Borhan Hadi

Graduan sains kesihatan dan penterjemah bertauliah. Aktif menulis ulasan buku di Goodreads

PERNAHKAH anda terfikir, adakah buku juga mampu bertindak sebagai ajen penyebaran kuman – dan seterusnya, penyakit?

Iklan produk antikuman di televisyen sering memaparkan senario-senario harian yang memungkinkan perpindahan kuman daripada objek-objek sekitar kepada manusia. Objek tersebut hadir dalam bentuk bola yang sudah berlumpur, tombol pintu comot atau sekadar permukaan meja dapur yang biasa. Apabila bersentuh dengan tangan manusia, interaksi tersebut digambarkan telah membawa kepada jangkitan kuman.

 

Buku agen penyebaran penyakit?

Kenapa tidak? Pembaca buku yang tegar tentu sedar bahawa buku menemani mereka ke setiap tempat: di tepi katil, di dalam beg, di atas meja makan juga sewaktu menaiki pengangkutan awam.

Jangan lupa tabiat para pembaca. Ramai daripada mereka suka membasahkan jari dengan air liur sewaktu menyingkap helaian seterusnya. Air liur, seperti yang diketahui, adalah agen efektif buat penjangkitan penyakit selesema dan sakti tekak.

Ada juga yang membaca sambil merokok, atau membaca sewaktu terlantar sakit atas katil. Tidak kurang menggelikan, sesetengah pembaca gemar membelek buku dalam tandas. Bayangkan berapa banyak kuman yang selama ini terkandung dalam bilik air, kini dipindahkan keluar dari habitatnya melalui buku.

Patutlah terdapat berita yang melaporkan penemuan virus herpes dalam novel erotik, Fifty Shades of Grey dan novel cinta, Tango. Laporan itu berdasarkan kajian Universiti Leuven di Belgium. 10 buku yang paling kerap dipinjam di perpustakaan universiti telah diambil sampelnya.

Di samping virus herpes, turut ditemui dalam setiap 10 buku tersebut adalah kesan-kesan kokain. Kisah yang membawa kepada keberadaan dadah dan kuman daripada kawasan alat kelamin kepada helaian muka surat tersebut eloklah dibiarkan hanya pada imaginasi masing-masing.

Virus herpes paling banyak ditemukan pada buku Fifty Shades of Grey

Bagaimanapun, jika kita meninjau perlakuan membaca yang paling asas, buku merupakan medium yang ‘baik’ untuk menyebarkan penyakit. Majoriti pembaca membaca buku pada jarak sekitar 20 cm daripada muka, jauh lebih hampir berbanding jarak antara dua individu yang sedang berbual.

Buku menuntut pembacanya untuk menghabiskan tempoh yang tidak sebentar. Satu buku biasa dihabiskan antara tiga hari hingga dua minggu.  Dalam tempoh tersebut, tentu sekali pembaca bakal terdedah secara konsisten kepada kuman-kuman yang terkandung di celah-celah setiap helaian kertas buku.

Malang itu berbau

Pernahkah anda meneliti buku-buku terpakai yang lama? Terdapat suatu aroma istimewa yang keluar daripada helaian kertasnya. Aroma tersebut tidak mampu didapati dalam medium pembacaan yang lain.

Di mata –atau di hidung- peminat dan pengumpul buku lama, bauan inilah yang menggamit minat mereka, deria yang sentiasa merangsang aktiviti pemburuan buku mereka.

 

Untuk ahli kimia pula, mereka punya pendapat lain.

Aroma itu tidak lebih sekadar reaksi bahan kimia dengan udara. Dalam konteks buku, bahan kimia ini hadir dalam bentuk jenis kertas, dakwat tulisan dan bahan gam yang digunakan. Apabila diselidiki kandungan bauan tersebut, terserlahlah bahaya yang selama ini sepi daripada pengetahuan awam.

Seperti semua objek yang terhasil dari bahan-bahan organik, buku turut melalui proses pereputan. Dek proses pengoksidaan, kulit buku dan helaian kertasnya beransur kuning.

Lama kelamaan, buku-buku tersebut mereput dan menerbitkan bintik-bintik kulapuk (foxing) serta mengeluarkan bau yang tesendiri. Semakin rendah kualiti bahan penghasilan buku, semakin cepatlah proses pereputan ini berlaku.

Hal ini menjadikan buku medium baik untuk pembiakan kulat. Inilah yang ditemui sekumpulan pengkaji dari Universiti Ca’ Foscari, Venice, Itali. Hasil kajian, kulat tersebut dikenal pasti sebagai Eurotium halophilicum dan Aspergillus penicilloides yang merupakan punca penyakit alahan, masalah paru-paru dan masalah kulit.

Walaupun kajian di atas adalah berdasarkan kepada buku-buku usang dan manuskrip lama di perpustakaan, keputusannya telahpun dianggarkan oleh kajian terdahulu yang berdasarkan sampel daripada buku-buku yang lebih lazim dipinjam.

Tinjauan Megan Hempel dan rakan-rakan dari Universiti Ontario, Kanada pada 2014 terhadap berita-berita yang melaporkan jangkitan penyakit melalui perantaraan buku berjaya mengenal pasti bakteria-bakteria utama yang membawa kepada antaranya musibah penyakit pernafasan yang teruk dan jangkitan kulit. Kuman tersebut adalah daripada spesis keluarga penicillium dan staphyloccus di samping aspergillus yang sudah disentuh tadi.

Punca dan cara penyebaran penyakit telah dibayangkan di atas, namun kajian tersebut turut menyentuh dapatan baharu. Kajian ini mendapati bahawa faktor pengudaraan yang kurang baik dalam perpustakaan sebagai antara penyumbang terbesar di samping tempoh senggang yang pendek antara satu pinjaman dan pinjaman seterusnya meningkatkan kebarangkalian kuman berjangkit daripada peminjam terdahulu kepada peminjam sekarang.

 

Sejarah jadi saksi

Dewasa ini umat manusia bernasib baik dengan kecekapan perubatan moden dalam membanteras penyebaran penyakit berjangkit. Justeru, kita tidak akan mampu terbayangkan kegelisahan yang berlaku sewaktu era sebelum penemuan antibiotik penisilin (40-an).

Ketika meletusnya wabak penyakit cacar dan batuk kering pada penghujung abad ke-19, perpustakaan-perpustakaan awam di serata Eropah dan Amerika telah dituduh menyumbang kepada kemaraan wabak ini. Suara-suara sumbang ini kebanyakannya datang daripada ahli masyarakat dan majlis perbandaran.

Komuniti doktor dan saintis cuba untuk meredakan kebimbangan. Namun dengan metodologi uji kaji yang begitu terhad, mereka hanya mampu memberikan alasan-alasan teoretikal yang tidak meyakinkan masyarakat.

Beberapa tindakan terpaksa diambil pihak berkuasa demi mengharmonikan keadaan. Proses penyahan kuman dijalankan dengan teknik-teknik yang primitif. Ada buku yang dipanaskan dalam ketuhar; ada juga yang didedahkan kepada wap-wap panas atau gas-gas berasid tinggi.

Dalam banyak keadaan, keadaan buku itu bertambah teruk susulan daripada itu. Kebimbangan masyarakat yang kian memuncak berikutan keganasan wabak yang semakin berterusan  menyebabkan tindakan yang lebih ekstrim diambil: pemusnahan dan pembakaran buku.

Tindakan ini berjalan paling efektif di Britain di mana jalinan kerjasama yang sangat erat berlaku antara perpustakaan dan badan kesihatan awam di Britain.

Badan kesihatan awam menyediakan pihak perpustakaan senarai nama individu yang menghidap penyakit berjangkit tersebut. Berpandukan senarai tersebut, mana-mana peminjam yang dikenal pasti sebagai pesakit, buku-buku pinjaman mereka akan dimusnahkan sebaik sahaja dipulangkan.

Perkembangan ilmiah dewasa ini memastikan tindakan-tindakan semberono yang merugikan tersebut dapat dielak. Selalunya, hanya dengan mencuci tangan dengan betul serta menggunakan sabun anti-kuman yang biasa sudah mencukupi. Untuk mereka yang lebih bimbang dengan potensi jangkitan, terdapat teknik penyahan kuman yang boleh dipraktikkan tanpa membawa kepada kerosakan yang lebih kepada buku.

Kotak penyahkuman buku. Sumber: Tokyo Times

Kaedah yang senang digunakan adalah dengan mengelap buku tersebut dengan bancuhan cuka dan air biasa. Pendekatan yang lebih agresif pula adalah dengan menggunakan campuran formalin.

Sementara itu, Jepun yang tersohor dengan sikap penjagaan kebersihan telah melangkaui setapak lebih jauh dengan mencipta kotak penyahkuman buku yang menggunakan teknologi sinaran ultraungu. Pendek cerita, terpulanglah kepada keprihatinan masing-masing! #

Comments

comments