Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

Kedai buku dalam bangunan bersejarah yang berseni bina unik dan indah; gabungan yang mempesonakan bagi pencinta buku dan peminat seni bina.

Strategi ini merupakan salah satu rahsia kejayaan rangkaian kedai buku Romania, Cărturești yang kini disenarai pendek untuk Anugerah Kedai Buku Terbaik 2018 sempena Pesta Buku London.

Kedai buku dalam kategori yang sama ialah kedai buku Timbookto di Gambia dan kedai buku The Uppsala English Bookshop di Sweden.

Rangkaian 20 buah kedai buku

Rangkaian kedai buku Cărturești yang diuruskan oleh Nicoleta Dumitru dan Şerban Radu, memiliki lebih 20 kedai buku di seluruh Romania. Setiap buah kedai buku dalam rangkaian ini mempunyai seni bina dan konsep rekaan yang unik.

Kedai pertama dalam rangkaian ini ialah Cărturești Verona, sebuah vila bersejarah berhampiran Medan Verona yang telah diubah suai bagi perniagaan buku, hadiah dan tempat minum teh.

Kedai itu mempamerkan lebih 10 000 buah buku dalam pelbagai bahasa dan juga barangan cenderamata yang istimewa.

Bagi para pengunjung yang ingin bersantai, ada kedai teh yang dipanggil bisto di dalamnya lengkap dengan alunan muzik yang menenangkan.

Ada yang berkata, andai terperangkap dalam hujan di Bucharest, usah risau kerana kedai buku ini dapat menjadi tempat persinggahan menunggu hujan jeda.

Tempat membaca untuk pengunjung ialah dalam lotengnya! Mungkin oleh sebab itu ada yang menyifatkan suasana kedai buku itu bagaikan dalam cerita dongeng. Kedai buku ini terletak di Pictor Arthur Verona Street, No. 13-15.

Kedai konsep Cărturești yang lain ialah Cărturești Carusel yang dibuka pada 12 Februari 2015. Kali ini pemilik rangkaiannya memilih sebuah bangunan bersejarah di pusat bandar Bucharest dan membuat renovasi yang menelan belanja sebanyak EUR 400,000.

Cărturești Carusel yang dibina dalam bangunan berusia lebih 150 tahun di Lipscani Street ini turut digelar Carousel of Lights, kini menempatkan lebih 10 000 buku lengkap dengan bisto di tingkat paling atas. Jumlah keseluruhan aras ialah enam, termasuk satu aras tingkat bawah tanah.

Bangunan ini mempunyai sejarah yang panjang. Pemiliknya Jean Chrissoveloni ialah cicit kepada pemilik bank yang hidup pada abad ke-19. Beliau telah membaik pulih bangunan itu dengan pelaburan sebanyak EUR 1 juta, sebelum menyewakannya selama 10 tahun kepada rangkaian Cărturești.

Pengunjung berbondong-bondong melawat Cărturești Carusel sejak pembukaannya. Apatah lagi kini kedai itu tersenarai sebagai salah sebuah kedai buku tercantik di Romania dan dimasukkan ke dalam senarai tempat wajib dilawati di ibu kota Romania. Ini ialah kedai ke-16 yang dimiliki rangkaian Cărturești dan yang ke-2 terbesar.

 

Penjenamaan semula Anthony Frost

Pada penghujung tahun 2017 pula, iaitu dalam bulan November, rangkaian Cărturești turut mengambil alih kedai buku Inggeris, Anthony Frost  dan membuat penjenamaan semula kedai itu di bawah kelolaannya.

Kedai buku Anthony Frost sebelum ini beroperasi selama sembilan tahun di Calea Victoriei, namun terpaksa ditutup. Cărturești memindahkan kedai buku itu ke lokasi baharu berdekatan bangunan Universiti Bucharest. Lokasi ini sebenarnya pernah menempatkan kedai buku pertama mereka.

Dikenali dengan nama Smallest Cărturești Bookstore, lokasi ini juga menempatkan sebuah galeri mikro dan bar kopi dengan nama Brewtiful.Cafe.

Kedai buku Anthony Frost sebelum ini pernah mendapat liputan dalam buku panduan Lonely Planet, disifatkan sebagai kedai buku bahasa Inggeris terbaik di Eropah Timur. Kartunis New Yorker, Bob Eckstein pula memasukkan kedai Anthony Frost ke dalam senarai kedai buku terbaik dunia dalam bukunya ‘Footnotes from the World Greatest Bookstores.’

Ketika Pesta Buku London nanti, para pencinta buku di seluruh Romania tentunya tertunggu-tunggu keputusan sama ada Cărturești akan meraih Anugerah Kedai Buku Terbaik 2018. Sebagai simbol kejayaan nasional, rakyat Romania pasti berbangga kerana rangkaian kedai buku telah menonjolkan negara mereka dalam peta kebudayaan dunia.

Kecintaan terhadap kedai buku mengingatkan kita kepada John Updike yang menganggapnya sebagai ‘kubu-kubu cahaya’, seperti yang dipetik dalam The Art of the Bookstore.

Beliau mengambil berat tentang asakan budaya Internet terhadap kedai buku fizikal, yang terlahir melalui kata-katanya, “Para pekedai buku, pertahankanlah kubu kalian yang sunyi…. Bagi sebahagian kami, buku telah berakar dalam diri sebagai sebentuk identiti peribadi.”

Sebagai menghargai kedai-kedai buku yang indah ini, para peminat buku perlu memasukkan nama Cărturești  dalam senarai tempat wajib dikunjungi jika ke Eropah nanti. #

Comments

comments