Nuruddin Azri

Pelajar tahun akhir Sains Kesihatan di Universiti Kaherah, Mesir.

LEWAT tiga empat tahun mutakhir ini, banyak penulisan saya sudah beralih ke laman Goodreads kerana ianya lebih tenteram, jauh daripada hiruk-pikuk isu semasa dan sasaran pembacanya tidak terlalu mencapah seperti di laman Facebook.

Laman sosial ini pada satu takah yang lain, membolehkan perkara-perkara buruk yang sukar untuk kita lakukan apabila bersemuka dengan individu tersebut, berlaku dengan begitu mudah. 

Kini, yang muda boleh mengutuk yang tua. Anak murid boleh mengkritik gurunya. Pelajar sekolah menengah atau universiti dengan mudah boleh berbahasa kasar dan kesat dengan ilmuwan yang tidak pernah mereka bersua.

Orang yang pendiam ketika berada di khalayak awam, boleh menyebarkan fitnah tanpa memeriksa kesahihan maklumatnya. Mengumpat begitu mudah sekali walaupun kita hanya bersendirian di sudut terpencil rumah. 

Semuanya hanya dengan sebuah satelit yang terpacak teguh pada atap bangunan rumah.

Dalam bahasa mudah, jari-jemari masyarakat menjadi lebih pantas menari pada papan kekunci berbanding akal yang dianugerahkan Sang Pencipta. Berpada sahaja dengan pesan Baginda sallallahu ‘alaihi wasalam,

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Cukuplah seseorang itu berdusta apabila dia menyampaikan apa sahaja khabar berita yang dia terima.”

(HR Muslim)

Pada dimensi yang lain, adakalanya saya terfikir mungkin ini jugalah “bentuk moden” pemusnahan tembok pemisah antara kanak-kanak dan orang dewasa seperti yang dijangkakan oleh Neil Postman dalam bukunya The Disappearance of Childhood yang diterbitkan pada tahun 1982. Saat buku itu dikarang, wilayah internet masih berada pada fasa permulaan dan fungsinya tidaklah sedahsyat seperti yang ada pada hari ini.

Pada ruangan ini, saya tidak berminat untuk menulis mengenai buku kegemaran yang pernah dibaca kerana ia hakikatnya begitu sukar untuk dibuat dan jika ianya mampu dibuat, pasti senarainya boleh menjadi terlalu panjang. Sekiranya ada yang ingin mengetahuinya juga, mungkin boleh menjenguk buku yang saya berikan lima bintang (dan sebahagian buku empat bintang) pada laman Goodreads ini (https://www.goodreads.com/review/list/5112204). Ada sebahagian buku yang telah saya ulas dapatannya di situ.

Lensa penulisan saya lebih tertumpu kepada tokoh yang telah mencanai dan menukang cara fikir saya serta yang telah banyak saya amati hasil tulisannya. Antaranya ialah:

Mortimer J. Adler (1902-2001)

Seperti kebanyakan orang lain, saya mengenali penulis ini melalui buku How to Read A Book. Selain penulis membimbing pembaca mengenali tahap-tahap pembacaan dan jenis-jenis bahan bacaan, penulis ini juga berjaya menjambatani saya dengan falsafah-falsafah klasik Barat dengan menggunakan bahasa awam. Arketip “seminar” yang digariskan beliau dalam How to Speak, How to Listen begitu mengubah persepsi saya terhadap teknik menjalankan diskusi apabila jurang intelektual (intellectual gap) itu perlu dirapatkan melalui para tutor bagi memahami satu-satu teks falsafah atau Karya-karya Agung (Great Books).

Sebahagian besar makna pendidikan yang saya anuti juga berubah setelah menelaah buku Reforming Education yang menyeru pembaca ke arah konsep “Pembelajaran Sepanjang Hayat” (Life-long Learning). Uniknya lagi, ia disampaikan dengan cara paling bergaya dan kemas selain menekankan kepentingan seseorang mahasiswa itu untuk merangkul dan menguasai segala bentuk ilmu alat (tools of learning) sebelum tamat sesi pengajiannya di universiti.

Begitu juga dengan bukunya, Four Dimensions of Philosophy. Buku ini mengajak pembaca berfikir tentang hubungkait antara ilmu sains dan falsafah yang mana pelajar perubatan seperti saya ini sering tercari-cari buat sekian lama.

Oh ya, syarahan Syeikh Hamza Yusuf mengenai buku How to Read A Book itu di YouTube sangatlah lumayan bagi pembaca yang ingin menjalinkan antara turath Barat dan turath Islam. Adler seolah-olah berbisik kepada dunia melalui karya-karyanya bahawa usia manusia itu singkat, maka bacalah Karya-karya Agung (Great Books) yang pernah wujud pada setiap tamadun dunia.

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas hafizahullah (1931-sekarang)

Tokoh ilmuwan Nusantara yang kian meluas khalayak penekunnya ini saya kenali melalui karya Islam and Secularism (IS) yang saya baca pada 2013. Silap juga saya membaca buku itu sebelum membaca Risalah Untuk Kaum Muslimin (RUKM) kerana ada bibit-bibit skeptisisme timbul usai membaca buku IS itu dan terdapat beberapa perbahasan yang tidak mampu dicerna dengan baik pada waktu itu.

Buku IS itu juga memberikan kesan yang mendalam bagi pelajar jurusan sains seperti saya sehingga membuatkan saya membaca hampir semua karya-karya beliau yang lain seperti Prolegomena to the Metaphysics of Islam, The Concept of Education in Islam, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Historical Fact and Fiction, On Justice and the Nature of Man, Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, Some Aspects of Sufism as Understood and Practised Among the Malays, Rangkaian Ruba’iyat dan The Correct Date of the Terengganu Inscription. 

Tidak dilupakan juga, untuk menelaah buah fikiran dan daya keringat gergasi seperti beliau, ia berhajat kepada satu penekunan yang lama. Ini terus membawaku larut dalam kebanyakan hasil tangan anak muridnya yang tidak kurang hebatnya seperti Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib al-Attas, Budaya Ilmu: Satu Penjelasan, Rihlah Ilmiah: Dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer, Peranan Universiti: Pengislaman Ilmu Semasa, Penafibaratan dan Penafijajahan, The Beacon on the Crest of a Hill, Islam dan Pluralisme Agama, Atas Nama Kebenaran, Wajah Peradaban Barat, Pemikiran Islam Liberal, ISTAC Illuminated dan Al-Attas’ Philosophy of Science: An Extended Outline.

Saya tidak tahu betapa terhutang budinya saya terhadap tokoh ulung ini dalam mencorakkan Pandangan ‘Alam Islam saya (worldview of Islam), mengajar erti kesepaduan ilmu, menjentik hulu hati saya akan peri pentingnya menguasai dan mendalami bahasa dan sejarah serta mengetahui nilai sebenar ilmu tersebut.

Beliau juga mendidik saya untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya (adāb), meletakkan autoriti pula pada kedudukan yang selayaknya serta mengajar bahawa perlunya nafī dan ithbāt (atau dengan kata lain, menguasai ilmu yang kita ingin kritik itu dahulu sebelum mula membuat kritikan terhadapnya) dalam menanggapi apa-apa permasalahan.

Beliau turut mengajar bahawa kemunculan pemimpin palsu (rise of false leader) pada hari ini adalah berpunca daripada kecelaruan ilmu (corruption of knowledge) dan kecelaruan ilmu itu pula berakar daripada keruntuhan adab (loss of adāb). Kitaran roda kerancuan itu akan terus berputar seandainya universiti tidak memainkan peranannya yang sebenar dalam membentuk kerangka fikir yang betul, meletakkan fakulti ilmu itu pada tempatnya dan menyerahkan autoriti sesuatu bidang kepada ahlinya.

Neil Postman (1931-2003)

Saya mengenali tokoh pendidik media massa yang unik ini melalui buku Amusing Ourselves to Death yang sering dikupas di mana-mana wacana buku dan acapkali disebut-sebut oleh Syeikh Hamza Yusuf dan Dr. Umar Faruq Abd-Allah.

Mungkin dek kerana pendekatan dan konsep gaya penulisannya yang mirip seperti Mortimer Adler – iaitu menyampaikan gagasan besar yang kompleks (pedantic) dengan bahasa yang mudah – membuatkan saya jatuh cinta dengan tulisannya sehingga saya membaca buku-buku seperti Technopoly: The Surrender of Culture to Technology, Teaching as a Conserving Activity dan The Disappearance of Childhood.

Sumbangan terbesar penulis ini terhadap saya ialah apabila beliau berjaya menyemai benih ke dalam jiwa dan fikiran saya bahawa membaca dan menulis itu merupakan aktiviti aktif (active process) manakala menonton skrin (televisyen, gajet, laptop dsb.) merupakan aktiviti pasif (passive process). Ya, sekali lagi mesejnya sangat intim dengan mesej Mortimer Adler.

Antara perkara lain yang menaut hati saya terhadap penulis ini sudah tentulah dengan latar sejarah yang dibawa bagi setiap buku, pemetaan perbezaan tipis antara Orwellian model dengan Huxleyian model, perincian perbezaan antara typographic mind dengan telegraphic mind/image-based culture (yang cukup berbahaya), seruan ke arah pembelajaran sejarah dan falsafah bagi setiap disiplin ilmu di universiti serta mengajak pembaca untuk berinteraksi dengan Karya-karya Agung (Great Conversations) dalam sejarah dunia melalui pembacaan karya-karya tersebut. 

Siapakah yang tidak familiar dengan senarai Great Books yang ditulis oleh Mortimer Adler pada penghujung buku How to Read A Book-nya itu?

Syed Hussein Alatas (1928-2007)

Tokoh intelektual Malaysia ini merupakan abang kepada Prof. Syed Naquib al-Attas. Setelah tersangkut dengan mesej sosial dan gaya bahasa serta terjemahannya yang bermutu tinggi dalam buku Intelektual Masyarakat Membangun, saya tanpa teragak-agak terus mencari dan mengkhatamkan kebanyakan bukunya yang lain seperti The Myth of Lazy Native, Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah, Siapa yang Salah: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu, Cita Sempurna Warisan Sejarah, Biarkan Buta: Sekitar Perbahasan Ilmiah Derma Kornea Mata dan Sosiologi Korupsi.

Keunikan tokoh ini adalah pada beberapa perkara. Antaranya ialah isu-isu yang di-tackle adalah isu-isu sentral dalam masyarakat seperti i) Rakyat Malaysia perlu membebaskan minda tertawan (captive mind) mereka daripada label dan mindset yang ditanam oleh penjajah pascakolonialisme, ii) Signifikannya seorang cerdik pandai untuk turun ke lapangan masyarakat serta iii) Menyentuh isu rasuah dan korupsi yang sedia membarah dalam gelanggang politik tanah air Malaysia.

Istimewanya lagi, setiap karyanya bersifat objektif dan direct-to-the-point terhadap permasalahan yang ingin diselesaikan. Hujah-hujah akan disusun rapi satu persatu dan disampaikan dalam bahasa dan penulisan yang tidak lewah lagi merenyahkan. Penulis juga pernah berkecimpung dalam arena politik dan karyanya, The Myth of Lazy Native menjadi rujukan oleh cendekiawan dunia seperti Edward Said.

Imam Abū Hāmid al-Ghazālī (1058-1111)

Mujaddid yang tidak asing lagi tidak kira sama ada di Timur mahupun Barat ini mula saya kenali melalui kelas pembacaan (luar kuliah) Bidāyah al-Hidāyah sewaktu saya berada di kuliah tahun satu Fakulti Perubatan di Mesir ini. Karya pertama beliau yang saya baca itu, pada pendahuluan kitabnya sahaja telah meranapkan ego saya yang sudah sedia menggunung dalam perihal menuntut ilmu.

Penulisannya itu “sangat hidup” dan penulis bagaikan berinteraksi dengan para pembaca. Ini lantas membuatkan saya mencari dan menamatkan bacaan buku-bukunya yang lain seperti al-Munqīdh min ad-Dholāl, Kīmiyā’ as-Sa’ādah, Misykāt al-Anwār, Iljām al-‘Awwām ‘an ‘Ilm al-Kalām, Faisal at-Tafriqah baina al-Islām wa az-Zandaqah, Jawāhir al-Qur’an, Tahāfut al-Falāsifah, al-Maqsad al-Asnā fi Syarh Ma’ānī Asmā’ Allāh al-Husnā, ar-Risālah al-Ladunniyyah, Minhāj al-‘Abidīn ilā Jannah Rabb al-‘Alamīn, Minhāj al-‘Arifīn, al-Mawa’iz fi al-Ahādīth al-Qudsiyyah, Ayyuhā al-Walad dan beberapa lagi buku lain.

Wacana yang dibawa oleh penulis ini sangat malar segar (evergreen) disebabkan ketokohannya yang tidak dapat disangkal, rihlah dan liku-liku keilmuannya yang sangat mengujakan serta pengaruhnya dalam mengembangkan wacana dan disiplin ilmu fiqh, tasawwuf, mantik dan ilmu kalam. Capai sahaja mana-mana buku yang berkaitan cabang ilmu di atas, pasti nama Imam al-Ghazali tidak akan dapat lari daripada dititipkan. Beliau adalah Tokoh pada Zamannya (Man of His Age).

Seperkara lagi tentang beliau yang mungkin ada yang terlepas pandang, beliau menguasai falsafah itu sendiri dengan menulis Maqāsid al-Falāsifah sebelum mengkritik semula falsafah itu melalui Tahāfut al-Falāsifah.

Persamaan antara kelima-lima tokoh ini terletak pada nilai setiap bait karangannya yang begitu bermakna. Setiap ayat yang ditulis pasti punya signifikannya tertentu dan tidak dibiarkan sia-sia. Mereka juga turut mengajak pembaca menggunakan seni yang kian terhakis dalam kebanyakan masyarakat – seni berfikir secara kritikal, menyeru untuk menyelongkar khazanah keilmuan peradaban terdahulu dan memupuk budaya tinggi (high culture) dalam masyarakat melalui pembacaan buku-buku berkualiti. #

Comments

comments