya terdapat dalam karya sastera yang senantiasa mencabar jangkaan para pembacanya. Watak-watak di dalamnya memang diketahui lebih kompleks, dan konflik yang ditampilkan lebih mendalam kesannya. Berlainan dengan karya fiksyen popular seperti misteri atau cinta yang berlegar dalam ruang lingkup realiti sama. Yang berlainan cuma nama watak, serta latar ruang dan masa sahaja.

 

Ulat buku tidak mesti ‘nerd’

Satu implikasi yang boleh dirumus daripada uji kaji-uji kaji tadi adalah ulat buku itu tidak semestinya budak ‘nerd’. Berdasarkan uji kaji di atas, ini adalah sangkaan umum yang salah.

Sebaliknya bahan bacaan seseorang ulat buku itu perlu diambil kira. Ulat buku yang banyak membaca karya fiksyen lebih kaya pengetahuan sosialnya atau EQ-nya (Emotional Quotient). Dia lebih mampu menceburkan diri dengan pelbagai kelompok manusia. Malah, boleh jadi dia lebih pandai bersosial daripada kaki-kaki lepak di kedai mamak itu!

Sebaliknya jika bahan bacaan tersebut adalah terdiri daripada karya bukan fiksyen yang membincangkan satu-satu masalah daripada sudut pandang ketiga, maka istilah ‘nerd’ itu mungkin boleh diguna pakai. Malah menurut kajian tadi, lebih banyak judul-judul bukan fiksyen yang dibaca, lebih rendah kemampuan mereka bersosial.

Implikasi yang lain adalah keputusan uji kaji ini mungkin sahaja boleh dibaca secara terbalik: iaitu individu yang bersifat empati dan mudah memahami sudah dari mula cenderung untuk memilih bahan bacaan yang bercirikan fiksyen.

Jika tekaan di atas benar, tembok pemisahan antara golongan pembaca karya fiksyen dan bukan fiksyen adalah jauh lebih kompleks daripada alasan yang biasa dibayangkan. Bukan minat atau ikutan rakan; punca sebenar sebaliknya terbit daripada perbezaan yang lebih mendasar ke dalam psikologi para pembaca iaitu perbezaan personaliti mereka.

#

Comments

comments