Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

SEJAK 2016, beberapa program berbentuk wakaf buku telah dilancarkan di negara kita, antaranya Wakaf Buku DBP dan projek Ensiklopedia Wakaf yang diusahakan melalui kerjasama beberapa institusi awam dan separa awam termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Berita Harian juga memiliki program wakafnya sendiri dikenali sebagai Wakaf BH, melibatkan sumbangan surat khabar dan bahan bacaan sejak tahun lalu. Selain itu, organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) seperti The Wakaf Buku turut sama menjadi penggerak kepada usaha murni ini di rumah-rumah anak yatim dan kawasan pedalaman.

Hakikatnya, apabila disorot secara meluas dalam lipatan sejarah wakaf dunia Islam selama lima belas abad, wakaf telah memberi banyak sumbangan pada kesejahteraan sosial dan ekonomi umat Islam, termasuk dalam bidang pendidikan.

Antara institusi pendidikan Islam yang megah berdiri bertunjangkan sistem wakaf ialah Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir yang telah mencecah usia seribu tahun.

Institusi lain yang didukung oleh dana wakaf ialah pusat pengajian Nizamiyah di Baghdad pada zaman Abbasiyah, universiti al-Qurawiyyin di Maghribi dan pusat pengajian di Kordoba, Andalus pada zaman kerajaan Islam Andalusia.

 

Wakaf pendidikan di Malaysia

Di Malaysia, contoh wakaf pendidikan yang berjaya ialah wakaf Kolej Islam Malaya (KIM). Sejarah wakaf KIM ini terhimpun dalam buku Wakaf Pendidikan Tinggi: Urus Tadbir Kolej Islam Malaya, hasil suntingan Huzaimah Ismail dan diterbitkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Dalam dua bab terawal buku yang terbit pada 2016 ini, pembaca dapat memahami konsep wakaf pendidikan secara umum, sebelum membaca sejarah KIM dan aspek penjanaan dana wakafnya dengan terperinci.

Perbandingan menarik juga dibuat dengan bentuk wakaf atau filantropi pendidikan di tempat lain, yang menonjolkan keistimewaan dana wakaf KIM. Tambahan lagi, daripada dananya itu, KIM dapat pula membiayai pelajar-pelajar di universiti Islam yang lain dalam negara kita.

Kolej Islam Malaya didirikan atas tanah wakaf (kini KISAS)

Kolej Islam Malaya diasaskan pada tahun 1948 atas kesedaran mengenai kepentingan pendidikan tinggi Islam. Sebagai menyokong usaha pembangunan pendidikan agama, pada tahun 1955 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah telah mewakafkan sebidang tanah dan bangunan istana yang terletak di Kampung Jawa, Kelang untuk ditadbir oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Selangor (MAIS).

Menurut undang-undang negara kita, mana-mana aset yang diwakafkan oleh wakif atau pewakaf, perlu ditadbir oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Majlis Agama Islam memegang peranan sebagai Pemegang Amanah Tunggal bagi semua aset umat Islam yang diwakafkan di Malaysia.

Selain daripada sumbangan baginda Sultan, KIM turut menerima sumbangan wakaf irsad sejak 1961 daripada pihak kerajaan termasuk badan dan organisasinya seperti Kerajaan Persekutuan, Jabatan-jabatan Agama Islam negeri Johor, Kelantan, Perak, Pahang, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Malah ramai pewakif perseorangan yang menyumbang dalam bentuk wang tunai termasuk para syeikh negara Arab yang kaya-raya, serta pemilik beberapa syarikat besar yang bukan beragama Islam.

Kesuburan harta wakaf KIM kini boleh dijadikan penanda aras pengurusan harta wakaf yang baik, telus dan jujur. Hasilnya membuahkan keberkatan yang berpanjangan,  menebarkan manfaat kepada umat Islam secara meluas.

 

BACA: Mengumpul buku secara profesional

BACA JUGAHistoire du livre: bidang buku rentas sejarah

 

Penerbitan mengenai wakaf

Pada hari ini, usaha membangunkan ekonomi negara melalui wakaf berterusan malah semakin rancak dengan adanya dukungan kukuh daripada kerajaan. Malah wakaf telah dimasukkan ke dalam agenda ekonomi negara secara rasmi melalui pelan pembangunan Bumiputera yang dirancang.

Antara faktor yang menggerakkan pelan pembangunan wakaf negara ialah kerana kemajuannya bakal membantu mengurangkan beban belanjawan terutama dalam sektor pendidikan yang kian bertambah saban tahun.

Kita dapati seiring dengan perkembangan dalam bidang wakaf di Malaysia, karya mengenai penyelidikan wakaf pendidikan tinggi semakin giat diterbitkan.

Sebuah buku yang menyentuh mengenai wakaf pendidikan tinggi berjudul Wakaf Pendidikan Tinggi: Prospek dan Cabaran, menghimpunkan 14 makalah yang merakamkan pelbagai aspek tentang wakaf yang dilaksanakan di universiti-universiti dalam negara.

Antara isu yang menarik dalam makalah tersebut ialah tentang peranan dana wakaf di Universiti Teknologi MARA yang dijana melalui pelaburan dalam UiTM Holdings serta penubuhan Tabung Amanah Wakaf (TAWA). Kedua-dua bentuk penjanaan dana ini diharapkan dapat menampung sebahagian perbelanjaan universiti tersebut suatu masa nanti.

Selain itu, ada cadangan dibuat supaya suatu akta khusus untuk Institusi Pendidikan Tinggi Wakaf diwujudkan bagi menjadi pemangkin kepada penubuhan universiti wakaf pada peringkat nasional. Akta ini dilihat akan dapat menyelesaikan masalah penyelarasan wakaf yang sehingga kini  masih lagi dibelenggu oleh pentadbiran mengikut negeri seperti mana digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Makalah kelima menyeru peranan mutawalli dan nazir yang terlibat dalam pentadbiran wakaf pada peringkat pengajian tinggi diperkemas dan ditambah baik agar tidak berlaku sebarang ketirisan dan juga supaya potensi harta wakaf itu boleh dikembangkan ke tahap optimum.

Kelestarian wakaf pendidikan tinggi juga dilihat daripada aspek hadis Rasulullah SAW, yang menghubungkan antara anak soleh, amal jariah dan ilmu yang bermanfaat. Hal ini pernah disentuh oleh malim sarjana wakaf antarabangsa, Profesor Murat Çizakça.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan penting menerbitkan buku-buku tentang wakaf dalam tempoh tiga tahun terakhir ini antaranya Potensi Wakaf Pendidikan Tinggi di Malaysia oleh Ahmad Shaifful Anuar Ahmad Shukor, Potensi Dinar Emas dalam Wakaf Tunai (Surita Hartini Mat Hassan) dan Wakaf Tunai: Sejarah, Amalan dan Cabaran Masa Kini (Razali Osman).

Karya-karya tentang wakaf yang lebih awal diterbitkan kebanyakannya adalah karya umum dan himpunan kertas kerja persidangan.

Salah satu karya umum yang masih relevan ditulis oleh Osman Sabran, dengan judul Pengurusan Harta Wakaf yang diterbitkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Karya ini menghuraikan tentang amalan wakaf menurut mazhab al-Syāfi’ī serta isu-isu yang sering berbangkit di Malaysia mengenai wakaf.

Ahmad Zaki Abd. Latif, seorang pensyarah di Universiti Teknologi MARA yang giat mengarang mengenai wakaf di Malaysia, telah menulis sebuah buku yang padat dengan maklumat latar belakang wakaf pendidikan di sekolah-sekolah agama di Malaysia.

Melalui data yang dikumpulkan, beliau menyarankan pembinaan model pentadbiran wakaf yang dapat mengoptimumkan potensi wakaf di negara ini. Buku Wakaf: Pengurusan dan Sumbangannya Terhadap Pendidikan Islam (2008) memberi gambaran jelas betapa wakaf pendidikan telah memberi naungan kepada banyak sekolah agama kita, menyuburkan pendidikan agama serta melahirkan para pelapis yang mempunyai ketokohan dan kepimpinan dalam bidang keagamaan.

Negara kita juga tidak ketinggalan menerbitkan jurnal berwibawa yang merangkumkan bidang wakaf, zakat dan haji iaitu Jurnal Pengurusan JAWHAR. Jurnal ini berada di bawah kelolaan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri.

Usaha berterusan semua pihak ini, tidak kira dalam bidang wakaf pendidikan mahupun dalam konteks lebih berfokus seperti wakaf buku, sudah tentu bakal memberikan kesan ekonomi dan sosial yang positif pada masa akan datang.

Malah kini banyak kajian semasa tentang wakaf sedang dijalankan di seluruh negara untuk menggembleng potensi wakaf sepenuhnya. Pastinya lebih banyak karya segar dan perspektif baharu tentang wakaf bakal terbit dalam pasaran Malaysia. Ini menonjolkan nyala rasa Muslim Malaysia terhadap wakaf, suatu anugerah daripada Allah untuk kaum Muslimin dan manusia seluruhnya. #

Comments

comments