Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

Menurut Muzium Memorial Holocaust Amerika Syarikat (United States Holocaust Memorial Museum), sejarah dan tragedi hitam holocaust telah mereka dokumentasikan ke dalam medium digital.

Holocaust, atau ritual genosida secara besar-besaran di bawah penguasaan regim Nazi, bertarikh 10 Mei 1933, telah dianggap sebagai sejarah kejam yang paling diingati dan popular.

Sejarah ini dirakamkan sebagai simbol dalam menjawab  persoalan keadilan dan hak-hak kemanusiaan yang rumit dan kompleks, yang tidak sepatutnya dan sewenang-wenangnya dihancurkan.

Hal ini juga menjadi antara iktibar terbesar dalam menilai peradaban manusia. Fahaman fasisme: pemerintahan gaya diktator yang melampau juga telah mencetuskan penghancuran buku secara besar-besaran oleh pendokong aliran Nazi di Jerman.

 

Pencetus awal gerakan Holocaust

Sekalipun tarikh tersebut mendapat tentangan yang paling meluas hingga ke benua Amerika, sejarah telah mencatatkan bahawa aktiviti holocaust ini telah dimulakan sekitar abad ke-19 lagi iaitu pada tahun 1817.

Kesatuan Pelajar German (Burschenschaften) mengadakan hari keraian atau memperingati tokoh mereka, Luther yang menuntut keadilan dan perlindungan di Istana Thuringia, Watburg. Lalu, dengan lokasi yang sama juga, satu festival ulangtahun yang ke-300 telah diadakan, dan antara aktiviti yang dilakukan adalah dengan membakar dan menghapuskan buku-buku yang tidak mendukung aspirasi Nazi-Jerman.

Maklum memahami, sikap dan fahaman rasisme dan fasisme Jerman memuncak dari tahun ke tahun. Agenda memantapkan ideologi mereka sangat giat dijalankan. Bermula dari revolusi pemerintahan kuku besi ini, kekejaman demi kekejaman telah dilakukan. Sesiapa sahaja yang tidak sealiran dan sefahaman,  menjadi mangsa seterusnya dalam penghapusan dan pembasmian kejam tanpa belas.

Heinrich Heine

Melihat gerakan yang melampau ini, seorang pengarang dan juga sasterawan Yahudi-Jerman, Heinrich Heine turut tidak terlepas dari menjadi mangsa holocaust buku. Karya-karyanya juga turut dibakar dan dihancurkan. Pun begitu, episod kejam ini telah beliau suarakan melalui penulisan lakon layarnya, mengekspresikan rasa terkilan:

Apabila mereka membakar buku-buku, maka mereka juga nantinya pasti akan membakar manusia!

 

Kesinambungan ritual

Sejak dari kurun ke-19 tersebut, pembakaran buku secara besar-besaran telah dilaksanakan sebagai satu upacara simbolik penghapusan fahaman dan ideologi selain Nazi-Jerman.

Keghairahan mereka mendominasi pemerintahan telah menjadikan ritual ini lebih tersusun dan berkembang. Demi merealisasikan agenda  mereka, beberapa strategi telah diatur.

Pada tahun 1933 itu juga, Ideologi dan Polisi Nazi (Gleichschaltung) telah berhasrat untuk menyeragamkan organisasi profesionalisme dan kebudayaan melalui pihak berkuasa Jerman. Sehubungan dengan itu, Joseph Goebbels, Menteri Penerangan dan Propaganda, telah melaksanakan usaha membawa masuk hasil karya seni dan kebudayaan Jerman yang selari dengan ideologi mereka.

Gambaran pelukis berkenaan pembakaran buku (FOTO: Jewish Review of Books)

Goebbels telah membuat jalinan usahasama yang kukuh dengan Kesatuan Kebangsaan Sosialis Pelajar-Pelajar Jerman (Nationalsozialistischer Deutscher Studentenbund, NSDStB).

Pelajar-pelajar Universiti Jerman dilihat antara pelopor dan pendukung besar di dalam mengangkat martabat pemerintahan fasisme Jerman setinggi-tingginya. Sehinggakan telah dicatatkan, pada tahun 1920-an, kebanyakan jawatan-jawatan pemerintahan telah diisi oleh golongan cendekiawan Jerman tersebut.

Maka dengan penglibatan ini, gerakan holocaust buku telah dilaksana dengan lebih berkuasa, bersistematik dan berstrategi, semata-mata ingin menghapuskan karya-karya ilmiah dan penulisan lainnya yang tidak sealiran dengan mereka, terutamanya golongan cendekiawan bangsa Yahudi.

Mereka telah menyelar karya-karya ideologi Nazi Jerman sebagai membawa kemerosotan. Sentimen kedua-dua belah pihak ini berlanjutan, lalu mereka tidak teragak-agak untuk menghapuskan karya-karya anti-Nazi-Jerman.

 

Rantaian kemuncak holocaust buku

Pada 6 April 1933, iaitu lebih kurang sebulan sebelum upacara pembakaran buku besar-besaran dilaksanakan, Kesatuan Pelajar Jerman, melalui Jabatan Media dan Propaganda, telah mengisytiharkan secara meluas akan polisi mereka untuk menentang semangat bukan-Jerman.

Hal ini telah membawa kepada kemuncak penghancuran dan pembersihan (cleansing) karya-karya kesusasteraan dengan cara membakarnya.

Lanjutan daripada itu, pada 8 April, Kesatuan Pelajar Jerman juga telah melaksanakan draf tesis mereka yang ke-12.

Antara pengisiannya adalah huraian bahasa dan kebudayaan yang sepatutnya lebih berunsurkan Jerman yang asli. Hal ini sekali gus menolak akan unsur-unsur keintelektualisme selain Nazi-Jerman yang diangggapnya sebagai mencemar keaslian karya mereka. Tambahan lagi, mereka menganggap ini mampu menjejaskan keaslian nilai-nilai tradisi Jerman.

 

Pada 10 Mei 1933, sejajar dengan ideologi dan agenda pelestarian, kemuncak holocaust buku telah dijalankan hampir seharian.

Sebanyak 25,000 buah buku karya bukan-Jerman telah dibakar oleh pelajar-pelajar universiti; melambangkan pengawalan dan sekatan kebudayaan lainnya dari menular dan mendominasi keadaan mereka.

Pada malamnya pula, satu perarakan beramai-ramai sambil berlampu suluh diadakan sambil menjelaskan tujuan diadakan perarakan seperti itu; iaitu simbolik menentang karya-karya penulisan dan seni yang tidak mendukung aspirasi nasionalime mereka. Turut terlibat –peserta dan penonton- antaranya ialah pegawai-pegawai tertinggi pemerintah Nazi-Jerman, para pensyarah dan pelajar universiti.

Seharian itu juga mereka menyaksikan timbunan gergasi buku-buku karya yang tidak sealiran agenda dengan mereka telah dibakar, sehingga api tersebut marak dan menjulang tinggi. Ritual ini telah dilakukan di sekitar Jerman, iaitu di Opernplatz, Berlin dan Hamburg.

 

Respon terhadap pembakaran buku-buku

Mengetahui akan pemusnahan karya-karya kesusasteraan dan seumpamanya ini, telah membuatkan segolongan kesatuan Amerika Syarikat mengadakan solidariti bersama sebagai simbolik terhadap penentangan holocaust buku yang dilihat adalah tidak wajar.

Pada tarikh yang sama juga -10 Mei 1933- demonstrasi jalanan telah diadakan hampir di kebanyakan bandar-bandar utamanya. Perarakan simbolik pembantahan tersebut telah dicatatkan di media-media massa tempatan mereka, dan peserta yang paling ramai dicatatkan adalah di New York; iaitu seramai 100,000 orang.

Kedua-dua ritual dan demonstrasi ini telah mendapat liputan akhbar dan media secara meluas dan masing-masing melaporkannya secara bertanggungjawab.

Antara yang diberi penekanan adalah berkenaan mempersoalkan dan melabel akan keterlibatan para cendekiawan dan pelajar-pelajar universiti dalam upacara holocaust tersebut.

Turut terkesan dengan pemerintahan diktator tersebut adalah seorang pengarang yang juga aktivis sosialis yang berasal dari Alabama, Helen Keller.

Melihat akan tragedi dan penindasan terhadap pembakaran dan penghancuran buku secara besar-besaran itu telah membuatkan beliau menyuarakan pemikirannya.

Hal tersebut ditujukan khas kepada para pelajar universiti Jerman berhaluan kanan; yang menyokong aspirasi Nazi-Jerman. Penulisannya itu telah diterbitkan di akhbar-akhbar dan media Jerman serta Amerika; sebuah surat terbuka yang ditujukan khas kepada para mahasiswa universiti. Beliau menegaskan akan kekekalan kuasa idea berbanding pemerintahan tirani. Sesuai dengan keperibadiannya yang sosialis, beliau menulis:

Anda mungkin telah membakar buku-buku saya dan juga buku-buku tentang pemikiran yang terbaik di Eropah. Tetapi idea buku-buku itu tetap mengalir melalui jutaan saluran dan akan terus berjalan –tidak terhapus.

#

Comments

comments