Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

BUKU sangat sinonim sebagai medium bercetak fizikal dalam penyampaian maklumat; sama ada berbentuk berita, ilmiah, kesusasteraan gaya naratif mahupun jurnalistik. Namun, tidak kurang berpengaruhnya akan kewujudan seni buku yang sejarahnya telah tertempa sejak seabad lampau.

Buku bukan sekadar medium bacaan sahaja bagi para pengkarya, atau lebih tepat lagi, artis buku. Golongan artistik ini mengekspresikan pemikiran dan pandangan, emosi serta falsafah akan sesuatu isu melalui buku.

Konsepnya hampir serupa seperti seni lukisan di atas kanvas, mereka cipta arca daripada material tertentu, gugusan lipatan dalam sebuah buku, cantuman ataupun timbunan buku-buku yang sangat banyak jumlahnya, dijadikan medium berfesyen dalam pakaian, dan lain-lain lagi.

Dalam erti kata lain, para pengkarya seni buku ini mengekspresikan apa sahaja kerja-kerja seni dalam menyampaikan suatu nilai dan mesej dengan menggunakan buku-buku sebagai material utama mereka. Golongan artisan ini menghasilkan karya  dalam skala kecil, namun impak terhadap komuniti sosial tidak kurang berpengaruh dan memberi kesan yang baik.

Aktiviti kraf buku tersebut telah direkodkan atau diperkenalkan sekitar tahun 1960-an. Sekitar tahun tersebut, aktiviti percetakan dan penerbitan buku digiat aktif oleh syarikat-syarikat penerbitan buku di Eropah.

Antara seni buku yang dihasilkan

Maka, seiring dengan kepesatan ini, timbullah para artisan buku dalam mengolah ‘pengisian’ buku dalam konteks dimensi yang berbeza, tidak sekadar tradisional; lebih daripada menjadikan buku sebagai bahan bacaan.

Sekitar awal kurun ke-20, para artisan buku wujud dalam komuniti kecil dan mereka melaksanakan aktiviti seni dalam skala avant-garde, iaitu mengekspresikan karya seni buku dalam peringkat eksperimentasi, sebelum benar-benar serius seiring dengan penerimaan oleh komuniti global.

Antara golongan artisan yang terlibat adalah dalam suatu gerakan atau kumpulan, seperti Dada (para karyawan yang fokus terhadap seni sastera, bunyi dan muzik serta pengarca), Konstruktivisme (Artisan Rusia dalam seni arkitektur, reka grafik, penggiat teater, filem, tarian, fesyen, dan muzik), serta Fluxus (kumpulan artis, komposer, pereka dan penyair antarabangsa yang terbentuk dari tiga benua utama: Eropah, Asia dan Amerika Utara).

 

Kebangkitan artisan buku di Barat

Pada tahun-tahun awal kebangkitan artisan buku ini wujud, corak suasana sekitar mereka sedang bergejolak dan menggelegak dengan peperangan. Eropah serta keadaannya yang darurat dengan Perang Dunia Pertama, telah melahirkan para artisan ini secara naluriah dalam mengekspresikan kegusaran mereka terhadap hak-hak kemanusiaan yan telah dizalimi dan dinafikan keperluan keamanan dengan kejam.

Ketiga-tiga golongan besar pengkarya seni melalui material buku tersebut cuba untuk mengekspresikan ketidakadilan ini melalui medium buku-buku. Setiap karya mereka mengekspresikan penentangan terhadap struktur kapitalisme moden, serta memprotes akan ketidakadilannya dalam mempamerkan elemen penindasan dan di luar kewarasan serta antikapitalisme yang cenderung menekan masyarakat pada ketika itu.

Seiring dengan peredaran zaman, aktiviti seni ini dilihat berevolusi untuk menjadi suatu medium melahirkan dunia seni yang bebas dan sepatutnya menjadi medium yang baik dalam menyokong keamanan dengan cara mewujudkan interaksi seni ini bersama masyarakat sejagat. Inilah yang dilakukan oleh artisan Fluxus.

Sekalipun kelahiran aktivis seni buku ini memberi impak positif kepada komuniti sosial melalui karya seni mereka, tidak dinafikan timbul beberapa isu kritikal dan perdebatan di dalam menjelaskan dengan terang akan definisi ‘artis buku’ tersebut.

Antara yang menjadi perhatian adalah istilah artis buku itu sendiri. Bagaimanakah mampu dibezakan maknanya sama ada ianya mengambarkan pengarang atau penulis buku, dan artisan yang menggunakan buku sebagai medium utama seni tampak seperti pengarca, pereka fesyen, seni bina dan sebagainya. Selain itu,  timbul juga persoalan di manakah sepatutnya artis buku ini dikategorikan, sama ada berhubungan dengan kraf atau tradisi seni tampak (fine arts) secara akademik.

Kewujudan penggiat seni ini cukup istimewa kerana terlahir secara naluriah dari tekanan zaman peperangan besar dan telah melepasi beberapa era yang genting sekitar Eropah dan Amerika Syarikat.

Seorang ahli akademik dan kurator terkemuka, Betty Bright telah merakamkan hampir keseluruhan sejarah seni perbukuan ini melalui penulisan bukunya berjudul No Longer Innocent: Book Art in America 1960-1980.

Di dalam buku tersebut, beliau menekankan akan signifikannya sejarah artis buku yang tumbuh mekar dari tahun ke tahun, yang telah mendapat perhatian oleh para pengkritik, sejarawan, dan para artisan lain.

 

Beliau juga menceritakan secara inklusif akan seni buku yang aktiviti serta penghasilan karya yang sangat bervariasi, selain menjelaskan kewujudan pendokong aktiviti artis seni ini sama ada dari institusi akademik, badan-badan korporat, serta bengkel-bengkel bebas yang telah dianjurkan.

Turut tidak dipinggirkan adalah ekspresi seni buku tersebut yang telah dipamerkan secara meluas dan telah mendapat respon yang positif; kebanyakan karya telah dihasilkan oleh golongan artis Pop dan Fluxus di samping menegaskan impak positif terhadap industri seni buku.

 

Dikembangkan di peringkat kesarjanaan

Demi meneruskan survival seni yang istimewa dan eksklusif ini, beberapa program telah dibentuk oleh institusi atau organisasi berkaitan; supaya seni ini terus dapat diwarisi dari semasa ke semasa, sekali gus mampu mampan.

Dengan itu, seawal tahun 1980-an lagi, institusi akademik telah mengorak strategi dengan mewujudkan kolej-kolej yang menyediakan modul seni buku antara lain University of Alabama telah memeta inisiatif mewujudkan program pengajian artisan buku secara Master of Fine Arts (MFA).

Di Mills College, Oakland pula, mod pengajian ijazah sarjana Seni Tampak dengan pengkhususan seni buku dan penulisan Kreatif dilancarkan. Pada sekitar tahun 2008, The College Book Art Association (CBAA) dirasmikan dan diasaskan sebagai sebuah organisasi yang mengelola aktiviti tahunan berkaitan seni bermediumkan buku ini.

Antara usaha yang telah dilaksanakan adalah persidangan, pameran dan penerbitan jurnal berkala; salah satunya bertajuk Openings: Studies in Book Art, selain mengemaskini blog atas identiti Book of Theory.

University of California pula telah menawarkan mod pengajian peringkat ijazah sarjana atau Bachelor Arts (BA) di bawah fakulti College of Creative Studies.

Dengan kewujudan institusi akademi dan organisasi pengelola ini, maka setiap hasil karya dapat dipamerkan dengan lebih berkesan.

Pada tahun 1994, Pameran Seni Buku Nasional Amerika, Art ex libris telah dianjurkan di Artspace Gallery, Virginia, yang telah menerima hampir ratusan para artisan buku untuk mereka mempamerkan hasil karya masing-masing.

Dengan sambutan yang menggalakkan dan memberangsangkan, pihak penganjur telah ditawarkan geran yang agak lumayan dari Virginia Commission for the Arts, dan diberi tugasan untuk mendokumentasikan aktiviti seni buku tahunan ini dalam format rakaman video.

Selain itu, turut membantu dalam penyaluran dana bagi memeriahkan pameran tersebut adalah dua nama organisasi yang peka terhadap perkembangan dan kemajuan industri seni serta perbukuan di Negara Uncle Sam tersebut, iaitu Richmond Artists Association dan juga Virginia Commonwealth University’s Cabell Library.

Usaha pameran diteruskan lagi dari tahun ke tahun dengan menitikberatkan beberapa aspek yang perlu diubah mahupun ditambah, selari dengan arus peredaran zaman yang serba moden. #

Comments

comments