Iman Danial Hakim

Pengarang di Jejak Tarbiah. Penulis bersama antologi Untukmu Anak Muda dan Lalu Aku Hidup Sebagai Apa? Lelaki yang mahu membaca 1000 tahun lagi.

PERNAHKAH anda membeli buku dalam jumlah yang banyak, namun pada akhirnya buku-buku tersebut terbiar tanpa dibaca? Kemudian anda akan memasang azam supaya budaya buruk ini akan dihentikan, malang sekali terus berulang setiap kali anda berkunjung ke kedai buku.

Dalam istilah psikologi, fenomena ini disebut sebagai Tsundoku. Istilah ini mula popular pada akhir abad ke-19 pada era Meiji (1868-1912). Perkataan Tsundoku terdiri daripada Tsunde, bererti tumpukan buku-buku dan Oku yang bermaksud meninggalkan untuk suatu jangka waktu. Tsundoku adalah perbuatan mengumpul buku tetapi tidak membacanya.

Image result for Tsundoku

Dalam kalangan pencinta buku, istilah Tsundoku sering kali digunakan sama ada untuk menyatakan kekesalan tabiat buruk atau bergurau sesama sendiri. Tsundoku untuk sebahagian orang bakal menjadi masalah kerana kitaran membeli buku dan tidak akan membacanya akan sentiasa berterusan.

Hal ini berbeza dengan ungkapan, “so many books, so little time” yang dipopularkan oleh Frank Zappa, seorang pemuzik Amerika, kerana seorang Tsundoku sentiasa mencari alasan untuk tidak membaca seperti malas dan lupa. Mereka tidak benar-benar mengalami kesukaran untuk membaca atas sebab kesibukan melainkan mereka sendirilah yang sengaja mencipta kesibukan itu sendiri.

Perbuatan membeli buku sebanyak mungkin sudah menjadi sebahagian daripada hidup seorang Tsundoku. Mereka akan sentiasa mencari alasan untuk melakukan tabiat ini. Malang buat si buku kerana usai dibeli, mereka akan ditinggalkan di atas meja, di sisi katil bahkan disusun langsung ke dalam rak tanpa dibaca. Kemudian mereka akan menerima kehadiran “kawan” buku yang baru, dengan nasib yang sama.

BACA: Teori transportasi: tarikan psikologikal dalam buku

 

Masalah dalam kalangan penulis dan pembaca

Saya berkenalan dengan sebilangan rakan penulis yang mengaku mereka mengalami masalah Tsundoku. Antara membaca dan menulis, mereka lebih senang membaca. Menulis adalah pekerjaan yang payah dan rumit. Kita perlu mengerah segenap daya akal dan tenaga untuk menghasilkan sebuah penulisan, sama ada kreatif atau bukan kreatif.

Ketimbang menulis, mereka lebih suka menghabiskan masa dengan membaca. Tidak perlu bersusah payah memerah otak untuk mencari ilham. Tak perlu pening kepala menggali idea. Umum mengetahui proses pencarian idea ialah fasa paling sukar buat seorang penulis (kita sering mendengar kisah aneh tentang bagaimana seorang penulis berusaha mencari idea penulisan).

Setelah idea berjaya diperoleh, menjadi satu hal lain pula untuk menyusun ayat yang terbaik. Menghasilkan sebuah karya yang akan dibaca dan disenangi khalyak bukan suatu kerja yang mudah, sama ada cerpen, puisi, esei dan lain-lain. Jadi, mereka tidak suka meletakkan diri dalam tekanan untuk menghasilkan karya yang baik sewaktu menulis.

Image result for Tsundoku
SUMBER: www.bookstr.com

Mereka mengatakan berjalan-jalan melihat buku di kedai buku adalah salah sebuah terapi mujarab untuk mengurangkan tekanan sewaktu menulis. Aroma kertas dan susunan buku di dalam kedai mampu menghadirkan rasa tenang di dalam diri. Tanpa mereka sedar, rakan penulis ini akan melangkah keluar daripada kedai dengan menjinjit plastik berisi buku-buku di tangan.

Rata-rata mengaku bahawa mereka langusng tidak sedar yang transaksi pembelian berlaku di kaunter. Sedar-sedar sahaja buku-buku sudah dibeli. Nah, begitulah nasib malang seorang penulis yang juga mengalami masalah Tsundoku.

Terdapat juga beberapa rakan pencinta buku yang menyatakan rasa bersalah setelah membeli buku. Mereka juga cuba menyorokkan buku-buku tersebut daripada pengetahuan keluarga supaya tidak dimarahi.

 

Tsundoku bukan asing

Kisah aneh dan pelik ini bukan sebuah cerita yang asing dalam sejarah biblioholisme. Misalnya, Boulard, pakar perundangan Perancis pada abad ke-18, begitu ghairah membeli buku sehingga rumahnya tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan buku dan beliau terpaksa membeli enam buah rumah lagi bagi tujuan itu.

Terdapat juga sebuah kisah tragedi yang menakjubkan tentang Al-Jahiz yang mati ditimpa oleh rak-rak buku tinggi ketika beliau sedang menelaah buku. Al-Jahiz, pada ketika itu telah tua dan sering sakit, sering menyusun buku setelah digunakan di dalam rak yang tinggi.

Berdasarkan kisah di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa Tsundoku mempunyai kegilaan luar biasa terhadap buku dan sebahagian daripada mereka turut mengalami masalah dek kegilaan ini. Saya senaraikan senario berikut yang mungkin pernah terjadi pada anda:

 

  1. Anda ke kompleks membeli-belah, tempat pertama anda kunjungi adalah kedai buku sebelum ke kedai lain.

 

  1. Anda mengalami kesukaran untuk mengingat bilangan buku yang sudah dibeli dan jumlah wang yang dihabiskan untuk membeli buku.

 

  1. Anda ke kedai buku, membeli buku yang anda minati sebelum menyedari bahawa ada sudah pun mempunyai buku tersebut dan membeli buat kali kedua.

 

  1. Anda sering ditegur atau dimarahi oleh keluarga kerana terlalu banyak membeli buku seolah-olah tiada perkara lain yang lebih penting melainkan buku.

 

  1. Anda baru menyedari bahawa anda sudah terlalu banyak membeli buku di perpustakaan peribadi namun langsung tidak pernah membacanya.

 

Jika beberapa keadaan di atas pernah terjadi pada anda, tidak syak lagi anda sudah melakukan sebuah dosa terhadap buku-buku yang anda beli sebagai seorang Tsundoku. #

Comments

comments