Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

PARA pelajar di Universiti Mississippi (MSU) yang gemar mengumpul buku bakal meraih peluang istimewa. Kini satu pertandingan koleksi buku dan esei iringan sedang berlangsung di bawah tajaan John Robinson Block dan syarikat MaxxSouth Broadband.

John Robinson Block ialah Ketua Editor dan penerbit Pittsburgh Post-Gazette serta merupakan pengasas MaxxSouth Broadband. Minat beliau terhadap buku nadir dan perpustakaan bermula sejak berada di peringkat ijazah lagi, membuatkan John Block tidak teragak-agak untuk menaja pertandingan tersebut.

Menurut John Block, kumpulannya di MaxxSouth Broadband berharap agar para pelajar dapat menjalin perhubungan sesama mereka atas dasar minat yang sama terhadap buku dan membaca melalui pertandingan ini.

Sebelum menjadi penaja, John Block yang juga seorang kolektor pernah mendermakan koleksi penerbit Mississippi yang paling meluas dan mendalam liputannya, merangkumi bahan-bahan yang diterbitkan sebelum 1817 kepada Perpustakaan Memorial Mitchell.

Budaya mengadakan pertandingan koleksi buku sebenarnya sudah lama bertapak di sana, dan menjadi medan bagi para pencinta buku generasi lama membina pelapis dalam kalangan generasi muda supaya aktiviti membaca dan mengumpul buku mempunyai kesinambungannya pada masa hadapan.

Malah, MSU bukanlah satu-satunya institusi yang mewujudkan pertandingan koleksi buku seperti ini. Banyak penglibatan pusat pengajian, perpustakaan, persatuan, pertubuhan dan syarikat berkaitan dalam industri buku turut sama membantu usaha di peringkat akar umbi agar budaya membaca terus menjadi lumrah dalam masyarakat.

Satu lagi pertandingan mengumpul buku berprestij pada peringkat kebangsaan dikenali sebagai Pertandingan Koleksi Buku Nasional Peringkat Kolej.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Persatuan Penjual Buku-buku Antik Amerika (ABAA), Perkumpulan Persatuan Bibliofilik Amerika (FABS), Kelab Grolier dan Pusat Buku dan Bahagian Buku Nadir & Koleksi Khas di Perpustakaan Kongres, dengan sokongan utama Yayasan Jay I. Kislak.

Pertandingan yang pada mulanya diasaskan oleh Fine Books & Collections Magazine ini bertujuan untuk mengiktiraf usaha pengumpulan buku oleh pelajar kolej dan universiti, seterusnya membantu para pengumpul muda ini menjadi bibliofil yang tegar dan terkemuka. Majalah tersebut menerajui pertandingan ini dari tahun 2005 sehingga 2007 sebelum menyerahkan kendalinya kepada beberapa rakan kongsi institusi yang lain.

Lebih daripada 30 kolej dan universiti di seluruh Amerika Syarikat mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Sesetengah pertandingan itu telah pun dianjurkan selama lebih tiga dekad. Ada yang seawal tahun 1920-an, iaitu di Kolej Swarthmore.

Tema-tema koleksi buku yang pernah menjadi pemenang mencerminkan kreativiti dan kedalaman ilmu pengumpul itu sendiri.

Pada tahun 2017 misalnya, tiga tema koleksi yang memenangi Pertandingan Koleksi Buku Nasional Peringkat Kolej mengikut urutan tempat pertama hingga tempat ketiga adalah:

  1. Dunia perkayuan Maine (oleh Alexander M. Koch dari Unity College)
  2. Karya para transendentalis Amerika Syarikat (oleh Mark Gallagher dari UCLA)
  3. Buku serta DVD yang menggalakkan penerokaan dunia matematik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja (oleh Xavier Gonzalez dari Universiti Harvard)

Universiti Cambridge dengan kerjasama perpustakaannya juga mengadakan pertandingan koleksi buku yang tersendiri, dikenali sebagai Hadiah Pengumpulan Buku Rose atau Rose Book-Collecting Prize.

Hadiah yang menawarkan pulangan sebanyak 500 paun sterling ini memerlukan pelajar menghantar esei 500 perkataan bagi menerangkan inti pati koleksi mereka, minat yang mendorong pengumpulannya serta rancangan pembangunan koleksi itu pada kemudian hari.

Para pengumpul buku amatur yang disenarai pendek, akan diberi peluang menceritakan keistimewaan koleksi mereka di hadapan panel hakim. Selain esei, pengumpul juga harus menyusun bibliografi ringkas yang menyenaraikan buku-buku dalam koleksi mereka sebelum dihantar kepada urus setia.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada pengumpul buku elektronik akan turut mendapat kesempatan yang sama dalam pertandingan seumpama ini. Barangkali tidak, kerana koleksi yang menang selalunya akan dipamerkan di dalam perpustakaan universiti atau kolej dengan penuh penghargaan dan pengiktirafan.

Sudah tiba masanya pertandingan seumpama ini dirancang untuk para pelajar Malaysia di peringkat kolej dan universiti, dengan naungan pelbagai pihak dalam industri buku termasuk generasi lama yang mempunyai pengalaman sebagai pengumpul buku nadir mahupun bukan nadir yang tegar. #

Comments

comments