Shamsul Amin

Penulis, editor dan tukang cerita.

BOLOGNA, 26 Mac — Pengarang kanak-kanak dari Jepun, Eiko Kadono serta ilustrator dari Rusia, Igo Oleynikov diumumkan sebagai penerima anugerah berprestij sastera kanak-kanak, Hans Christian Andersen Awards bagi tahun 2018 di Bologna, Itali, semalam.

Penganugerahan yang dianggap sebagai ‘Hadiah Nobel’ bagi sastera kanak-kanak itu diumumkan di Pesta Buku Kanak-Kanak Bologna (BCBF) 2018 oleh Patricia Aldana selaku ketua juri, mewakili Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Antarabangsa (IBBY).

Karya termasyhur Kadono, Kiki’s Delivery Service diterbitkan pada tahun 1985 di Jepun dan diterjemahkan kepada bahasa Inggeris di Amerika Syarikat oleh Annick Press pada tahun 2003 merupakan cerita tentang ahli sihir muda di pekan Koriko. Buku tersebut juga diadaptasi menjadi filem animasi oleh Hayao Miyazaki.

Menurut Publishers Weekly, pengumuman penganugerahan tersebut menyatakan, “Ada pesona yang sukar diungkap, sifat ihsan dan gaya pada hasil kerja pengarang Jepun ini. Meskipun Kadono telah mengembara ke seluruh pelusuk dunia, ceritanya tetap mengakar kepada Jepun dan menunjukkan kepada kita bahawa Jepun dipenuhi dengan pelbagai watak yang tidak kita sangka.”

Karya Kadono, Kiki’s Delivery Service diadaptasi menjadi filem animasi (FOTO: Mr Rhapsodist)

Ilustrator Rusia, Oleynikov pula memulakan kerjayanya sebagai juruanimasi untuk Soyuzmultfilm di Moscow, sebelum meneruskan karier sebagai ilustaror bagi karya-karya asli juga dongeng-dongeng klasik dan cerita rakyat seperti The Nightingale oleh Hans Christian Andersen (Purple Bear, 2007), Kraf terkini beliau antara lain ialah edisi Rusia bagi karya Kate DiCamillo, The Tale of Despereaux dan juga The Fox and the Hare.

Pengarang kanak-kanak yang masuk dalam senarai pendek anugerah tersebut ialah Marie-Aude Murail (Perancis); Farhad Hassanzadeh (Iran); Joy Cowley (New Zealand) dan mendiang Ulf Stark (Sweden).

Ilustrator yang masuk senarai pendek pula ialah Pablo Bernasconi (Argentina); Linda Wolfsgruber (Austria); Xiong Liang (China); Iwona Chmielewska (Poland) dan Albertine (Switzerland).

Barisan juri dipetik mengatakan bawa antara kriteria utama untuk sesebuah karya disenarai pendek ialah karya tersebut “mestilah boleh dibaca oleh kanak-kanak seluruh dunia, boleh diakses, bermakna kepada mereka dan memperkaya hidup dan pemahaman mereka — menjambatani mereka ketika daya lain tidak mampu melakukannya.” #

Comments

comments