Ahmad Muziru Idham

Penulis muda dan pelajar sarjana Pengajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa, UKM.

SATU forum mengenai Memperkasakan DBP: Menuju Malaysia Baharu telah diadakan pada Selasa malam. Ramai orang yang menghadiri forum tersebut dan terdiri daripada latar belakang yang berbeza. Ternyata ramai yang ingin mendengar apa isi forum semalam (atau ramai ingin tahu apa yang bakal berlaku?).

DBP sedang dibakar serentungnya pada malam itu. Daripada panelis Hishamuddin Rais (bijak Muhaimin Sulam memulakan forum dengan Hisham) yang sudah memulakan forumnya dengan ungkapan “mem’viagra’kan DBP” sehinggalah kepada pandangan dan soalan penonton yang terus merentungkan DBP.

Perkara ini bukan bermaksud negatif. Sudah tentu ianya positif apabila DBP sudah terbuka untuk diketuk dan dibakar apabila membuat forum yang menjemput panelis yang memang sudah diketahui datang daripada aliran yang bertentangan daripada DBP selama ini. Walaupun saya mempunyai masalah dengan barisan panelis yang semuanya sealiran, tetapi ada baiknya juga untuk sebuah permulaan kepada Malaysia Baharu ini apabila DBP membuka ruang pewacanaan kritikal sebegitu.

Forum pada malam tersebut tidak merumuskan sesuatu yang menarik dan besar dibincangkan oleh panelis. Forum sedang membincangkan sebuah institusi bahasa; sebuah autoriti dalam menggerakkan hal-hal kebahasaan. Tetapi yang banyak disentuh adalah isu nama di papan tanda jalan raya ataupun nama tempat tertentu yang menggunakan bahasa Inggeris, dan keluhan terhadap ramai orang yang masih belum fasih berbahasa Melayu.

Malah ketika forum sedang membincangkan pemerkasaan DBP, terseliti juga pandangan-pandangan yang mempermasalahkan rakyat Malaysia yang masih tidak tahu berbahasa Melayu. Sekalipun DBP adalah autoriti dalam bahasa Melayu, tetapi mahu tidak mahu kita tetap perlu adil dan realistik dalam memahami batasan-batasan kuasa yang dipegang oleh DBP sebelum bertindak mempersalahkannya.

Hal-hal titik bengek sebegini sewajarnya tidak perlu hendak diperbesarkan dalam sebuah ruang forum yang bertujuan mengkritik sebuah institusi autoriti. Sekarang fokus yang perlu diberikan adalah penjenamaan semula DBP yang sekian orang tahu sememangnya sudah lesu daripada hal-ehwal kebahasaan justeru perlunya kepada pemerkasaan semula DBP dari sudut peranannya dalam pemartabatan Bahasa Melayu.

Apabila menyebut memartabatkan Bahasa Melayu, ramai orang cukup sekadar melihatnya sekadar melalui penggunaan bahasa seperti penggunaan tulisan Jawi, menggunakan nama-nama Melayu di papan tanda jalan raya atau nama-nama bangunan, penuturan Bahasa Melayu penuh, dan sebagainya.

Saya tidak mengatakan kesemua perkara itu adalah sesuatu yang kecil, tetapi upaya untuk mengkritik sebuah institusi autoriti yang jarang-jarang sekali dapat dilakukan secara langsung di tempatnya harus diambil manfaat untuk mengkritik terus hal-hal besar yang sewajarnya menjenamakan DBP sebagai sebuah Dewan Bahasa dan Pustaka yang sebenarnya. Bukan senang nak dapat peluang begitu. Dah dapat peluang, manfaatkanlah sebaiknya.

Tetapi saya bersetuju benar dengan kritikan Hishamuddin mengenai budaya bodek yang sudah berkurun lama menjadi budaya masyarakat DBP. Kemandulan DBP itu bermula daripada budaya bodek. Saya tidak perlu mengulas panjang perkara ini. Semua orang yang memerhati lama gerak-geri DBP pasti melihat jelas politik dalaman DBP itu.

Pandangan saya begini. Jika DBP hendak menyahut seruan Malaysia Baharu itu, maka yang DBP harus lakukan adalah mengembalikan semula kecemerlangan gerak kerja DBP ketika era 70-an sehingga 90-an itu. Pada ketika itu, DBP giat melakukan hasil kerja-kerja terjemahan, menerbitkan buku-buku fiksyen dan non-fiksyen yang berkualiti, dan giat menjalankan wacana-wacana Bahasa Melayu.

Saya sendiri terkejut apabila menyelongkar semula Kedai Buku DBP Cawangan Dungun yang saya kira masih menyimpan hampir kesemua naskhah-naskah daripada awal terbitan DBP sehingga sekarang, rupanya banyak teks agung daripada luar yang telah diterjemah oleh DBP. DBP pada era itu sangat cemerlang.

Saya tidak tahu teks apa lagi yang DBP pernah terjemah, dan saya harap ada cara untuk dapatkan senarai penuh teks-teks luar yang pernah diterjemah oleh DBP. Malah kita dapat juga merasakan bahawa karya-karyanya benar-benar mencapai kualitinya yang tidak perlu dipersoalkan lagi (walaupun reka bentuk kulitnya daripada dulu sampai sekarang tidak pernah berubah).

Malah pada ketika itu, polemik bahasa dan sastera sangat kencang. Wacana, polemik, dan gerakan bahasa Melayu hidup di tengah kancah masyarakat dan masyarakat dapat menerima wacana bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada wacana kritik sosial. Malahan, yang menjadi editor-editor majalah pada ketika itu juga bukan calang-calang.

Dewan Sastera sahaja – sebagai contoh – pernah dipegang oleh orang-orang seperti SN Usman Awang, SN Keris Mas, SN Baha Zain mahupun Zaen Kasturi yang kita ketahui bahawa kredibiliti kepengarangan dan pembacaan mereka sememangnya meluas serta kejiwaan mereka dalam memahami dunia kesusasteraan dan bahasa.

Saya tidak berhajat untuk beromantisme dengan kegemilangan lampau, tetapi apa yang perlu DBP lakukan adalah mengoreksi semula pencapaian-pencapaiannya yang lalu dan mempertingkatkan mutu agar mampu menjadi lebih baik pada hari ini.

Mutu pewacanaan DBP harus dipertingkatkan dan harus beradaptasi dengan suasana zaman yang semakin bergerak pantas. Ianya adalah sudah lapuk untuk dikeluh-kesah dengan saingan karya-karya populis mahupun karya-karya “indie” yang menenggelamkan karya-karya sastera, kerana karya sastera itu tidak lagi berwajahkan jenama DBP era 70 hingga 90-an.

Pergerakan zaman mewujudkan sebuah dinamika baru terhadap wacana-wacana kesusasteraan justeru sastera itu tidak lagi sekadar tersangkut pada karya-karya yang bernilai murni mahupun memiliki teknik penulisan yang tertentu seperti plot permulaan, pertengahan, klimaks, peleraian sebegitu.

Piawaian sebegitu sudah tidak lagi terpakai pada zaman sekarang dan kita mengharapkan tulisan-tulisan yang disiarkan dalam majalah-majalah dewan adalah lebih bercapah. Saya tahu ada sebahagian karya yang dihantar kepada editor bukan tidak mencapai mutunya, tetapi ditolak disebabkan oleh kepatuhan kepada piawaian DBP yang telah usang tersebut.

Itu sekadar satu contoh saya dalam soal peningkatan mutu pewacanaan DBP dalam isu-isu kebahasaan. Fokus yang saya maksudkan adalah pewacanaan bahasa di peringkat DBP harus lebih maju dan memerhatikan evolusi bahasa dunia pada hari ini dalam mengejar era Revolusi Digital 4.0.

Bahasa juga merupakan sebahagian daripada sub bidang yang berdiri di atas era revolusi tersebut justeru perkembangan dan nuansannya perlu lebih dimajukan dan tidak lagi terperangkap dalam piawaian dan laras yang kaku. Bahasa itu bukan tidak penting pada tata nya, tapi apa yang lebih penting adalah wacana isinya.

Banyak lagi yang mahu diperkatakan sebenarnya. Tapi cukuplah itu sahaja. Ada banyak perkara yang sudah dipendam lama. Tapi forum semalam memang “turning point” yang benar-benar mengujakan.

Forum pada malam tersebut hanya beretorik mengkritik tanpa cadangan penyelesaian?

Itu sudah cukup baik daripada tidak boleh dikritik langsung. Sebuah forum bukan tempat membincangkan cadangan. Cadangan-cadangan perlulah diselesaikan di ruang mesyuarat dan memerlukan perbincangan yang tidak sedikit kerana ianya akan terbentuk sebagai sebuah polisi.

Forum adalah tempat membincangkan masalah secara umum dan luas agar memberi gambaran besar kepada penggiat institusi tentang sesebuah masalah yang sedang wujud dalam memberi idea kasar sebelum dikritik di ruang mesyuarat. Forum terbuka adalah tempat membincangkan masalah, bukan membincangkan cadangan.

Cadangan yang dicadangkan di ruang forum yang paling lama pun hanya sekadar 2-3 jam itu berkemungkinan besar hanya akan menjadi cadangan khayalan sahaja.

Pasca forum pada malam tersebut memperlihatkan banyak ulasan dan kritikan di ruangan media sosial. Itu adalah satu petanda baik dan saya mengharapkan DBP tidak sekadar meninggalkan forum semalam sekadar sebuah forum, tetapi mengambil maklum kesemua perbincangan semalam dan lanjutkannya di ruang mesyuarat untuk mengambil tindakan penambahbaikan.

Jangan apologetik kalau mahukan perubahan. Apologetik hanya akan menghangus dan memadamkan kesemua poin-poin utama yang menjadi sandaran bakaran forum semalam. Sesekali wajar juga kita berdiam dan mendengar ketika kita sedar orang sedang ikhlas memberi nasihat kepada kita. Ambil yang baik sebagai pedoman, yang buruk boleh ditinggalkan.

Terdapat juga para hadirin yang kecewa disebabkan tiada jualan buku yang dilakukan semalam. #

 

Artikel asal boleh dibaca di hantaran Facebook Ahmad Muziru Idham di sini.

Comments

comments