Asyraff Safar Ad-Din

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewartawanan -- penulis non-fiksyen & pengulas media sosial.

BAGI anda yang kurang gemar membaca secara atas talian (online), mungkin anda akan berkerut dan tertanya-tanya apa itu Wattpad. Atau mungkin ada di antara anda yang mengikuti perkembangan era digital kini tahu mengenainya namun meragui kualiti hasil penulisan di Wattpad.

Wattpad merupakan komuniti penulisan serta bercerita atas talian di mana pengguna boleh menghantar sebarang jenis tulisan seperti artikel, fiksyen, puisi dan sajak serta pelbagai lagi, sama ada melalui laman web sendiri atau aplikasi mudah alih. Ia boleh dihantar oleh sesiapa sahaja yang mendaftar akaun di Wattpad dan memberi peluang kepada mereka di luar sana untuk menghasilkan karya yang setara dengan karya popular.

Tidak hanya itu, seperti medium media sosial yang lain, pengguna juga boleh meninggalkan komen dan menyukai cerita yang dibaca pada setiap halaman atau baris cerita yang dibaca, serta menyertai kumpulan/komuniti yang berkaitan dengan laman web ini.

Diasaskan oleh Allen Lau dan Ivan Yuen pada November 2006, Wattpad mengorak langkah satu demi satu bagi memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai penyedia lamam web penulisan bebas di dunia. Menyorot kembali beberapa tahun ke belakang, kebanyakan penulis datangnya daripada blog di mana ketika itu format yang digunakan tidak teratur seperti sebuah laman atau portal khas seperti buku atau sebagainya. Namun dengan kehadiran Wattpad, ia lebih praktikal dan dikhususkan kepada mereka yang gemar menulis — novel, cerpen dan hasil penulisan kreatif yang lain.

Wattpad memberikan para penulis peluang untuk menulis, mempromosikan dan membantu kerja mereka merentasi pembaca atau pengguna yang luas dan bervariasi lebih dari satu juta pengguna. Para pengguna secara aktif juga terlibat dalam keseluruhan proses dan dapat berinteraksi secara langsung dengan para penulis dan berkongsi pendapat mereka dengan sesama pembaca. Walaupun terdapat lebih daripada 50 bahasa, 77 peratus kandungannya ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk membantu cerita-cerita ini mencapai sebahagian besar komuniti, beberapa pengguna Wattpad telah meluangkan masa untuk menterjemahkan cerita-cerita yang terdapat di dalam laman web ini.

 

Penulis Muda Wattpad di Malaysia

Tidak dinafikan bahawa Wattpad masih lagi belum dikenali di Malaysia seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Mungkin pengaruh daripada beberapa laman web yang terdahulu berada di dalam negara — Penulisan2u, Portal Ilham antara yang terkenal menyebabkan Wattpad masih belum dikenali secara umum. Jika disebut pun, mungkin hanya beberapa orang sahaja yang tahu tentang kewujudan Wattpad ini.

Kerancakan dunia digital telah memperkenalkan banyak penulis muda bagi menceburi bidang penulisan di Wattpad. Jika dahulu, platform yang disediakan tidak mudah digunakan atau jarang orang dapat mengekspresikan minat mereka. Boleh dikatakan, mereka yang bertuah sahaja dapat menghasilkan novel atau buku-buku cerita. Malah di blog juga cuma mereka-mereka yang bernasib baik sahaja dapat berkongsi cerita seumpama dalam novel.

Tetapi kini tidak lagi dengan adanya Wattpad, di mana penulis bebas untuk menghasilkan cerita mengikut corak dan halatuju mereka. Kandungan di dalamnya juga mudah diakses serta pelbagai cerita akan dipaparkan pada halaman anjung (home) — menjadikan setiap karya yang dimuat naik boleh dibaca melalui ruangan “Suggestion” walaupun pengguna tidak mengikuti akaun tersebut.

Aplikasi Wattpad di telefon mudah alih juga menjadi penyumbang terbesar kepada penglibatan ramai pengguna muda di Malaysia. Sesiapa sahaja boleh menaip di telefon pintar mereka dan menekan butang “Publish” dan kongsikan di ruangan media sosial bagi meraih pembaca baru.

Wattpad inside

Jelas, pengguna-pengguna di Wattpad rata-ratanya adalah penulis muda di mana penghasilan cerita-cerita atau karya kreatif ini banyak memberi ruang untuk mereka bereksperimentasi — selain mudah dan percuma ia juga mesra pengguna sama seperti media sosial yang lain. Perkongsian ke Twitter dan Facebook bagi hasil karya juga merupakan salah satu faktor mengapa ia mendapat sambutan dalam kalangan pengguna muda. Pelbagai genre boleh dicari, cuma tinggal untuk dibaca sahaja.

Menyentuh berkenaan kualiti, ada di antaranya baik dan ada pula yang seakan tidak berapa selesa untuk dibaca apabila penggunaan tatabahasa yang salah, format penulisan yang berterabur atau bahasa bebas/rojak yang tidak sesuai menjadikan sesebuah karya di Wattpad di pandang enteng. Namun, ada juga karya yang tidak menepati “sedap mata memandang dan membaca” menjadi hit serta jumlah bacaan yang sangat tinggi — disebabkan idea dan jalan cerita yang tidak membosankan.

Apa yang boleh dikatakan adalah mungkin jika ia dijadikan sebuah novel fizikal atau pada masa akan datang bagi penulisan cerita yang lain, penulis dapat mengasah lagi kemahiran penulisannya. Mungkin betul juga ungkapan kepada tak semua orang ada kebolehan menulis dengan baik namun dia mungkin mempunyai idea yang sangat menarik.

Bagi penulis baru, laman web ini sangat membantu, dengan menerbitkan karya di Wattpad, anda bukan sahaja membina keyakinan anda sebagai seorang penulis, tetapi anda juga akan mendapat sokongan dan input yang akan membuatkan anda lebih baik dalam kerja anda. Kadang-kadang, maklum balas daripada pembaca juga membantu untuk anda membetulkan kesilapan dan meningkatkan prestasi penulisan ke tahap yang lebih memberangsangkan. Selain itu, idea akan lebih berkembang tanpa disedari.

Malah kini terdapat beberapa karya fiksyen di Wattpad yang telah diterbitkan kepada bentuk fizikal dan beberapa daripadanya antara yang terlaris di kedai-kedai buku. Creepyposta karya Jeffry Zain dan Uqasha karya Maria Isabella antara buku yang menjadi tumpuan ramai orang untuk memilikinya. Ternyata, tidak sahaja mempunyai jutaan bacaan malah dapat sambutan untuk dicetakkan. Selain itu, banyak negara lain turut mengarang karya-karya penulis Wattpad di negara mereka dan mengubahnya menjadi versi cetak seperti di Indonesia sebagai contohnya.

Creepyposta karya Jeffrey Zain

 

Uqaha karya Maria Isabella

Menurut beberapa penerbit yang telah menerbitkan karya yang diambil dari pengarang di laman Wattpad, mereka kagum dengan jumlah bacaan di laman web ini kerana ia telah dibaca berjuta-juta kali. Ini pencapaian yang mustahil dicapai oleh seorang penulis yang buku pertamanya, pertama kali dicetak. Melalui fakta ini, penerbit tempatan mula menyedari bahawa terdapat banyak penulis yang baik tidak terkesan dalam radar mereka. Wattpad adalah salah satu laman web yang kini bersifat kontemporari di kalangan remaja dan dewasa.

Secara tuntasnya, sama seperti pengarang novel secara umum, penulis Wattpad ini juga mempunyai kekurangan serta potensi untuk terus berkembang. Sesetengah orang terkejut dengan fenomena ini, tetapi ada yang menyangkal. Walau bagaimanapun, daripada menilai seperti itu, bagaimana jika kita cuba membacanya terlebih dahulu dan melihat bagaimana penulis yang datang dari sfera Wattpad ini berkembang. Siapa tahu mereka boleh menjadi salah seorang penulis Malaysia muda berbakat.  #

Comments

comments