FILEM animasi Malaysia kini sangat membanggakan. Ia bukan sahaja bersifat hiburan yang dipenuhi dengan gambar berwarna-warni, malah juga bersifat mendidik dengan penyampaian jalan cerita yang baik dan menarik serta penuh dengan pengajaran. Kini, dengan adanya penghasilan animasi dalam bentuk 3D  menjadikan animasi ini lebih istimewa dan menarik.

Animasi yang semakin popular kini bukan sahaja boleh dilihat di kaca televisyen malah telah diadaptasi kepada buku dengan adanya kerjasama daripada pihak-pihak penerbit buku yang ingin bersama-sama menjayakan produk filem siri animasi di Malaysia.

Antara filem siri animasi yang hangat dipasaran dan semakin popular ialah Upin & Ipin (2007), Boboiboy (2011), Didi and Friends (2014) dan lain-lain lagi.

Penerbit-penerbit buku di Malaysia telah bekerjasama bagi mencapai hasrat untuk memartabatkan hasil karya dari filem siri animasi di Malaysia. Penerbit-penerbit buku yang telah menerbit koleksi buku dari filem siri animasi ialah Kumpulan Media Karangkraf, Ana Mariam Shoppe, Nyla Sdn Bhd dan lain-lain lagi.

Kit Jom Ngaji Upin & Ipin

 

Kumpulan Media Karangkraf

Kumpulan Media Karangkraf telah membina perhubungan kerjasama dengan AJV Holdings Sdn Bhd dan Les’ Copaque Production Sdn Bhd untuk menjual dan memaparkan siri animasi iaitu ‘Upin dan Ipin’.

Syarikat produksi filem tempatan animasi ini yang berjaya menambat hati masyarakat telah bekerjasama dengan syarikat penerbit buku (KMK) dan  menjual koleksi produk buku berjudul ‘Jom Ngaji’ Upin Ipin buat pertama kali secara besar-besaran sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013.

Menurut Pengarah Urusan KMK, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata pihaknya dan pihak perfileman animasi yang terlibat ini akan bekerjasama mempromosikan produk al-Quran digital yang memaparkan watak animasi Upin dan Ipin hasil keluaran AJV Holdings.

Kumpulan Media Karangkraf telah melakar sejarah dengan jualan yang istimewa buat pertama kalinya. Syarikat ini telah memasarkan produk lain selain terbitannya sendiri dengan memaparkan watak siri animasi Upin dan Ipin.

Beliau turut menyatakan, Karangkraf berminat untuk bekerjasama dengan syarikat berkenaan kerana yakin produk tersebut adalah baik dan berkualiti. Beliau meletakkan harapan daripada hasil gabungan kekuatan Karangkraf dan siri animasi Upin & Ipin akan mendapat tempat di pasaran di seluruh dunia.

Selain itu, buku ‘Jom Ngaji’ Upin Ipin ini istimewa kerana mengikut silibus Al-Quran Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK). Buku ini juga disertai dengan penggunaan Intelligent ReadPen ‘Jom Ngaji’ Upin Ipin akan berfungsi sebagai alat bantuan belajar dan mengajar.

Hasil daripada pemaparan watak comel animasi Upin dan Ipin, kaedah pengajaran mengaji akan menjadi lebih menarik dan interatktif. Al-Quran digital ini berharga RM399 dan tempahan juga boleh dibuat melalui Karangkraf Mall.

Pada tahun 2017 yang lalu, kumpulan Media Karangkraf juga telah menerbitkan Buku Cerita Bergambar Didi & Friends untuk bahan bacaan kanak-kanak pertama di Malaysia yang menggunakan aplikasi 3D Augmented Reality (AR).

Siri animasi Didi & Friends berbentuk nyanyian dengan tagline ‘Jom Nyanyi! Hora Horey!’. Semua lagu yang dimainkan dalam Bahasa Malaysia dan mempopularkan semula dari lagu kanak-kanak dan nyanyian lagu rakyat. Antara lagu kanak-kanak yang dimainkan ialah Kalau Rasa Gembira, Papaku Pulang Dari Kota dan lain-lain lagi.

 

Terbitan bersama ITBM dan NYLA Sdn. Bhd.

Selain itu, Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITBM) dan Nyla Sdn Bhd juga telah bekerjasama dengan izin Les’ Copaque Production Sdn Bhd untuk mengadaptasikan siri filem animasi Upin dan Ipin dalam bentuk penerbitan buku.

Cetakan pertama buku daripada penerbitan ini ialah pada tahun 2012 dengan memaparkan kartun Upin Ipin dengan buku yang bertajuk Mari Belajar Sains Bersama Upin & Ipin: Air dan Mari Belajar Matematik Bersama Upin & Ipin Mengenal Bentuk 2 Dimensi.

Pada Disember 2009, Nyla Sdn Bhd juga telah menerbitkan majalah komik dari siri animasi Upin & Ipin. Komik ini ialah hasil daripada tangkapan skrin siri animasi Upin & Ipin sebagai isi kandungan majalah tersebut.

Tujuan komik ini diterbitkan bagi memberi galakan untuk membaca dalam kalangan kanak-kanak yang kini lebih cenderung dengan permainan video dan internet.

Pengaruh daripada filem animasi seperti Upin Ipin mendatangkan pencapaian yang cemerlang bagi kedua-dua industri ini. Kedua-dua industri saling bekerjasama dalam strategi pemasaran bagi menarik minat masyarakat untuk menghargai hasil karya anak tempatan sendiri. Justeru hal ini turut mengangkat imej 1Malaysia kerana watak animasi yang ditonjolkan mewakili pelbagai kaum.

 

Ana Mariam Shoppe

Ana Mariam Shoppe ialah pembekal barangan pendidikan dan permainan kanak-kanak yang juga memaparkan watak kartun Upin Ipin. Syarikat ini telah mengeluarkan produk Smart Pen Upin Ipin yang boleh menarik minat anak-anak untuk seronok belajar mengaji, belajar solat dan belajar bercerita melalui kamus bergambar.

Buku yang diterbitkan oleh Ana Mariam Shoppe merupakan buku-buku yang boleh dibaca oleh suara Upin Ipin yang asli. Oleh itu kanak-kanak yang membaca dan mendengar buku tersebut akan lebih tertarik dan berasa teruja untuk belajar apabila mendengar suara daripada kartun yang disukai mereka.

Daripada kejayaan filem siri animasi seperti Upin Ipin dan animasi yang lain juga telah banyak memberi ilham kepada penerbit untuk mengadaptasikan watak kartun tersebut ke buku dan alat-alat pendidikan yang lain.

Hal ini demikian kerana filem Upin & Ipin telah berjaya menambat hati masyarakat yang bukan sahaja golongan kanak-kanak malah dalam kalangan remaja dan dewasa. Hal ini sekali gus akan memungkinkan pasaran yang lebih luas dapat diteroka, bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara seperti Indonesia dan Singapura. Justeru hal ini mampu menaikkan nama industri yang terlibat.

Kerjasama yang dilihat antara industri penyiaran animasi dan industri buku ini sangat membanggakan kerana saling memartabatkan keaslian hak cipta di negara ini. Pencapaian terbaik ini juga diharap dapat berkekalan dan terus maju bagi mencapai tahap kemakmuran ekonomi yang ingin dikecapi.

#

Comments

comments