Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

Sesekali pandanglah ke langit dan bintang-bintang, bukannya menunduk diri memandang ke bawah. Cuba fahami apa yang anda lihat dan teruskan keterujaan anda untuk mengetahui dengan mendalam apa yang membuatkan alam ini wujud.

Rangkap ungkapan ini telah menjadi sebahagian kata-kata Stephen Hawking yang sering diulang-ulang oleh kenalan kenamaan, mahupun sebagai penghormatan masyarakat dunia akan pemergian tokoh terkenal, yang juga ahli teori fizik dan kosmolgi ini.

Pada usia 76 tahun, pakar fizik yang lebih menjurus ke arah mengkaji relativiti umum dan kosmologi, telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi 14 Mac 2018 di kediamannya, Cambridge London .

Jurucakap bagi pihak keluarga beliau enggan mengulas lanjut akan sebab kematian, tetapi mengklasifikasikannya sebagai meninggal dunia ‘dalam keadaan tenang’.

 

Sumbangan besar

Tidak sedikit sumbangan fizik yang telah beliau berikan kepada dunia moden ketika ini. Ucapan-ucapannya sering menginspirasikan warga global untuk turut sama-sama berfikir dan menimbulkan minat untuk mengetahui dengan lebih mendalam akan rahsia alam semesta melalui ilmu sains, fizik dan matematik.

Secara tidak langsung menggambarkan peribadi beliau yang suka mengkaji dengan kaedah-kaedah saintifik berlandaskan bukti-bukti empirikal. Keterujaannya terhadap rahsia kewujudan alam semesta tidak pernah hilang. Sebagaimana kata-kata beliau:

Matlamat saya mudah. Iaitu (membina konsep) tentang pemahaman yang lengkap tentang alam semesta; mengapa ia sedemikian, dan mengapa ia wujud.

Maka dengan berpandukan konsep pendirian ini, pelbagai teori telah diciptanya, yang turut juga berkolaborasi bersama para saintis dan pakar fizik yang lain, terutama yang menjurus kepada pengkajian kosmologi secara teoritikal.

Antara teori popular yang diciptanya adalah ‘Theory of Everything’ (ToE) –yang turut juga diangkat menjadi filem dengan tajuk yang sama pada tahun 2014.

EDDIE Redmayne melakonkan watak sebagai Stephen Hawking dalam filem Theory of Everything (2014) (FOTO: Empire Online)

Teori ini ialah sebuah hipotesis tunggal, merangkumi keseluruhan rangka kerja teori fizik yang koheren, menjelaskan dan menghubungkan semua aspek fizikal alam semesta.

Namun begitu, teori yang rumit dan kompleks ini tetap juga masih dalam kajian dan belum sepenuhnya menemui jawapan akan persoalan-persoalan berkaitan relativiti umum dan bidang teori kuantum.

Teori ini dilihat sebagai sinkronisasi idea yang digabungkan dibawah satu penelitian dalam kajian. Teori ini turut mendapat reaksi hujah di antara pakar-pakar fizik yang lain, di mana mereka menggelarkan teori ini sebagai konsep yang terlalu memudahkan kaedah saintifik secara tidak wajar; terutama dalam penelitian matematikal.

 

Teori Segala Sesuatu

Stanley Jaki dalam penulisan bukunya The Relevance of Physics, menyuarakan pendapatnya bahawa teori ToE ini akan menjadi teori matematik yang ‘serius’ dan umum. Maka, teori ini mesti tidak lengkap.

Freeman Dyson pula berpendapat bahawa Teori Gödel telah membuktikan bahawa wujudnya ketidaksempurnaan; tidak kira betapa banyak masalah matematik yang telah diselesaikan, pasti akan ada masalah lainnya yang tidak boleh diselesaikan dengan menggunakan kaedah sedia ada. Maka perihal ketidaksempurnaan ini pasti akan terpakai terhadap fizik juga.

Sekalipun begitu, disiplin ilmu fizik yang masih banyak lagi belum terhurai sepenuhnya, tidak mematahkan semangat Stephen Hawking untuk terus ghairah mengkaji kosmologi dan cabang-cabang ilmu fizik lain.

Beliau yang juga selaku pengarang dan Pengarah Kajian di Pusat Teoritikal Kosmologi (Centre for Theoritical Cosmology) di University of Cambridge, telah menghasilkan pelbagai kertas kerja saintifiknya, termasuklah kajian bersama Roger Penrose bertajuk ‘Gravitational Singularity Theorems’.

Stephen Hawking dan Roger Penrose (FOTO: Tô no Cosmos)

Kajian tersebut dalam rangka kerja yang menjurus kepada disiplin ilmu general relativity dan teoritikal jangkaan terhadap lohong hitam yang memancarkan radiasi; di mana hasil kerja kajian tersebut telah diberi nama sebagai Hawking radiation.

 

Berkolaborasi

Penrose dan Hawking sekali lagi berkolaborasi dalam menjalankan kajian terhadap Teorem Ketunggalan (Singularity Theorem). Kajin ini juga turut meneliti dan mengkaji dengan mendalam terhadap cabang-cabang ilmu relativiti umum yang cuba menjawab persoalan terhadap graviti yang menghasilkan sifat-sifat tunggalnya.

Perihal tersebut menurut kajian yang telah dilakukan oleh Einstein, menyatakan sifat tunggal sebagai suatu keadaan di mana jirim dimampatkan ke satu titik-ruang, dan keadaan di mana sinaran cahaya tertentu datang dari bahagian yang mempunyai kelengkungan yang bersifat infiniti. Maka sebagai kesinambungan penelitian fizik tersebut, mereka menamakan kajian mereka sebagai Penrose-Hawking Theorems.

Tidak setakat itu, antara teori-teori yang telah dicipta, di dalam menjalankan kertas kerja dalam mengkaji bidang-bidang ilmu kosmologi dan fizik antara lainnya seperti Bekenstein-Hawking Formula, Hawking Energy, Gibbons-Hawking Effect, Gibbons-Hawking Space dan lain-lain.

Melihat kepada hasil kajiannya yang kompleks dan sukar difahami oleh masyarakat awam, telah mengingatkan kita kepada betapa pentingnya berkongsi ilmu pengetahuan kepada komuniti global. Sebagaimana kata-kata Albert Einstein yang menegaskan supaya setiap perkara yang kompleks dan sukar difahami haruslah seboleh mungkin disampaikan dengan ringkas dan mudah untuk dihadam dan dicakna oleh pemikiran umum:

Segala-galanya harus dibuat semudah yang mungkin, tetapi bukan meremehkannya.

 

Stephen Hawking dalam naskhah

Satu demi satu buku telah beliau tulis dan diterbitkan dengan mendapat sambutan yang hangat dan memberangsangkan. Antara karya magnum opus beliau termasuklah A Brief History of Time; terbitan sulung pada tahun 1988.

A Brief History of Time karya Stephen Hawking

Buku tersebut menjelaskan secara saintifik akan kewujudan alam semesta, dan bagaimana alam berfungsi. Buku tersebut juga menghuraikan ilmu berkaitan kosmologi dan sifat ruang-masa secara moden dan kontemporari. Sebuah karya yang turut menjelaskan ‘Theory of Everything’ beliau.

Dengan tajuk serta pengisian buku yang padat dengan ilmu sains dan fizik secara umum –majoriti mampu memahami konsep, maka buku tersebut adalah antara buku paling laris dan menjadi pilihan global.

Cetakan pertama telah terjual sepenuhnya; telah diterjemah kepada 35 bahasa dunia dan mencatatkan cetakan sebanyak 10 juta salinan buku. Namun begitu, apa yang lebih penting juga adalah memberi kesedaran terhadap para pembaca akan kepentingan mencintai dan menggemari ilmu melalui pembacaan.

Saban hari, pasti karya-karya sebegini akan dinanti-nanti tanpa sebarang prejudis dan kontroversi, malah diraikan dan mampu meningkatkan tahap celik ilmu komuniti global secara tidak langsung.

Jalan yang ditempuh oleh Hawking sememangnya tidak mudah. Setiap usaha beliau di dalam membuat kajian dan kertas kerja telah dilalui dengan keyakinan dan semangatnya meminati bidang fizik dan kosmologi dengan mendalam. Hal ini juga telah beliau suarakan dan dan mampu mencetus inspirasi:

Milikilah semangat ingin tahu. Dan walau bagaimana sukar sekalipun hidup, selalu akan ada sesuatu yang mampu anda lakukan sehingga berjaya. Adalah penting untuk tidak sesekali berputus asa.”           

##

Comments

comments