Rusnajaa Mohd Yusoff

Eksekutif Pembangunan Kapasiti dan Penyelidikan, Perbadanan Kota Buku.

KEMAJUAN sains perubatan dan sains kemanusiaan dalam sesebuah tamadun merupakan faktor besar dalam penyumbangan kepada peningkatan taraf dan kualiti hidup rakyatnya. Neurosains pula jatuh di bawah kedua-dua kategori ini.

Berdasarkan definisi Kamus Oxford, neurosains merupakan satu bidang sains perubatan yang mempunyai pelbagai cabang, namun fokus utamanya adalah mengkaji struktur atau fungsi sistem saraf dan otak.

Rata-rata peminat-peminat buku audio bersetuju dengan satu pendapat tunjang yang cukup kukuh: mereka lebih teruja mendengar adaptasi audio sebuah novel berbanding dengan adaptasi video seperti filem atau siri televisyen.

Konsep ini sebenarnya bukanlah perkara baru. Daripada tamadun manusia terawal sehingga zaman moden terkini, manusia daripada pelbagai lapisan umur suka mendengar cerita. Apabila bertemu atau berkumpul, mereka pasti akan berkomunikasi dengan bercerita; sama ada bertujuan untuk bertanya khabar, menyampaikan maklumat ataupun menarik perhatian pendengar. Penceritaan merupakan kunci utama manusia berhubung antara satu sama lain.

Perkaitan dengan sains

Apa kaitannya dengan sains pula? Mari kita lihat kajian terbaru yang dilakukan oleh Jabatan Psikologi Bereksperimen daripada University College London (UCL) di United Kingdom. Kajian ini dilakukan untuk membandingkan tindak balas biologi dan impak emosi peserta-peserta eksperimen (sukarelawan) terhadap perubahan gaya penceritaan daripada pelbagai media.

Ini merupakan jenis kajian yang ulung kalinya dilakukan – dan hasilnya menyokong industri penerbitan buku audio yang kini sedang pesat berkembang di negara-negara Barat. Mereka mendapati bahawa orang-orang yang mendengar buku audio mengalami tindak balas fisiologi seperti peningkatan kadar degupan jantung dan respons otak yang memuncak. Namun apabila mereka menonton adaptasi skrin daripada karya yang sama pula, mereka tidak mengalami tindak balas fisiologi yang serupa.

PEXELS/pexels.com

Kajian tersebut dilakukan dengan kerjasama Audible, sebuah anak syarikat Amazon yang menghasilkan dan menjual produk-produk digital beraudio, telah mengambil tempoh lebih daripada satu tahun.

Para saintis menguji 103 orang peserta yang berumur antara 18 – 67 tahun, dan menggunakan beberapa metodologi seperti menjawab beberapa soalan kaji selidik sambil mengesan kadar degupan jantung dan aktiviti elektrokimia kulit dengan menggunakan sensor biometrik Empatica E4 – dua jenis isyarat fisiologi yang seringkali dikaitkan dengan pemprosesan kognitif dan rangsangan emosi separa-sedar di dalam otak manusia.

Para saintis mengesan respons tahap sedar para peserta terhadap beberapa babak daripada lapan judul buku terlaris dan adaptasi filemnya yang pecah panggung di Amerika Syarikat seperti yang berikut:

·         A Game Of Thrones

·         The Girl On The Train

·         Pride And Prejudice

·         The Silence Of The Lambs

·         Great Expectations

·         The Da Vinci Code

·         The Hound Of The Baskervilles

·         Alien

Pendapat Dr. Joseph Devlin

Menurut kesimpulan Dr. Joseph Devlin, ketua jabatan psikologi bereksperimen di UCL dan penyelidik utama projek tersebut: “Mendengar cerita dalam bentuk audio (dari Audible) menghasilkan impak emosi dan tawanan fisiologi yang lebih besar jika dibandingkan dengan menonton babak yang sama di skrin televisyen. Ini terbukti daripada hasil ukuran daripada kadar degupan jantung dan aktiviti elektrokimia kulit,” kata beliau.

“Apabila para peserta eksperimen ini menjawab soalan kaji selidik, mereka menganggap bahawa mereka akan kurang tertarik dengan format audio. Hasil sensor biometrik pula menunjukkan sebaliknya. Selepas membuat kesimpulan untuk kajian pelbagai peringkat ini bersama Audible, nampaknya penceritaan sepenuh hatilah yang akan menawan para pendengar.”

Ketua pegawai eksekutif dan pengasas Audible, Don Katz menambah: “Kajian fasa pertama yang dilakukan oleh UCL ini hanya mengukuhkan apa yang telah diketahui oleh jutaan pendengar-pendengar Audible (buku audio) – naratif bersuara amat berupaya untuk mempesona, menghibur, mengilham, dan yang paling penting sekali, menggetarkan hati dan emosi, yang tidak boleh didapati menggunakan kaedah lain.”

Hasil yang ditekankan oleh kajian ini termasuk:

  • Kajian ini membuktikan dengan kepastian lebih daripada 99% bahawa penceritaan melalui buku audio mampu menghasilkan tindak balas emosi dan fisiologi yang lebih kuat berbanding dengan medium visual. Dapatan ini sejajar merentasi karya-karya yang berbeza, dan juga peserta-peserta daripada pelbagai lapisan umur.

 

  • Purata kadar degupan jantung para peserta bertambah sebanyak dua degupan per minit apabila mereka mendengar audiobook (perbezaan rata-rata = 1.7 degupan/minit)
    Peserta yang menghayati buku audio juga mengalami peningkatan kadar degupan jantung sebanyak 4 degupan per minit sepanjang mendengar cerita tersebut (rata-rata = 3.52 degupan/minit)

 

  • Suhu badan para peserta meningkat lebih kurang 2°C (≈1.66°C), dan aktiviti elektrokimia kulit mereka meningkat sebanyak 0.02 mikrosiemen apabila mendengar buku audio.

 

  • Untuk menolak kemungkinan bahawa peningkatan degupan jantung adalah disebabkan oleh peningkatan aktiviti dan/atau pergerakan gelisah yang dialami oleh para peserta ketika mendengar buku audio, maka pasukan penyelidik UCL merujuk silang data-data daripada meter pecut (akselerometer) dengan kadar degupan jantung para peserta untuk mendapatkan data yang lebih tepat dan jitu.

 

  • Kajian UCL menunjukkan bahawa buku audio menghasilkan corak perubahan fisiologi yang lebih selari dan konsisten di kalangan peserta berbanding dengan filem mahupun klip video. Ini memberi tanggapan bahawa format audio mampu memberikan penulis dan pengkarya ruang yang lebih luas untuk mengawal tindak balas emosi pendengar-pendengar mereka.

TUNEFAB/tunefab.com

Budaya penceritaan secara oral merupakan sesuatu yang merentas budaya, bahasa dan benua. Cuma yang berubah adalah cara penyebarannya dengan pendayaan teknologi seperti telefon pintar dan kelajuan internet, juga dalam pelbagai format seperti buku audio, podcast, video dan ‘internet streaming’. Tabiat pembacaan sudah berbentuk hibrid (pencampuran), tidak semata-mata dengan membaca buku berbentuk teks.

Semoga kajian-kajian seperti yang dilakukan oleh UCL dan Audible ini boleh diperbanyakkan lagi, terutamanya di negara-negara Asia Tenggara untuk mengetahui perubahan tabiat membaca penduduk-penduduk rantau ini, dan memerlukan kerjasama yang kuat antara industri perbukuan dan pihak kerajaan. Hasilnya boleh digunakan untuk memajukan budaya membaca dan memacu inovasi, sekaligus mencerdaskan rakyat-rakyatnya dan meningkatkan taraf hidup mereka. #

 

 

Comments

comments