Asyraff Safar Ad-Din

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewartawanan -- penulis non-fiksyen & pengulas media sosial.

NUSANTARA Audiobooks merupakan sebuah aplikasi baharu yang mula beroperasi sekitar suku kedua 2017 menambahkan seri dalam dunia perbukuan negara. Seperti aplikasi atau laman web buku audio yang lain, Nusantara Audiobooks hadir dengan seleksi buku-buku sastera yang sangat menarik.

Tidak mempunyai masa untuk duduk dan menikmati buku kegemaran kini bukan lagi masalah kerana dengan wujudnya aplikasi Nusantara Audiobook, platform buku audio tempatan pertama di Malaysia ini memudahkan lagi para penggunanya untuk mendengar bacaan buku-buku mengikut kegemaran masing-masing di mana sahaja mereka berada.

Pengguna hanya perlu mempunyai telefon pintar, dan sepasang fon telinga (earphones) untuk menikmati keseluruhan buku dengan memuat turun secara mudah dari aplikasi ini.

Bersesuaian dengan tagline yang digunakan, “Listen. Anywhere. Anytime.” Pengguna boleh menikmati buku kegemaran semasa memandu, terjebak dalam kesesakan lalu lintas, berjoging, menempuh perjalanan kereta api yang panjang, atau melakukan apa-apa sahaja pada bila-bila masa sepanjang hari.

Nusantara Audiobook bertujuan menjadi platform utama buku audio di serantau Asia yang menawarkan buku audio dalam Bahasa Inggeris, Melayu dan Indonesia. Jenis buku audio yang tersedia di dalam aplikasi ini termasuk buku-buku Barat dan Timur — ilmiah, biografi, serta kesusasteraan klasik dan moden yang hebat.

Bagi menembus pasaran pendengar dan pengguna bukan bahasa Inggeris di rantau Nusantara pula, Nusantara Audiobook memaparkan banyak kerja yang diterjemahkan sebagai buku audio yang boleh diakses oleh penggguna. Antara buku-audio menarik yang ditawarkan ialah karya-karya klasik Salina, Hikayat Abdullah, Ranjau Sepanjang Jalan dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

 

Variasi bakat suara, judul dan genre

Jika dilihatkan senarai buku-buku audio yang ditampilkan ini, sudah pasti mereka yang mencintai sastera atau yang pernah membaca mahupun melihat adaptasi buku-buku tersebut teringin untuk mendengarkan versi buku audio pula.

Seiring dengan penampilan barisan buku-buku yang berkualiti, pemilihan bakat suara untuk membacakan buku tersebut juga dipilih dalam kalangan mereka-mereka yang tidak kurang hebatnya.

Antara bakat suara yang digunakan oleh tenaga produksi Nusantara Audiobooks ialah pelakon tersohor negara Wan Hanafi Su, personaliti televisyen Tengku Elida Bustaman serta ramai lagi bagi menjayakan projek ini.

WAN Hanafi Su antara bakat suara yang ditampilkan dalam buku audio Nusantara Audiobooks

 

Tidak dinafikan usaha yang sangat besar maknanya ini boleh dikatakan harus dipuji kerana tidak hanya membariskan buku-buku hebat, malah bakat suara yang membacakan buku tersebut juga bukan calang-calang orangnya.

Aplikasi ini bakal menjadi daya tarikan pada masa akan datang kerana kehadirannya bukan sahaja menambah seri dunia digital dan mempunyai banyak manfaat kepada masyarakat pengguna internet. Dengan kesibukan seharian, tidak menjadi masalah lagi untuk seseorang ‘membaca’ buku.

Malahan, ada di antara kita yang sudah memiliki buku fizikal atau e-buku sesebuah buku tersebut namun tidak berkesempatan untuk membacanya. Nah, dengan adanya Nusantara Audiobooks ini, pembacaan jadi semakin mudah di mana kita hanya mendengar sahaja.

Secara tidak langsung ini menjimatkan masa dan mengisi ruang waktu senggang — di dalam LRT, kesibukan jalan raya atau sebagainya seperti kita mendengar lagu-lagu di radio atau di aplikasi penstriman lagu.

Dikuasakan oleh syarikat ThinkByUs, Nusantara Audiobooks yang diinisiatifkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Negeri Selangor ini dilihat bakal berkembang pada masa akan datang dengan pelbagai sokongan menarik juga barisan buku-buku bestseller di Malaysia. #

 

 

Comments

comments