Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

MANUSIA tidak lari daripada salah satu sifatnya yang gemar bercerita. Dalam konteks manusia, aktiviti fizikal melalui lisan ini adalah antara asas yang telah wujud seiring dengan permulaan kehidupan; sejak zaman Nabi Adam dan Hawa, sehinggalah ke generasi alaf ke-21 yang serba kompetitif ini.

Secara sedar mahupun tidak, inisiatif yang tersusun dan bermatlamat telah dicanang untuk menjadikan aktiviti bercerita ini menjadi antara salah satu aktiviti global yang mampu mewujudkan kesan positif kepada kehidupan masyarakat seantero dunia.

Tidak dapat dipastikan, kelompok negara manakah yang memulakan usaha hari bercerita sedunia ini. Namun, menurut kebanyakan sumber, program bersifat sejagat ini telah dimulakan secara besar-besaran dengan meriahnya di Sweden sekitar awal tahun 1990-an.

Sejarah acara World Storytelling Day

Pada ketika itu, acara yang digelar sebagai ‘Seluruh Hari Bercerita’ atau diberi nama Alla berättares dag, secara rasminya telah diorganisasikan pada 20 Mac di Sweden.

Pemilihan tarikh ini demikian adalah kerana secara rasionalnya, mereka meraikan fenomena ekuinoks yang terjadi sekitar tarikh tersebut.

Dalam erti kata lain, ekuinoks menyebabkan sebahagian permukaan bumi mendapat sinaran cahaya matahari tepat pada garisan khatulistiwa. Secara tidak langsung, hemisfera utara dan selatan bumi mengalami persamaan pembahagian waktu antara siang dengan malam. Maka, dengan konsep ini dilihat dapat menyatukan komuniti global untuk menikmati waktu yang seimbang dan sama sepanjang hari tersebut.

Rentetan seharian itu, aktiviti bercerita dijalankan dengan mengikut kreativiti yang positif, tersendiri, unik dan menarik. Seiring dengan perjalanan waktu, program ini mendapat sambutan dan secara tidak langsung meluaskan sayapnya hampir ke seluruh benua Eropah dengan penuh bersemangat.

HARI bercerita sedunia mula-mula disambut di Sweden

Pada tahun 1997 pula, Australia telah memulakan inisiatif ini secara rasminya. Bagi mendapatkan perhatian yang meluas oleh masyarakat di benua itu, mereka menjalankan aktiviti bercerita sepanjang lima minggu berturut-turut di Perth, demi memperingati hari bersejarah yang telah mereka rakamkan, iaitu Hari Bercerita Nasional yang juga merangkap Hari Bercerita Sedunia, iaitu pada setiap 20 Mac; secara tahunan.

Dalam masa yang sama, Mexico dan beberapa negara Amerika Latin telah mengisytiharkan tarikh yang sama sebagai hari untuk menjalankan aktiviti kreatif tersebut.

Tahun demi tahun, aktiviti global ini terus berkembang di beberapa benua dan negara besar. Sekitar tahun 2001, warga Scandinavia telah memulakan program bercerita melalui inisiatif Ratatosk, tukang cerita melalui jaringan web.

Hal ini diikuti pula oleh Norway, Denmark, Finland dan Estonia. Dari benua Eropah tersebut, usaha ini telah bermigrasi pula sehingga ke benua Amerika dan Kanada sekitar tahun 2003.

Maka sambutan hari bercerita tersebut telah diperkasakan lagi dengan nama World Stroytelling Day, namun lebih bersifat antarabangsa. Pada tahun 2005 pula, Perancis telah meraikan ‘Hari Bercerita Sedunia’ ini yang diberi gelaran Jour Mondial du Conte.

Tidak sekadar perkembangan aktiviti hampir pelosok benua, idea tersebut telah dimeriahkan lagi dengan acara tambahan seperti konsert. Ini telah direalisasikan pada Mac 2007 di Newfoundland, Kanada.

Pada tahun 2008, Belanda pula telah mengambil bahagian dalam memeriahkan hari bercerita tersebut yang dibuat secara besar-besaran dan diberi nama Vertellers in de Aanval. Acara yang dijalankan pada 20 Mac itu melibatkan seramai tiga ribu kanak-kanak yang diraikan secara mengejut dan penuh keterujaan di sekolah-sekolah mereka.

Impak penularan positif aktiviti global ini telah menampakkan perkembangan di beberapa benua seperti Benua Eropah, Asia, Afrika, Amerika Utara, Amerika Selatan dan Australia.

 

BACA: 14 Februari: Antara Sejambak Mawar dan Senaskhah Buku

 

Tema tahunan ‘Hari Bercerita Sedunia’

Tidak dinafikan, dengan kemajuan teknologi komunikasi, para pencerita dari pelosok setiap negara dapat berinteraksi antara satu sama lain melalui laman web khas seperti World Storytelling Day listserve mahupun melalui grup khas di Facebook.

Dengan kemudahan ini, penyatuan komuniti secara global dapat dilihat dan dibuktikan melalui sinkronisasi pemilihan tema penceritaan setiap tahun. Menurut sumber yang aktif dalam memartabatkan program bertaraf antarabangsa ini, iaitu Storyteller of Canada atau Conteurs du Canada, tema bercerita bagi tahun 2018 adalah berkisar konsep Wise Fools. Maka, dengan pemilihan tema tersebut, setiap komuniti bebas untuk bercerita secara kreatif demi menyemai sifat moral yang positif dikalangan pendengar cerita.

Pelbagai gaya persembahan penceritaan boleh digarap demi untuk menarik minat dan menjadikan aspek penceritaan tersebut lebih memberikan kesan yang mendalam dan menyeluruh kepada audiens. Hal ini telah dilakukan oleh tukang pencerita (storyteller), yang juga seorang Pensyarah, Produser Kreatif dan Pengarah Artistik Singapura, Kamini Ramachandra.

Sambutan World Storytelling Day bertempat di The Arts House, The Old Parliament, Singapura, memperlihatkan kreativiti beliau dalam penyampaian cerita dengan bantuan muzik dan latar belakang ‘kesan khas’.

Bagi menjayakannya, beliau berkolaborasi bersama Derrick Tay yang hanya menggunakan instrumen muzik tradisional Hokkien seperti pipa dan instrumen muzik India seperti maguda. Irama dan kesan khas tersebut dimainkan oleh Derrick Tay sesuai dengan emosi penceritaan yang disampaikan beliau. Hal ini sekali gus membuatkan penonton yang hadir merasa terhibur akan keunikan gaya persembahan dalam menyampaikan penceritaan.

Sekali pun hari bercerita sedunia 2018 belum lagi dimulakan, pemilihan tema untuk tahun berikutnya sudahpun mereka sepakati. Berkemungkinan besar, tema tersebut adalah berkisar Myths, Legends, and Epics; akan dilaksanakan pada tahun 2019.

Tema bercerita pada tahun-tahun yang sudah juga tidak kurang pentingnya dalam menyampaikan mesej yang menekankan aspek keharmonian sejagat. Sudah semestinya kisah-kisah yang mereka ceritakan secara lisan ini adalah cedokan daripada buku-buku naratif dari pelbagai genre.

Pada tahun 2017, tema adalah berkenaan dengan transformasi. Pada tahun 2016, bertemakan Strong Women. Pada tahun 2015, Wishes menjadi topik utama penceritaan. Manakala pada tahun 2014, elemen klasik diketengahkan, iaitu Monsters and Dragons.

Kemeriahan sambutan Hari Bercerita Sedunia di Kanada sangat memberangsangkan. Mereka mempunyai komuniti tukang cerita hampir di setiap pelusuk daerah dan negeri.

Tatkala tarikh tersebut tiba, mereka meraikannya sama ada melakukannya secara besar-besaran, dan dalam masa yang sama menghidupkan aktiviti ini di setiap kawasan komuniti dan negeri masing-masing seperti di Orillia, Ontario, Victoria, Halifax, Toronto dan ibu negara mereka iaitu Ottawa.

 

Sambutan World Storytelling Day di Malaysia

Tidak dapat dipastikan bilakah tarikh rasmi permulaan sambutan hari bercerita ini di Malaysia. Namun, menurut sumber media elektronik yang telah dilaporkan, kewujudan acara peringkat antarabangsa ini telah dilaksanakan pada tahun 2012.

Usaha penganjuran di Petaling Jaya Live Arts (PJLA), oleh Pengarah Eksekutif, Diong Chea Lian ini bertujuan menggalakkan orang ramai untuk gemar membaca dan kemudiannya bercerita.

Program tersebut telah berjalan selama dua minggu berturut-turut sehingga 1 April 2012. Bagi menjayakannya, PJLA turut berkolaborasi bersama KL Based Theater Company Gardner and Wife, dan Children Advocacy Organisation Voice of The Children. Pelbagai aktiviti dianjurkan pada sambutan festival tersebut; pada semua peringkat umur.

Di bawah acara PJ Live Art’s Story Fest 2012, persembahan penceritaan dimulakan dengan penggiat teater warga Britain. Gaya persembahan yang mencampurkan muzik secara langsung, dengan bantuan props boneka dan pelakon yang bercerita menyampaikan sebuah kisah bertajuk The Owl Who Was Afraid Of The Dark, hasil karya klasik kanak-kanak Jill Tomlinson.

Kisah ini menceritakan seekor burung hantu yang memiliki sikap takut di dalam gelap. Lakonan teater ini menyasarkan audiens kanak-kanak sekitar umur tiga hingga tujuh tahun.

Seterusnya, bagi merealisasikan minat terutamanya ibu bapa dan guru di dalam bercerita kepada anak-anak mereka, mahupun sasaran penonton kanak-kanak atau murid-murid sekolah secara keseluruhannya, satu bengkel pemantapan telah dianjurkan yang di mana Judith Shaik dan Anne Ooi menjadi tenaga pengajarnya.

Selain itu, pada hujung minggu pula, satu sesi membaca telah diadakan, dan aktiviti tersebut di gelar A Home is Not A Fairy Tale. Sesi tersebut dijayakan oleh selebriti tanah air yang membacakan buku-buku cerita berkisarkan mengenai nasib kanak-kanak yang tidak mendapat perlindungan yang sewajarnya; dan buku-buku tersebut adalah hasil penulisan karya tempatan yang diterbitkan oleh Voice of The Children.

Antaranya adalah karya yang dibaca oleh Dina Zaman, berjudul Cats in The Rubbish. Sebuah kisah menyentuh namun tetap menghiburkan dan mempunyai mesej yang perlu diberi perhatian serius. Ianya mengisahkan survival kehidupan kanak-kanak jalanan.

Pada hari berikutnya pula, Joanna Bessey bercerita melalui buku yang bertajuk The Little Dancing Bear, mengisahkan kehidupan kanak-kanak sebagai buruh.

Berikutnya pula, penceritaan secara lisan diteruskan lagi oleh Woon King Chai dengan buku cerita kanak-kanak berjudul Fin The Brave. Cerita ini mengisahkan kecekalan, kesukaran dan keberanian hidup kanak-kanak tanpa kerakyatan; serta pelbagai lagi aktiviti bercerita yang menarik telah disajikan pada sambutan acara tersebut.

Tidak dinafikan, acara sambutan sebegini adalah sebagai alternatif orang ramai, khususnya peminat-peminat buku dan penggemar cerita mencorak suasana berwarna-warni dalam memeriahkan industri buku secara tidak langsung.

Falsafah utama yang bertujuan menyatukan komuniti secara global sekali gus berpotensi sebagai pencetus keharmonian, selain dilihat sebagai sebuah medium antarabangsa untuk mengembangkan bakat kreatif dalam dunia pembacaan dan penceritaan secara lokal yang boleh saling dipelajari dan difahami oleh sesama bangsa.

Menjadi harapan semua juga agar aktiviti seperti ini diteruskan sebagai akses yang membuka pintu peluang supaya karya-karya tempatan dapat dipromosikan secara lebih meluas melalui prakarsa yang realistik dan strategik. #

 

  • gambar lakaran kecil oleh Kosmo

Comments

comments