Shamsul Amin

Penulis, editor dan tukang cerita.

KUALA LUMPUR: Matlamat Penerbitan Kata-Pilar (Kata-Pilar Books) dalam menyebarluaskan pendidikan masyarakat melalui pembacaan diteruskan lagi dengan penerbitan buku Drama Wonder Emak.

Buku tulisan Salwa Saleh tersebut dilancarkan oleh Profesor Dr Harlina Haji Siraj, pakar runding dan konsultan dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Kedai Buku MPH Nu Sentral, Sabtu lalu.

Lazim tampil dengan buku ‘ilmiah tetapi santai’ bertemakan kerjaya perubatan dan motivasi, Kata-Pilar Books kali ini membawakan kompilasi anekdot dan pengalaman santai Salwa Saleh sebagai suri rumah yang bekerja dari rumah.

Di dalam buku kedua beliau tersebut, Salwa berkongsi pengalamannya menguruskan keluarga selain pada masa yang sama melakukan aktiviti sukarelawan dan perniagaan. Salwa juga menampilkan sisi seorang emak yang serba-serbi boleh dalam pelbagai bidang kehidupan meski hanya berkerja dari rumah.

Uniknya, buku ini turut disertakan bersama dengan strip komik, tip Do-It-Yourself untuk membuat kraf dan resepi bersama anak-anak di rumah.

Image may contain: 2 people
Salwa bersama peminat cilik (FOTO: Facebook Kata-Pilar Books)

Salwa ketika ditemui berkata, pengalaman menyiapkan buku kedua beliau ini berbeza dengan pengalaman menghasilkan buku pertama, Bila Emak Berdrama.

“Saya mempunyai empat orang cahaya mata. Ketika menyiapkan Drama Wonder Emak, saya sedang hamil anak keempat, justeru ketiga-tiga anak saya sudah sedikit besar, ada yang sudah masuk prasekolah”

“Berbanding menyiapkan buku pertama, ketika itu saya hamil anak ketiga. Dua anak ketika itu masih kecil, malah ada yang menyusu. Jadi, cabarannya berbeza,” kata Salwa.

Menulis awal pagi

Memulakan aktiviti penulisannya melalui blog www.salwasaleh.com sejak tahun 2004, tambah Salwa lagi, beliau memanfaatkan waktu sekitar pukul 3 hingga 5 pagi untuk menyiapkan Drama Wonder Emak.

“Kehidupan saya sangat hectic. Jadi pada waktu itu sahaja yang tenang dan aman untuk menulis. Anak-anak dan suami pun sedang tidur,” ujarnya seloroh.

Profesor Dr Harlina dalam ucapan perasmiannya, menyatakan kekaguman kepada ibu-ibu yang berkerja dari rumah.

“Cabaran terbesar ibu bapa masa kini adalah untuk mengharapkan anak-anak membesar menjadi seperti yang kita harapkan. Jadi syabas kepada ibu-ibu yang berkerja dari rumah ini.”

Turut dilancarkan dalam majlis itu ialah empat buah buku lain bertemakan perubatan oleh Kata-Pilar Books iaitu Buku Pink: Cerita Ibu-Ibu Mengandung, Syif Tengah Malam, Misi Impossible 2.0: Syif Tengah Malam dan Aku Budak Medik 4.0.

 

Comments

comments