Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

MENURUT Persatuan Disleksia Antarabangsa, disleksia ialah satu kondisi saraf yang disebabkan oleh kelainan saraf otak. Kelainan saraf ini menyebabkan kecelaruan belajar kerana tulisan yang dibaca diproses oleh otak dengan cara yang berbeza daripada orang biasa.

Tulisan seorang disleksik juga sukar dibaca kerana hasil tulisan mereka mencerminkan apa yang diproses oleh otak. Istilah disleksia berasal dari perkataan Yunani ‘dys’ yang bermaksud kesukaran atau kesusahan dan ‘lexis’ yang bermaksud bahasa atau pertuturan.

Malangnya, disleksia bukanlah suatu penyakit yang boleh disembuhkan tetapi akan kekal sebagai ciri individu tersebut. Tidak ada jalan pintas bagi seseorang yang berciri disleksia untuk membaca, melainkan dia mempelajari strategi membaca tertentu yang dapat membantunya mengatasi kekurangan itu.

Terdapat kira-kira 10% penduduk dunia menanggung masalah disleksia, dan lebih ramai dalam kalangan itu ialah lelaki. Setiap orang yang memiliki ciri ini berada dalam persentil yang berbeza-beza, sama seperti kecelaruan belajar lain yang memiliki spektrum masing-masing. Ada yang menghadapi masalah ini dalam bentuk yang ringan sahaja.

Selepas menggunakan strategi membaca yang sesuai, mereka dapat menjadi pembaca yang baik. Namun, tidak kurang juga yang memilih untuk bergantung kepada strategi membaca secara audio kerana kemampuan membaca yang terhad sehingga dewasa.

Dari sudut kepintaran, individu berciri disleksia sama sahaja dengan orang yang normal. Malah, ada pendapat mengatakan kelainan saraf otak mereka memberi suatu kelebihan dan perspektif berbeza untuk berjaya terutama dalam keusahawanan. Tidak dinafikan, ramai daripada mereka yang mengalami disleksia menempa nama di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang. Antara yang dikenali seantero dunia ialah Richard Branson, Steven Spielberg, Thomas Alva Edison, F. Scott Fitzgerald dan Charles Schwab.a

Pembaca disleksia

Bagi pembaca yang mengalami disleksia, huruf-huruf pada halaman buku boleh kelihatan bergerak-gerak atau menari-nari pada pandangan mereka. Huruf-huruf itu juga boleh menjadi tidak konsisten setiap kali diperhatikan. Untuk mengalami sendiri perasaan membaca sebagai seorang disleksia, satu laman web dapat meminjamkan kita pengalaman yang mencabar kesabaran ini: http://data.qz.com/2016/dyslexia/

Sekiranya orang yang terdekat dengan kita mengalami kecelaruan belajar seperti ini, penting sekali untuk ibu bapa atau penjaga melengkapkan diri dengan ilmu yang ampuh untuk mendepani hari-hari mendatang yang penuh cabaran.

Hal ini demikian kerana kepentingan kemahiran membaca dalam alam persekolahan hari ini sangat ditekankan, seawal usia empat atau lima tahun. Tambahan lagi, dunia maklumat sukar dinikmati dan disertai sepenuhnya jika tidak melalui sarana tulisan. Tekanan psikologi yang perlu dihadapi oleh kanak-kanak yang tidak tahu membaca pada usia ketika rata-rata rakan sebaya mereka sudah dapat membaca sangat hebat.

Dalam The Dyslexia Empowerment Plan, buku panduan tentang disleksia yang dikarang oleh Ben Foss, pengarang menceritakan pengalamannya berjuang mengatasi rasa malu dan rendah diri yang amat sangat kerana pernah menduduki kelas pendidikan khas sebagai seorang disleksik.

Malah, beliau memberitahu ada sesetengah pelajar disleksik berasa terlalu tertekan sehingga sanggup membuat percubaan bunuh diri. Beliau memuji sikap ibu bapanya yang berusaha membina keyakinan diri beliau dalam bidang selain akademik. Melalui bukunya, beliau berhasrat agar ibu bapa dapat memperkasakan keyakinan anak-anak disleksik dan menyemai minat mereka untuk terus belajar.

Bagi pembaca yang lebih menggemari buku berbahasa Melayu, usaha Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menterjemah dan menerbitkan beberapa buah buku tentang disleksia sudah tentu sangat diraikan.

Panduan Lengkap Ibu Bapa Kanak-kanak dengan Disleksia ialah perkongsian oleh Abigail Marshall, seorang ibu yang anaknya mengalami disleksia dan hanya mampu membaca pada usia 11 tahun. Kini, beliau berbangga kerana anaknya sudah menjadi seorang pembaca tegar walaupun melalui permulaan yang sukar. Kandungan buku ini sangat menyeluruh, merentas usia awal persekolahan tatkala disleksia biasa dikesan sehingga tip menghadapi alam remaja, kolej dan seterusnya kerjaya.

Isu-isu lain berkaitan disleksia seperti masalah sensori, kecelaruan sampingan yang biasa dialami, dan pergerakan motor halus serta motor kasar turut disentuh.

Sebagai ibu yang penuh pengalaman, beliau tidak ketinggalan menyorot peranan yang boleh dimainkan oleh penjaga terutama berhubungan dengan pihak sekolah. Beberapa saranan lebih berfokus kepada situasi di Amerika Syarikat termasuk tentang undang-undang, namun masih sangat bermanfaat sebagai perbandingan dengan situasi tempatan, apatah lagi untuk penambahbaikan.

Sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut tentang bantuan teknologi Assisted Speech Recognition (ASR) atau Pengecaman Percakapan Automatik untuk membantu anak-anak disleksia, sebuah buku yang dapat mengisi ruang ialah Masalah Membaca Kanak-kanak Disleksia: Bagaimana Teknologi Boleh Membantu? susunan Husniza Husni dan Zulikha Jamaludin.

Istimewanya buku ini adalah kerana ia memberikan ilustrasi dan peta minda yang menarik serta penjelasan yang mudah difahami tentang pemprosesan bahasa daripada perkataan bertulis kepada pertuturan.

Kesilapan yang selalu berulang dalam kalangan kanak-kanak disleksia apabila membaca turut dibentangkan secara mudah dan jelas. Pengarang menyenaraikan kira-kira 10 program atau perisian yang sesuai untuk membantu kanak-kanak ini melalui sarana teknologi.

Lampiran Senarai Semak Disleksia yang digunakan Kementerian Pendidikan Malaysia dan bahagian mengenai sejauh mana sistem pendidikan khas negara memberi ruang kepada murid disleksia pada akhir buku ini dapat memberi gambaran yang lebih sempurna tentang senario tempatan yang perlu difahami ibu bapa.

Buku-buku lain berkaitan disleksia yang boleh didapati di kedai-kedai buku Malaysia ialah Overcoming Dyslexia oleh Dr. Sally Shaywitz. Beliau ialah seorang profesor pediatrik di Sekolah Perubatan Universiti Yale dan pernah dipilih sebagai salah seorang Doktor Terkemuka Amerika oleh Castle Connolly, sebuah organisasi yang bertanggungjawab menilai perkhidmatan perubatan di negara itu untuk kepentingan awam.

Pembaca yang ingin menyelami dengan lebih mendalam emosi seorang ibu dan anak disleksiknya, boleh mencari buku terjemahan Indonesia berjudul Living with Dyslexia: Pergulatan Ibu Melepaskan Putranya dari Derita Kesulitan Belajar yang ditulis dalam bentuk memoir.

Buku ini pasti menggugah dan mengharukan rasa kerana perspektif ibu dan anak disusun bersekali dalam setiap bab, menyebabkan suara hati mereka bergema-gema dalam hati pembaca pula.

‘Membaca’ disleksia dalam medium lain

Andainya membaca bukan keutamaan buat masa ini, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem-filem yang memaparkan perjuangan kanak-kanak dengan disleksia. Filem-filem seperti Taare Zameen Par arahan Aamir Khan, atau Wonderful Life arahan sutradara filem Indonesia Agus Makkie, dapat menyentuh hati oleh sebab keindahan pengorbanan yang terpancar daripadanya.

Kesimpulannya, membaca adalah suatu nikmat besar yang tidak dapat dinikmati semudah itu oleh sekitar 10% penduduk dunia yang mengalami disleksia. Dalam dunia maklumat hari ini, kesukaran membaca yang tidak diatasi boleh meragut banyak nikmat dan peluang yang terbuka begitu mudah bagi yang lain.

Oleh itu, ibu bapa dan kanak-kanak yang mengalami disleksia perlu memupuk semangat teguh dan berterusan menimba ilmu untuk mendepani ujian hidup mereka dengan jaya.

#

Comments

comments