Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

Sesuatu yang hakikat bahawa media sosial telah berevolusi. Facebook, Twitter dan Instagram -antara yang popular- misalnya tidak lagi sekadar menjadi platform ‘diari peribadi’ atas talian seseorang, malah telah berkembang menjadi sebuah medium pemasaran, hebahan dan berita melalui badan-badan dan organisasi tertentu.

 

Media sosial tidak lagi dinavigasi oleh individu atau secara peribadi, tetapi turut juga digunakan oleh syarikat-syarikat mahupun institusi besar.

Semestinya pemasaran buku tidak terkecuali, malah tumbuh dengan meriah. Masing-masing memasarkan buku mengikut produk mereka yang tersendiri. Setiap penerbitan oleh syarikat-syarikat buku telah mereka perkenalkan dan sedia untuk dimiliki oleh para bibliofil tempatan, khasnya, juga peminat buku dari benua tertentu, terutamanya Asia Tenggara.

Ternyata, pemasaran di media sosial turut memberi impak yang positif; secara ekonomikal mahupun perkembangan survival sesebuah perniagaan. Selain percuma, ianya turut mencetus potensi viral yang mampu menjadi pemangkin dalam pemasaran buku-buku.

Tema dan falsafah yang diterapkan oleh syarikat penerbitan atau penjual buku, sama ada persendirian mahupun rangkaian besar, telah menarik perhatian para penggemarnya. Kesan daripada hal ini, setiap organisasi penerbitan dan ‘wirausaha’ buku mempunyai pengikut setia dalam jumlah yang ramai.

Hal ini sekali gus, menjadi antara faktor industri perbukuan untuk terus berkembang.

Senarai di bawah adalah kedai-kedai buku media sosial yang boleh dilawati untuk mendapatkan bahan bacaan kegemaran, atau mungkin yang dicari-cari selama ini:

 

  1. Kawah Buku

Kawah Buku (@kawahbuku), menjanjikan tema pemasaran buku yang mengujakan. Dengan cogan kata ‘Real Books for Real Readers’, kedai buku di media sosial ini menyediakan buku-buku kritikal, kritis dan nadir. Kebanyakannya sudah tidak diterbitkan lagi.

Tidak sekadar itu, Kawah Buku juga ‘hidup’ dengan beberapa aktiviti perbukuan seperti wacana, resensi dan bacaan buku, melalui pojok buku dan pojok wacana. Buku bertajuk Sejarah Ringkas Masa: Dari Letupan Besar ke Lohong Hitam (terjemahan karya Stephen Hawking), Intelektual Masyarakat Membangun oleh Syed Hussein Al-Attas, Salina oleh A. Samad Said, dan pelbagai lagi boleh didapatkan daripada kedai ini dengan mengunjunginya di kedai fizikal mahupun web (kawahbuku.com).

 

  1. Islamic Book Republic

Di laman Facebook @islamicbookrepublic, para pencinta buku yang menginginkan karya-karya sejarah Islam, terutamanya di Timur Tengah dapat memilikinya menerusi akaun tersebut.

Sebanyak empat puluh buku bergenre islamik, sejarah dan peradaban disediakan termasuklah karya-karya terjemahan, seperti Mukaddimah karya pengarang yang juga cendekiawan Islam agung, Ibnu Khaldun; Sumbangan Peradaban Islam Pada Dunia oleh Dr. Raghib As-Sirjani; Jerusalem: The Biography oleh Simon Sebag dan pelbagai tajuk menarik lainnya dapat dimiliki di akaun Facebook tersebut.

 

  1. Gallery Bookstrore

Tatkala melayari Instagram, lawatlah juga gedung buku besar ini. Selain memiliki rangkaian kedai buku hampir di setiap negeri, para bibliofil juga boleh membeli buku secara atas talian dengan melayari akaun instagram (@gallerybookstore), juga di akaun Facebook dengan kunci carian @gallerybookstore1. Sebagai mempermudahkan pembelian buku, akaun tersebut menyediakan pautan laman sesawang mereka untuk dikunjungi dan membolehkan para penggemar buku memilih bahan bacaan kegemaran masing-masing.

 

  1. Lejen Press

Ternyata usaha yang berani, kreatif dan berstrategi oleh pengasas dan juga ahli kakitangan syarikat buku ini telah membolehkan jenama Lejen Press untuk mampu pergi dengan lebih jauh lagi.

Berkonsepkan falsafah penerbitan buku urban alternatif, setiap buku yang diterbitkan adalah hasil penulisan CEO, atau pemilik syarikat buku itu sendiri beserta juga oleh penulis-penulis berbakat yang lain. Tajuk-tajuk buku serta pengisiannya adalah lebih segar, kontemporari dan sesuai dengan kematangan minda serta psikologi warga muda.

Promosi serta pelbagai hebahan aktiviti perbukuan telah mereka kongsikan dari semasa ke semasa melalui akaun Facebook: @iamlejenshop dan juga @lejenpress; Twitter di @Lejen Press dan @iamlejenshop; Instagram di @Lejenpress, @iamlejenshop serta @lejenkomik.

 

  1. Syarikat Muda Osman

Melalui akaun twitter; @smobookstores, mereka yang melayarinya dapat melihat pelbagai promosi jualan buku-buku yang ditawarkan. Syarikat peruncitan buku dan alat tulis ini menyediakan pelbagai genre bahan bacaan yang telah diterbitkan oleh para penerbit syarikat buku tempatan. Pejabat yang terletak di Pengkalan Chepa, Kelantan ini menjanjikan pemilihan variasi buku-buku yang menarik.

 

  1. Taman Pustaka

Kedai buku atas talian ini menyediakan bahan bacaan yang menghimpunkan karya-karya rujukan sejarah dan Tamadun Alam Melayu. Melalui akaun Facebook @TamanPustaka, hebahan aktiviti perbukuan boleh diikuti, begitu juga dengan pengenalan judul-judul buku yang tidak kurang pentingnya untuk mengenali Tamadun Melayu melalui kajian-kajian yang telah dilaksanakan oleh pengarang tertentu.

Judul seperti Rihlatus Sirafi: Catatan Pengembaraan di Alam Melayu, China, India dan Afrika (diterjemahkan oleh Arsyad Mokhtar). Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri oleh Za’aba, Sejarah Melayu oleh Ahmad Dahlan, Sulalat u’s-Salatin dan pelbagai lagi boleh diperolehi melalui akaun Facebook mereka.

 

  1. Penerbitan Layar Pena

Syarikat buku ini menerbitkan sendiri buku-buku melalui pemilihan manuskrip yang menarik. Kebanyakannya adalah bergenre novel cinta, kekeluargaan, seram, fantasi dan turut bereksperimentasi dengan genre humor. Antara novel terbitan syarikat ini adalah 3650 Cinta karya Nur Mayani; Goodbye Sweetheart, oleh Ana Naz; Antara Dunia, penulis Saloma; Kecubung Sari oleh Shukriah Md Rozi; Di Depan Mata oleh Ezi Afiza dan pelbagai lagi.

 

  1. Penerbit Fajar Pakeer

Melalui akaun Facebook dengan nama yang sama, dan laman sesawang di www.penerbitanfajarpakeer.my, terbukti dengan kemeriahan novel-novel kontemporari yang mendapat sambutan ramai peminat novel. Baru-baru ini, novel terbitan mereka telah dipilih untuk diadaptasi ke drama layar perak yag berjudul Tak Ada Cinta Sepertimu oleh Anna Milia. Sesi meet and greet juga telah diadakan di MPH Nu Sentral; yang turut dihadiri oleh penulis serta barisan pelakon-pelakon seperti Zahirah Macwilson dan Nik Adam.

 

  1. SR Publication

Dengan menggunakan kunci carian ‘Siti Rosmizah Novelis SR Publication’ di Facebook, para peminat novel-novel -didominasi oleh kaum muda Hawa- menganggapnya sebagai syurga novel bergenre cinta, kekeluargaan dan kehidupan. Antara novel yang terlaris, yang telah diadaptasi ke drama bersiri stesen televisyen, Lafazkan Kalimah Cintamu karya novelis Siti Rosmizah sendiri telah mencipta fenomena dan popular dalam kalangan para peminat setianya.

Antara novel popular dan laris -yang boleh didapatkan- lainnya seperti 7 Hari Mencintaiku, Takdir Itu Milik Aku turut disenaraikan. Melalui akaun Facebook tersebut juga, ramai lagi novelis turut disenaraikan karya novel mereka. Apa yang pasti, setiap novel yang dihebahkan memiliki tarikan naratif yang tersendiri.

 

10.Tintabudi Bookshop

Kedai buku berlokasi di Kampung Attap, Kuala Lumpur ini menyediakan buku-buku yang lebih tertumpu kepada kesusasteraan, falsafah dan seni. Laman Facebook Tintabudi, juga Twitter (@tinta_budi) dan instagram (@tintabudi) telah mempamerkan buku-buku yang kritis wacananya serta menambah nilai intelektualisme pembaca.

Antara buku yang sarat dengan idea serta pemikiran adalah seperti Philosophical and Mathematical Correspzndence, oleh Gottlob Frege, The Origin of the Malay Sha’ir, oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Time and Space: A Poetic Autobioghraphy, penulisan oleh penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, Juan Ramón Jiménez (terjemahan Bahasa Inggeris), pelbagai lagi tajuk buku serta genre antarabangsa dan tempatan lainnya turut disenaraikan untuk para bibliofil mencari khazanah ilmu yang berharga ini.

Selain tarikan buku-buku yang pelbagai penghujahan serta naratifnya, tersirat harapan untuk para penggiat industri perbukuan untuk turut serta dalam membina komuniti serta budaya yang terus mampan -jauh sekali untuk kepentingan peribadi.

Salah satunya adalah dengan kemeriahan budaya membaca dikalangan warganya. Ternyata, teknologi di dalam platform pemasaran lambat laun menjadi antara medium yang berkesan untuk merealisasikan aspirasi tersebut, jika dipraktikkan dengan sewajarnya.

 

##

Comments

comments