Dewih Haris

Penulis dan editor.

MENTERI Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik telah mengajak masyarakat Malaysia untuk memuat naik 10 buku pilihan dengan tagar #MalaysiaMembaca. Hasrat ini bagi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030. 

Dr Maszlee turut menyenaraikan 10 tajuk buku pilihan yang dimuat naik pada laman Facebook dan Twitter beliau. Berikut dihimpunkan sepuluh buah buku yang telah dibaca oleh beliau.

The Alchemist karya Paulo Coelho

Buku ini mengisahkan mengenai Santiago, budak pengembala dalam perjalanannya mengejar Personal Legend  yang memberi inspirasi kepada pembacanya untuk mencapai impian dalam hidup. Pengembaraannya ini membawa kekayaan dalam pengalaman, yang memberi kepuasan lebih daripada apa yang dibayangkan. Pengembaraan Santiago ini mengajar pembacanya betapa pentingnya kebijaksanaan dalam mendengar kata hati, mengambil peluang dan belajar untuk melihat petanda yang datang sepanjang perjalanan hidup dan yang paling utama, mencapai impian yang dikejar.

Trust: The Social Virtue and the Creation of Prosperity karya Francis Fukuyama

Buku ini meneroka peranan modal sosial dalam mempromosikan atau merosakkan kemakmuran ekonomi. Isu modal sosial terus menerima biasiswa cemerlang oleh banyak saintis sosial terkemuka, termasuk Robert Putnam dan Charles Murray.

Secara mendalam, Fukuyama mendefinisikan modal sosial sebagai keupayaan masyarakat untuk bekerja bersama dalam kumpulan dan organisasi untuk tujuan yang sama. Ia adalah melalui timbal balik, kewajipan moral dan tugas manusia ke arah komuniti yang berfungsi dengan baik oleh pasaran perdagangan. Fukuyama mengamalkan dan menguraikan pandangan Aristotle bahawa kebaikan etika kebanyakannya merupakan produk kebiasaan (ethos) dan sikap moral kita dibentuk sebagai akibat dari aktiviti yang sama. Fukuyama selanjutnya berpendapat bahawa tabiat kita dimaklumkan oleh budaya tempatan dan kebangsaan, yang banyak dibentuk oleh kebajikan agama melalui pengulangan dan tradisi.

Manuklon karya Rahmat Haron

Manuklon merupakan sebuah novel futuristik yang penuh dengan peristiwa kembara, dijiwai oleh manusia biasa dan klon, yang saling bertentangan demi untuk mendapatkan kuasa. Di satu pihak, golongan manusia yang ditindas oleh bangsa manuklon berjuang bermati-matian untuk membebaskan tanah air mereka manakala di pihak yang lain, pemerintah manuklon berusaha sedaya upaya mereka untuk mempertahankan kuasa mereka.

Intelektual Masyarakat Membangun karya Syed Hussein Alattas

Buku ini memfokuskan terhadap golongan intelektual dalam konteks negara membangun. Metode yang diguna pakai adalah sosiologi pengetahuan (sociology of knowledge). Penulis mengkaji fenomena golongan intelektual mengenai maksud intelektual, peranan, kemunculan mereka dan keburukan yang berlaku apabila golongan ini tidak memainkan peranan.

Pemilihan frasa “negara membangun” yang diguna pakai juga penting kerana ia menentukan hala tuju dalam buku ini. Maksudnya topik-topik yang dibincangkan dengan asumpsi bahawa fenomena golongan intelektual di negara yang sudah terbangun (developed society) dan negara membangun (developing society) ada perbezaannya.

Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi karya Syed Hussein Alattas

Buku ini berhubung dengan penyimpangan moral yang telah begitu lama dikenal manusia seperti rasuah, bukan hanya terdapat kesulitan untuk membanterasnya, namun akhirnya gejala ini menimbulkan hambatan ideologis. Ada pihak yang mengakui peranan positif rasuah dalam pembangunan. Hal ini merupakan kemuncak daripada bangunan rumit rasuah yang memiliki komponen-komponen yang keras, dan sekaligus tak terlihat.

Sebagai gejala sosial, rasuah timbul daripada pelbagai sebab, tampil dengan pelbagai sifat dan kemudian menunjukkan fungsi di samping akibat-akibat sosialnya. Faktor ini yang menjadikannya sebagai kajian khusus dalam sosiologi yang menimbulkan perbezaan pandangan.

Buku ini merangkumi semua aspek rasuah menerusi huraian yang terperinci tentang kes-kes sejarah di Romawi kuno, China kuno serta masyarakat Asia moden. Apabila buku ini mengambil sikap tertentu terhadap rasuah, hal ini hanya timbul menerusi pembahasannya sebagai gejala yang menyeluruh, yang dihadapkan dengan masyarakat yang memiliki moraliti dan cita-cita luhur yang dilakukan penulisnya secara telus dan berwibawa.

Sejarah Umat Islam karya Hamka

Buku ini merupakan sebuah buku sejarah mengenai Islam, terutamanya membincangkan sejarah kerajaan-kerajaan Islam yang wujud apabila Islam tersebar selepas keangkatan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul Allah SWT yang terakhir di Mekah pada sekitar abad ke-7 Masihi. Dari Tanah Arab sehingga ke Asia Tenggara, kerajaan-kerajaan ini dibincangkan asal usul kewujudannya secara ringkas. Buku ini sesuai dibaca sebagai permulaan atau pengenalan mengenai topik sejarah umat Islam.

Al Tawhid: Its Implications for Thought and Life karya Ismail Raji al-Faruqi

Buku ini menjelaskan mengenai tauhid dalam Islam. Tauhid bukan sekadar pengisytiharan syahadah “tidak ada Tuhan melainkan Allah” untuk menandakan masuknya seseorang itu ke dalam Islam beserta ikrar dan keyakinan. Tauhid juga sebagai pandangan dunia. Satu pandangan dunia yang mengawal setiap aspek kehidupan anda dari perbuatan terkecil hingga tindakan terbesar. Tauhid merupakan asas kepada kehidupan Islam.

Al-Munqidh min al-dalal atau Guide for The Perplexed karya Al-Ghazali

 

Buku autografi hasil karya Al-Ghazali ini penuh dengan ilmu dan hikmah. Seperti yang terdapat dalam laman Twitter Dr Maszlee Malik:

“Ini antara buku autobiografi yang saya suka. Penuh dengan ilmu dan hikmah. Siapa yang tidak kenal Al-Ghazali? Dan siapa yang jatuh cinta terhadap buah fikirannya tetapi tidak membaca buku ini?”

Al-Kimiyya al-Sa’adah karya Al-Ghazali

Persoalan kecil dalam disiplin diri dan perbezaan antara kebahagiaan dan makna kebahagiaan dalam pengertian rohaninya, menurut visi Sufisme penulis Imam Abu Hamid al-Ghazali. Dalam buku ini, Al-Ghazali menekankan banyak idea dan konsep rohani.

Menurut Dr. Maszlee Malik menerusi laman Twitternya:

“Pendidikan yang menjadikan semua manusia bahagia. Konsep kebahagiaan yang begitu mendalam dihuraikan oleh al-Ghazali dalam buku ini. Hakikatnya, kata al-Ghazali, kita semua manusia yang inginkan kebahagian.”

Hikmah Hati karya Maszlee Malik

Buku ini mengisahkan Ghulam yang dilahirkan sebagai anak yatim di bumi Aden. Dia menyara ibunya yang sudah tua dengan bekerja di kedai membuat kaca dan mengembala kambing. Hatinya sering dihiburkan dengan cerita si Ma’di al-Najjar yang buta itu tentang sejarah bumi Yaman, Saba, kerajaan Rom dan Empayar Parsi.

Pada suatu hari, tersebar perkhabaran tentang pencarian seorang budak keturunan bani Israel yang pintar untuk menggantikan Shaylam, ahli sihir istana yang semakin gering. Dia teruja hendak menjadi ahli sihir dan orang kepercayaan Shah, raja kerajaan Himyar yang dianggap sebagai jelmaan tuhan. Hidup ahli sihir istana dilimpahi dengan kesenangan, kekayaan dan kehormatan. Apatah lagi dapat berdampingan dengan Shah yang disembah oleh semua rakyat jelata.

Kehadiran seseorang yang tidak dikenali akan merenggut impian indah Ghulam. Dan Ghulam tidak mahu lagi diulit kemiskinan dan melarat mencari rezeki. Pilihannya cuma ada dua, sama ada lari daripada orang itu ataupun berdepan dengannya.

Dengan menggunakan tagar #MalaysiaMembaca, Dr Maszlee telah menyeru masyarakat Malaysia untuk menyenaraikan 10 buku pilihan mereka. Bagaimana pula dengan 10 buku kegemaran anda?

##

Comments

comments