Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

BUKUsentiasa mendapat sebutan terindah dan terpuji dalam prosa dan puisi. Siapa yang tidak mengenali al-Jahiz, seorang bibliomania tamadun Islam yang digelar Bapa Prosa Arab; beliau selalu melahirkan kekaguman terhadap buku dalam karya-karyanya.

Jejaknya diikuti oleh ramai tokoh ilmuwan Muslim yang lain seperti Dr. Aidh al-Qarni, yang menyelitkan kedudukan buku sebagai sebaik-baik teman sejati dalam buku terlarisnya, Jangan Bersedih.

Mufti Wilayah Persekutuan ke-7, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga tidak ketinggalan mengarang beberapa buah buku mengenai kehebatan buku dan membaca. Sesiapa yang sering mengikuti kuliahnya, pasti mengetahui minat beliau yang besar terhadap buku dan pembacaan.

Buku La Tahzan

Buku tidak hanya menjadi kekasih kepada sarjana dan ilmuwan Islam. Dalam peradaban Barat, buku diberi tempat istimewa yang sama. Profesor Max Weisweiler, seorang orientalis terkenal yang menterjemah banyak karya peradaban Islam ke dalam bahasa Jerman termasuk Hikayat 1001 Malam, memilih plat buku tertera syair Arab untuk perpustakaan peribadinya.

Syair itu bermula dengan baris ini: Sebaik-baik teman ketika sunyi ialah kitab (buku).

 

Buku dalam puisi

Sehingga kini, citra buku yang istimewa masih lagi terus mendapat tempat sama ada dalam prosa mahupun puisi, menjadikan kecenderungan ini menarik untuk disorot dan diamati.

Beberapa puisi Melayu dan Inggeris tentang buku yang terbit dalam akhbar, jurnal dan majalah di Malaysia serta di luar negara menambah pengalaman manis pembaca tentang objek luar biasa ini.

Carolyn Wells dalam puisinya Of Modern Books yang ditulis berbentuk quatrain, menceritakan tentang limpahan buku dan majalah yang terpaksa dihadapi sebagai pembaca. Setiap hari para pengarang menghasilkan manuskrip baharu dan surat khabar yang dilanggan tiba di pintu rumah, manakala buku-buku yang sudah dibeli bersusun tanpa sempat disentuh. Ini membuatkan pembaca berasa hilang harapan untuk menelaah kesemuanya dalam tempoh yang sesuai.

Wells yang menulis pada awal abad ke-20, menulis puisinya sebagai reaksi kepada kebanjiran maklumat bercetak. Sentimen ini tentu dikongsi oleh banyak pembaca hari ini, apatah lagi berhadapan dengan tsunami maklumat dalam pelbagai bentuk dan format. Pembaca terpaksa bersaing dengan pilihan menonton atau mendengar yang dihidangkan secara tersuai dan dipersonalisasi supaya khalayak terpesona tanpa henti.

Namun, kemahuan tinggi pembaca dalam puisi Wells untuk mengetahui hal-hal terkini tetap mengekalkan minat terhadap buku dan aktiviti membaca. Di sebalik perasaan tidak senang memikirkan betapa banyak bahan yang tidak sempat dijamah, pembaca itu tetap berusaha keras sekurang-kurangnya membelek beberapa majalah sebulan atau menyemak judul-judul pilihan yang penting secepat yang mampu.

Dalam puisi Tula [“Books are Door Shaped”] karya Margarita Engle pula, beliau melihat buku daripada perspektif gender. Gadis dalam puisi menceritakan pengalamannya menghadapi tanggapan seorang ibu yang melihat buku sebagai ancaman kepada ciri kewanitaan.

Pada mata ibunya, ‘…girls who read too much/are unladylike/and ugly.

Namun, tindakan yang diambil dengan mengunci pintu almari buku si ayah supaya gadis itu tidak boleh meneruskan minat membaca, tidak berupaya menghalang kebiasaan berfikir yang telah berputik dalam diri gadis itu. Dia terus berimaginasi dan menikmati hidupnya setelah diberi peluang mengecap keindahan membaca.

Puisi Erica Jong, Books (1971) mengangkat buku sebagai penghubung antara pembaca dengan kehidupan, kerana buku membawa ‘smell of earth’ tatkala halamannya diselak. Beliau membuka puisinya dengan kata-kata Jorge Luis Borges “The universe (which others call the library)” dan menyenaraikan buku dengan segala keindahan dan kerenahnya: buku yang dijilid dengan benang putih, buku yang dibaca di pantai sambil bersantai, buku yang dipenuhi nota kaki yang tidak perlu, buku yang dihuni gegat atau ditumbuhi kulat, dan banyak lagi.

Ini membawa nuansa tentang buku ke dalam fikiran penikmat puisi, merasai dekatnya kehadiran buku dalam banyak keadaan dan perjalanan hidup. Oleh itu, buku sangat sinonim dengan alam semesta itu sendiri.

 

Landskap buku dalam puisi-puisi tempatan

Manakala kecenderungan puisi-puisi Melayu apabila berbicara tentang buku dan aksara mempunyai konotasi berbeza. Hal ini demikian citra buku sering dikaitkan dengan elemen keagamaan, seperti buku amalan. Inilah yang terpancar dalam dua puisi yang terbit dalam Dewan Sastera pada bulan Jun dan Julai 2016, masing-masing dengan judul Aksara (Rosli K. Matari) dan Buku Baharu (Alias Ismail).

Alias Ismail dari Terengganu menyampaikan peringatan tentang pengakhiran hidup manusia di alam akhirat melalui bait puisi ini:

 

Pastikan buku ini

terserah di tangan kanan

diterima dengan sarat

di atas neraca

di rumah keadilan.

 

Sebuah puisi lain iaitu Di Pustaka Maulana (Berita Harian, 28 Januari 2018) oleh Baharuddin Sairi juga mempunyai elemen keagamaan. Puisi itu menyebut tentang pustaka maulana, iaitu tempat ‘terhimpun kitab-kitab maknawi’ yang dengan halus mengangkat kitab-kitab sebagai simbol ilmu yang dimiliki oleh maulana.

Oleh itu, penerokaan sisi buku sebagai sebuah objek yang penting dalam hidup manusia, tidak terlukis dengan nyata dalam puisi ini. Tentu sekali ini tidak salah, kerana hakikatnya, buku menjadi mulia terutamanya disebabkan ilmu yang terkandung di dalamnya. Bukan kerana sebab-sebab luaran yang lain.

Manakala Norziati Mohd Rosman dalam puisinya Mencari Tahu yang terbit pada 26 Mac 2016 di BH Ahad dengan kritis mempersoal kedudukan buku-buku yang terdapat di atas rak, sama ada benar-benar berisi ilmu yang diperlukan atau tidak.

Beliau malah mengatakan bahawa ‘perjalanan mencari tahu’ itu jauh lebih membawa seseorang menuju matlamat yang sebenar dalam kehidupan, berbanding menelaah buku yang isinya bukan-bukan. Sekali lagi, sisi maknawi buku ditekankan berbanding sisi duniawi yang kerap dirakam dalam puisi-puisi Inggeris.

Sebuah puisi lagi yang pernah terbit di Dewan Budaya November 2016, karya Ami Masra dengan judul Budaya Membaca Budaya Ilmu, cuba menyampaikan hikmah yang sama dalam bait yang berbunyi: ‘Bacalah buku yang terbaik/Kita akan menjadi orang cerdik.’

Fazleena Hishamuddin

Puisi seterusnya oleh Fazleena Hishamuddin yang menggambarkan kasih dan reda seorang perempuan terhadap pasangan melalui hubungan erat seorang pembaca dengan buku dan penandanya mempunyai keunikan tersendiri, kerana berjaya mengangkat keintiman hubungan pembaca dengan buku yang dibaca.

Ini menunjukkan keakraban budaya buku dan budaya membaca mengalir dalam nurani pemuisi. Puisi yang berjudul Doa Sebuah Penanda Buku itu terbit dalam Dewan Sastera, Oktober 2016.

Sebagai penutup artikel, dihidangkan serangkap pantun tentang buku, agar menambah ingatan terhadap keistimewaan buku yang berkurun kekal menjadi wasilah ilmu:

 

Rumah batu berpintu kaca,

Rumah Tuanku Malim Sutan;

Ambil buku mari dibaca,

Perintang hati diseru setan.

Comments

comments