Iman Danial Hakim

Pengarang di Jejak Tarbiah. Penulis bersama antologi Untukmu Anak Muda dan Lalu Aku Hidup Sebagai Apa? Lelaki yang mahu membaca 1000 tahun lagi.

RAMAI yang bertanya kepada saya, “Ada apa dengan buku?” Soalan ini mungkin timbul lantaran melihat saya sering bersama buku di mana-mana sahaja. Baik sewaktu menunggu komuter di stesen KTM, di meja makan, di atas kereta, sewaktu menunggu bas. Pendek kata, buku sentiasa ada di tangan. Bak aur dengan tebing, hubungan antara saya dengan buku amat akrab dan erat.

Bagi saya buku boleh dikatakan sebagai makhluk yang bernyawa. Buku mampu memberi pelbagai reaksi mengikut perasaan pembaca pada sesebuah masa. Kepelbagaian ragam buku mampu membuat kita ketawa, marah menangis, terharu, keliru, bersemangat bahkan kita terus tenggelam dalam dunia pesona buku tanpa kita menyedarinya.

Saya berpendapat dalam sesetengah perkara, buku menjadi sahabat yang lebih memahami berbanding manusia. Bersama manusia kita sering kecewa. Talian persahabatan selama bertahun-tahun boleh sahaja terputus, pasangan hidup yang berjanji sehidup semati mungkin sahaja memutuskan ikatan, ahli keluarga yang sekian lama bersaudara mungkin sahaja memutuskan hubungan. Tetapi buku ialah makhluk yang berbeza.

Dia ialah jiran yang peramah terhadap jirannya, teman yang paling jujur, guru yang bijaksana dan kerabat yang sentiasa ada bersama. Buku sentiasa mengerti dan memahami waktu yang terbaik untuk memujuk pembaca. Buku akan hadir dengan kata-kata semangat untuk membangkitkan motivasi diri yang kadangkala hilang.

Buku juga merupakan sahabat yang mampu mempengaruhi pembaca serta berupaya memaknakan hidup mereka. Sejarah membuktikan buku ternyata mempunyai kehebatan luar biasa untuk membentuk peribadi unggul manusia.

 

Membaca membentuk peribadi

Lihat sahaja nama-nama seperti Tun Dr Mahathir, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz, Pendita Za’ba, A. Samad Said dan ramai lagi tokoh-tokoh terkemuka baik dalam negara ataupun di luar yang dikenali sebagai pencinta buku.

Jarang sekali kita mendengar kisah kejayaan mereka tanpa diselangi sisi keghairahan mereka terhadap buku dan dunia membaca. Buku mampu mengubah pencintanya menjadi orang berintelek, berpengaruh dan dihormati masyarakat. Banyak individu bermula sebagai orang biasa menjadi manusia ulung pada akhirnya kerana membaca.

Buku juga terbukti sebagai ‘pembunuh’ masa yang efektif. Ramai sahabat di universiti yang sering mengadu mereka kekontangan masa bagaimana untuk menghabiskan waktu lapang setelah kelas dan tugasan beres dihabiskan. Kebanyakan mereka memilih untuk melepak, bermain permainan video, menonton filem dan drama bersiri, berjalan-jalan di bandar dan pelbagai aktiviti yang mengisi masa.

Saya selalu mencadangkan kepada mereka untuk membaca buku jika ada masa yang terluang. Buku memiliki keunikan, keunggulan dan keanehan tersendiri dan perlu diterokai. Perkataan bosan langsung tidak wujud dalam kamus kehidupan saya kerana saya mampu membaca berjam-jam lamanya tanpa henti! Lantas di mana ruang untuk saya membazirkan masa jika buku sentiasa di sisi?

Selain itu, buku boleh menjadi bahan yang berguna sewaktu berbicara dengan masyarakat. Seorang pembaca buku jarang keputusan idea untuk memulakan perbualan. Dengan seorang sarjana dia boleh membuka perihal isu-isu dunia akademik untuk diajak berbincang. Apabila bersama golongan tua di kampung seorang pembaca boleh mengajak bersembang dengan bertanya soalan berkenaan riwayat hidup seperti yang sering ditulis dalam memoir atau biografi.

Tatkala berhadapan dengan kanak-kanak pula seorang pembaca boleh menarik perhatian mereka dengan bercerita kisah fantasi dan pengembaraan yang sangat digemari oleh kanak-kanak bahkan seorang pembaca juga tidak akan janggal apabila bersama dengan individu berlainan jantina. Petik sahaja puisi-puisi indah para penyair atau  fragmen-fragmen romantik daripada novel, nescaya akan leburlah hati dengan kata-kata yang manis.

Seorang pencinta buku ialah pembaca buku umum yang merentas disipilin. Biasanya pembaca buku akan membaca pelbagai bidang ilmu, wacana, genre dan tahap bukan sahaja untuk mengisi masa lapang, tetapi untuk mengasah minda dan jiwa. Percayalah, seorang pembaca buku akan menjadi lawan bicara yang tidak membosankan jika diajak berbual tentang sesuatu.

Pendek kata, buku menjadi apa sahaja yang kita mahu daripadanya. Buku ialah sahabat buat mengisi kalbu, jendela luas yang menawarkan keluasan ilmu dan perakam kehidupan terhadap hidup yang satu. #

Comments

comments