Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

SECARA sedar mahupun tidak, dengan naratif yang dikarang oleh para penulis novel terdahulu, telah menjadi inspirasi untuk para pembangun permainan video mengadaptasikan, ataupun sekurang-kurangnya mengilhamkan mereka untuk mencipta permainan video.

Seperti yang disenaraikan, para penggiat industri tersebut cuba mencari kesesuaian untuk dimuatkan di dalam setiap permainan yang direka khas. Ini bertujuan menjadikan permainan video mereka seronok untuk dimainkan, sekali gus menarik minat para pencinta permainan video untuk memeriahkan industri mereka dengan keunikan dan gaya persembahan yang memukau; yang terdiri daripada pelbagai genre.

Berikut disenaraikan 8  permainan video yang diinspirasikan daripada buku.

 

  1. Brave Story: New Traveler

 

Permainan video ini diadaptasi dari novel grafik Jepun hasil karya Miyuki Miyabe, berjudul Brave Story. Demi menyesuaikan medium  permainan dan jalan cerita, sesetengah watak di dalam komik manga dikekalkan dan watak utamanya pula dicipta khas untuk permainan video, iaitu dua sekawan, Tatsuya dan Miki.

Permainan ini dimulakan dengan debut video Tatsuya dan Miki yang saling duduk bersebelahan di sebuah bangku. Dek kerana Tatsuya yang sangat fokus bermain permainan Sony PlayStation Portable (PSP), dia tidak menyedari kehilangan Miki.

Tatsuya hanya tersedar tatkala Kratos, anjing peliharaan Miki datang menghampiri dan menyalak; menandakan Miki sedang berada dalam situasi yang memerlukan bantuan. Lantas Tatsuya bergegas mengikuti Kratos dan akhirnya terjumpa Miki yang telah pengsan dan terbaring di atas tanah.

Melihat Miki yang tidak sedarkan diri, dia berazam untuk memulihkan rakannya. Detik itu jugalah dia terdengar suara ghaib yang mampu menyembuhkan Miki. Namun, dia harus mengembara ke dunia yang sangat asing, aneh, dan merbahaya. Untuk kembali semula ke dunia realiti, Tatsuya harus mengumpulkan lima permata yang berbeza-beza untuk disempurnakan di ‘pedang pengembara’ yang ada bersamanya sebagai melengkapi terma dan perjanjian dalam misi utama memulihkan Miki.

 

  1. Chaos Legion

Diadaptasi juga dari novel grafik Jepun karya Tow Ubukata, dengan tajuk yang serupa, permainan video ini merupakan antara yang digemari oleh para pemain yang meminati genre opera gothic. Permainan video yang telah dikeluarkan sekitar tahun 2003 secara berperingkat-peringkat mengikut negara tertentu ini tersedia untuk platform konsol PS2 (PlayStation 2) dan PC.

Dengan gaya permainan aksi pengembara dan taktikal ‘godam dan cincang’, pasti membangkitkan keghairahan dan adrenalin para pemain. Apa tidaknya, konsep permainan yang huru-hara ini menjanjikan aksi ‘cincang-mencincang’ jembalang dan raksasa yang pelbagai saiz lagi menggerunkan dan bengis disertakan muzik latarbelakang yang rancak; dari awal hinggalah ke akhir misi. Hal ini juga mengingatkan para peminat akan permainan video yang bergenre sama seperti siri Devil May Cry, dengan watak utamanya, Dante.

Melalui watak utama yang juga protagonis untuk permainan ini, iaitu Sieg Warheit, merupakan seorang pahlawan berkarakter gelap (dark) menjalankan misi mencari bekas rakan yang kini bertukar musuh, iaitu Victor Delacroix.

Arahan yang diterima dari organisasi St. Overia itu dijunjungnya dengan bersungguh kerana Victor telah mencuri buku larangan ‘Apocrypha of Yzarc’, dan jika niat jahat tersebut tidak dihentikan, bakal mengundang kemusnahan. Ini kerana buku larangan tersebut mampu membangkitkan entiti dan semangat jahat yang bergelar ‘Azrail’, di mana dengan kuasa jahat itu mampu memusnahkan kewujudan tiga dunia dan kehidupan keseluruhannya, iaitu Dunia Nether, Dunia Middle, dan Dunia Celestial.

 

  1. Metro 2033

Novel yang dikarang oleh seorang jurnalis dan penulis berkaliber Rusia, Dmitry Glukhovsky ini telah mendapat sambutan hangat oleh beberapa buah negara. Diterbitkan sekitar tahun 2005 di Rusia dan diikuti oleh Amerika Syarikat pada tahun 2010, juga telah diterjemah ke beberapa bahasa, antaranya Bahasa Inggeris, Finnish (Poland), Turki, dan Parsi. Novel bergenre sains fiksyen dan post-apokaliptik ini menceritakan keadaan kemusnahan dunia besar-besaran akibat peperangan nuklear secara global.

Pengarang menggambarkan pada tahun 2033, kehidupan secara keseluruhannya telah binasa dan mati, termasuklah manusia. Suasana atmosfera bumi menjadi distopian dengan pencemaran radiasi yang teruk. Bumi sudah menjadi sebuah planet yang tidak lagi boleh dihuni, malah keseluruhan hidupan hampir pupus.

Apa yang masih berbaki adalah beberapa ekar hutan tebal yang masih ‘hidup’ dan kebanyakan bandar-bandar dan metropolitan yang telah musnah; selain kenangan, mitos, dan lagenda yang masih terngiang-ngiang di memori. Sekalipun spesis manusia telah pupus, terdapat lagi antara mereka yang masih terselamat, namun hanya mampu pasrah dalam meneruskan perjuangan untuk terus hidup.

Ribuan antara mereka mencari tempat perlindungan bawah tanah yang terbesar di Rusia, yang digelar Metro. Melalui watak utama iaitu Artyom, beliau ditugaskan untuk menyampaikan mesej perlindungan kepada manusia lain yang masih hidup, selain meminta bantuan dengan harapan dapat mengembalikan kehidupan yang berbaki.

Namun, di dalam permainan video yang berjudul serupa ini, misi hanya tertumpu kepada Artyom yang cuba untuk menyelamatkan stesen pengkalan perlindungan bawah tanah, Metro, dari serangan manusia yang telah bermutasi, selain mencari sumber di permukaan bumi yang beradiasi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

 

  1. Assassin’s Creed

Tidak dinafikan, ini adalah antara permainan video yang popular dekad ini dengan kelasnya yang tersendiri. Sebaris dengan tajuk-tajuk besar lain seperti Metal Gear Solid, Horizon Zero Dawn, Grand Theft Auto, dan pelbagai lagi.

Menurut produsernya, Jade Raymond, permainan video Assassin’s Creed adalah diinspirasikan dari novel karya Vladimir Bartol, yang diterbitkan pada tahun 1938 bertajuk Alamut. Sebagaimana judul tersebut, latar tempat adalah sekitar Alamut, di mana terletaknya sebuah penempatan Bandar Kubu Parsi yang terletak enam puluh batu dari Tehran.

Pada awal kurun ke-11, Bandar Kubu Alamut di kawal oleh pembesar bernama Hassan-i Sabbah beserta para pembunuh upahannya. Hampir kesemua fakta sejarah yang dikarang dalam novel Alamut telah diadaptasikan ke permainan video ini. Secara tidak langsung, Assassin’s Creed adalah permainan berkategori fiksyen sejarah. Ini kerana novel yang ditulis oleh Vladimir adalah berkisarkan rakaman sejarah Parsi yang hanya ditambah dengan elemen aksi dan sains fiksyen di dalam permainan video ini.

 

  1. Spec Ops: The Line

Diilhamkan dari novel karya Joseph Conrad, bertajuk Heart of Darkness, menjanjikan latar tempat dan masa yang berbeza. Hanya konsep naratif sahaja dikekalkan.

Jika novel Heart of Darkness berlatar tempat peperangan di Congo lewat kurun ke-19, permainan tembak-menembak ini menggunakan latar tempat di Vietnam, iaitu semasa perang Vietnam pada tahun 1969. Di tambah dengan elemen sains fiksyen dan futuristik, ianya dilihat sebagai adunan latar peperangan di kawasan Timur Tengah seolah-olah di Dubai.

Seperti plot naratif yang terdapat pada novel, permainan ini mengisahkan sekumpulan tentera yang misi mereka adalah untuk mencari orang-orang awam yang masih terselamat selepas kemusnahan berlaku. Para pemain akan diperkenalkan dengan watak bernama Colonel John Konrad, sekaligus mengawalnya sepanjang misi genting tersebut.

 

  1. Siri The Witcher

Setelah mendapat sambutan hangat oleh para pemain video, kesinambungan The Witcher 3 dilihat menjadi antara permainan bergenre aksi dan dunia terbuka yang turut diraikan pada dekad ini. Apa yang pasti, permainan video ini adalah diinspirasikan dari novel bersiri The Witcher yang ditulis oleh pengarang Poland, Andrzej Sapkowski.

Permainan ini menggunakan watak bernama Geralt, seorang pemburu makhluk raksasa yang mempunyai kuasa luarbiasa tertentu di dalam bertarung dengan makhluk-makhluk tersebut. Tidak seperti yang ditulis di siri novel-novel The Witcher, permainan ini memberi pilihan kepada pemain untuk membentuk dunia melalui keputusan yang dibuat oleh Geralt. Karya novel tersebut telah menjadi kebanggaan warga Poland kerana sambutan hangat yang telah diraihnya.

 

  1. S.T.A.L.K.E.R: Shadow of Chernobyl

Ternyata naratif bergenre sains fiksyen sangat sebati dengan sesetengah pengarang Eropah. Antaranya ialah kolaborasi idea oleh Arkady dan Boris Strugatsky, dua beradik selaku pengarang Rusia yang telah menuliskan novel bertajuk Roadside Picnic.

Buku yang diterbitkan secara sulung pada tahun 1972 ini mengisahkan Red Schuhart, seorang yang gemar mengumpul dan mencuri artifak-artifak aneh dan asing yang tujuannya adalah untuk dijadikan barang dagangan di pasaran gelap untuk meraih keuntungan yang tinggi.

Dia telah menceroboh masuk ke sebuah pengkalan rahsia milik kerajaan yang meninggalkan artifak makhluk asing, di mana keanehan tersebut telah mencetuskan perasaan ingin tahu dan keterujaan Schuhart untuk menggali rahsia tersebut dengan lebih mendalam. Ini menyebabkannya untuk tidak henti-henti melakukan pencerobohan dan pencurian; sekalipun ianya merbahaya dan berisiko mengancam nyawanya sendiri.

Dengan konsep yang sama juga, pembina permainan video Ukrain telah mengadaptasikannya khas untuk dinikmati oleh para pemain. Berlatarbelakangkan era peperangan di Chernobyl, iaitu sebuah bandar berhampiran Kiev di Ukrain, pemain akan memainkan watak dan karakter ‘stalker’, iaitu pencuri dan penyeludup artifak makhluk asing yang akan melaksanakan misinya itu semata-mata ingin mengetahui akan rahsia besar yang disembunyikan oleh kerajaan terhadap kerjasama dengan makhluk asing. Sudah pasti, untuk memeriahkan permainan video ini, pemain akan ‘disajikan’ dengan musuh-musuh berupa makhluk asing untuk ditentang.

 

  1. Metal Gear Solid V: The Phantom Pain

Kreativiti dan bakat yang berkaliber di dalam membina permainan video oleh Hideo Kojima sentiasa mendapat reaksi tepukan gemuruh oleh peminat-peminatnya di seantero global. Menerusi francais kelima beliau, permainan video bergenre aksi pengembara dan serang hendap, telah mendapat pelbagai pengiktirafan dalam variasi anugerah besar berkaitan industri permainan video.

Secara ringkas, premis MGSV: The Phantom Pain berkisar suasana selepas kemusnahan Ground Zero yang dionarkan oleh Tentera Sans Frontiers. Melalui watak berkod nama ‘Venom Snake’, pemain akan melaksanakan misi menjejak individu-individu yang terlibat di dalam kemusnahan kejam tersebut. Latar tempat dan masa yang bersifat interaktif telah menjadi antara tarikan dan keunikan permainan video ini. Ia berlatarbelakangkan sekitar Afghanistan dan Angola semasa era perang saudara Soviet-Afghan dan Angola-Zaire.

Sepanjang menjalankan misinya, Snake turut berkolaborasi bersama watak-watak ikonik yang tidak kurang juga hebatnya seperti Ocelot, Quiet, Kazuhira Miller, juga penampilan anjing Husky yang terlatih yang diberi gelaran ‘Diamond Dog’.

Walaupun dilihat tidak seratus peratus permainan video ini diadaptasi. Namun tidak dinafikan, Hideo Kojima banyak mencedok nama-nama watak dan ilham babak-babak di dalam karya permainan videonya. Melalui novel bertajuk Moby Dick, hasil pengarangan Herman Melville, sesetengah watak diberi nama Ishmael dan Ahab. Selain itu, gelaran Pequod dan Queequeg turut digunakan oleh Hideo untuk menamakan jurupandu helikopter di dalam unit Diamond Dog.

Dalam novel Moby Dick, Pequod merupakan gelaran kapal pelayaran yang wujud semasa memburu ikan paus; Queequeg pula adalah salah satu nama bagi watak fiksyen novel tersebut. Tambahan lagi, turut terlihat ikan paus di dalam babak permainan video tersebut, sebagai lambang pengaruh novel Moby Dick terhadap karya hebat beliau yang pernah diciptanya.

 

Meneruskan kesinambungan industri

Dengan kebanjiran penciptaan permainan video ini yang akan dihasilkan saban tahun, pasti akan sentiasa terdapat peningkatan sama ada dari segi grafik, jalan cerita, kaedah atau genre permainan yang sememangnya bervariasi dan hebat. Tidak mustahil kolaborasi di antara kedua-dua industri ini yang terlaksana secara tidak langsung, pasti akan menjadi trend pada masa akan datang.

Apa yang pasti, para penggiat dan pembina industri hiburan permainan ini akan sentiasa mencari idea supaya setiap hasil karya mendapat reaksi teruja dari para peminat dan pemain di seluruh negara.

 

#

Comments

comments