Muhammad Ariff Badrudin

Pelatih di Unit Penyelidikan dan Pembangunan, Kota Buku. Pelajar tahun akhir Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Malam Baca Puisi PENA-DBP-ITBM, Genta Rasa 2 telah dipengerusikan oleh Dr Ibrahim Ghaffar di Rumah PENA, Jumaat lalu. Malam tersebut merupakan sambutan khusus untuk mengenang Sasterawan Negara ketiga, Allahyarham Usman Awang yang merupakan Ketua PENA yang pertama (1961-1965).

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Saleeh Rahamad, dalam ucapannya menyatakan bahawa puisi yang dihasilkan oleh Usman Awang bukan sahaja indah dari segi bentuknya tetapi pemikirannya.

Pengurus Besar Institut Terjemahan Bahasa Melayu (ITBM), Sakri Abdullah menguar-uarkan program-program ITBM sebelum membacakan puisi. Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Dr. Hanafi Ibrahim mendeklamasikan sajak Usman Awang yang berjudul Merpati Putih dan diikuti penerima SEA Write Award, Dr. Siti Zainon Ismail yang mendeklamasikan sajak yang berjudul Bunga Putih yang turut dipilih oleh pihak Yayasan Usman Awang sebagai tajuk pameran mengenang Hari Kemanusiaan Usman Awang pada 12-31 Julai 2018 di Galeri ASWARA.

Acara Malam Baca Puisi turut diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik.

“Harapan kita akan memartabatkan bahasa Melayu dipersada Asia Tenggara” ucap beliau. Beliau berhasrat dalam tempoh 5 tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) setaraf dengan British Council, Goethe Institute dan Nippon Institute.

Beliau turut melontarkan idea perlunya peranan institusi agama dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Beliau turut mencadangkan agar pihak zakat turut membekalkan karya-karya kepada golongan asnaf. Beliau turut mengumumkan bahawa pada dekad ke depan sastera Melayu akan dijadikan sebagai satu pilihan popular dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti.

Acara baca puisi diteruskan dengan deklamasi dua buah sajak yang disampaikan oleh mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Awang Sariyan yang berjudul Fenomena 9 Mei dan Harap-Harap (khas ditujukan kepada pemimpin negara).

Seterusnya, Dato’ Awang Sariyan menjemput tetamu dari Beijing iaitu Haji Aziz Abdullah yang mendeklamasikan sajak berjudul Dr M. Adiwangsa Sukma turut membuat persembahan dengan menyanyikan lagu Kampungku dan diikuti pula persembahan oleh kumpulan seniman dan karyawan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pelakon dan penyair Malaysia, Pyanhabib turut tampil ke pentas dengan menyampaikan puisi kenangan pertemuannya dengan Abang Tongkat (panggilan beliau kepada Usman Awang).

Puisi nukilan Shukri Abdullah yang berjudul Bahasa Masitah telah dideklamasikan oleh Badrul Hisham dengan iringan alat muzik. Sayed Indra telah menyampaikan dua buah lagu berjudul Penemu Jodoh dan lagu Suatu Hari di Hari Raya.

Ijamala MN telah mendeklamasikan sajak Usman Awang yang berjudul Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandaraya dan Faisal telah mendeklamasikan sajak berjudul orang Melayu. Seterusnya Wan menceritakan kenangannya bersama Usman Awang dan menyatakan bahawa Usman Awang seorang yang baik dengan semua orang dan mendeklamasikan lagu Cinta Kemanusiaan khas ditujukan kepada Usman Awang.

Persembahan akhir sebagai penutup tirai oleh Awang Indra yang mendendangkan Seloka Hari Raya dan mendeklamasikan sajak Usman Awang yang berjudul Nelayan 1951. #

Comments

comments