Shamsul Amin

Eksekutif Kandungan di Perbadanan Kota Buku. Editor MukaSurat.my.

Jon Fingas/Engadget

KARYA-karya pengarang berbahasa Arab jarang sekali mendapat peluang untuk menembusi pasaran buku digital (e-buku) oleh sebab beberapa kekangan; tiada sokongan untuk bahasa tersebut (dibaca dari kanan ke kiri, ditulis dalam aksara kursif dan memerlukan sistem penandaan baris) yang juga dirumitkan lagi dengan pengedaran bukunya yang kompleks.

Amazon kini telah memudahkan segalanya dengan melancarkan sokongan kepada aksara bahasa Arab pada peranti dan aplikasi Kindle, malah meletakkan seksyen yang didekasikan khas untuk buku-buku berbahasa Arab di Kindle Store. Sokongan aksara Arab ini termasuklah pengubahsuaian fon, carian dan ciri sorotan (highlight) yang terdapat dalam bahasa-bahasa lain. Sehingga kini, lebih 12 000 judul tersedia untuk pasaran seluruh dunia.

Sebagai permulaan, Amazon menampilkan buku-buku terpilih daripada pengarang popular seperti Nizar Qabani, karya klasik Muqadimah tulisan Ibnu Khaldun dan terjemahan bahasa Arab bagi judul terlaris seperti Harry Potter and the Philosopher’s Stone. Penulis swaterbit boleh menerbitkan e-buku mereka sendiri melalui Kindle Direct Publishing.

Penambahan ini akan memberikan kesan yang baik kepada pasaran buku berbahasa Arab. Al-Fanar Media memaklumkan, buku bahasa Arab yang laris pun hanya boleh terjual daripada 1000 hingga 3000 naskhah secara purata kesan pengedaran yang terhad dan kuasa beli pembaca yang rendah meskipun Dunia Arab mempunyai kadar literasi yang tinggi. Skala dan pengedaran digital Amazon akan mengatasi permasalahan ini dengan memungkinkan pengedaran buku akan lebih meluas pada harga e-buku yang rendah. #

Comments

comments