Shamsul Amin

Penulis, editor dan tukang cerita.

KUALA LUMPUR: Golongan intelek serta pemikir di negara ini perlu mengetengahkan ilmu dalam bidang masing-masing bagi membentuk pemikiran masyarakat atau ‘thought leadership’, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata golongan intelektual tidak harus dikaitkan dengan ahli akademik sahaja kerana mereka juga terdiri daripada seniman, agamawan dan budayawan dan sewajarnya menyampaikan ilmu mereka bagi membantu proses pencerahan masyarakat.

“Diskusi intelek memberi peluang pembaca memahami dan menyelami idea-idea penulis dalam pelbagai subjek, termasuklah intelektual, kewartawanan dan media, persoalan seni, peranan pelajar, perpaduan, sastera dan budaya,” katanya ketika berucap melancarkan buku ‘Percakapan dengan Raja Ahmad Aminullah: Kesetiaan Pada Idea’  karya Raja Ahmad Aminullah di White Box Publika, semalam.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata, buku itu  wajar menjadi pendorong kepada semua yang berani mengemukakan pendapat dan fikiran masing-masing.

“Dalam berbicara mengenai intelek dan perkembangan ilmu, saya ingin kaitkan perbincangan kita dengan cabaran yang kita hadapi hari ini di mana kita perlukan golongan ini (intelek) bersama-sama ke medan pertarungan ideologi dengan ilmu.

“Ia penting untuk memastikan Malaysia Baru yang diidamkan tidak terbalik dan tumbang. Pasca Pilihan Raya Umum ke-14, adalah penting untuk kita menyedari, membina Malaysia Baru bukan sekadar memenangi pilihan raya tetapi ilmu dan pengisian dalam berdepan cabaran hari ini,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata proses mentakrif dan membina Malaysia Baru memerlukan wacana yang berterusan untuk menghasilkan satu tasawwur atau “worldview” serta identiti yang baru di mana ia harus unik jika dibandingkan dengan apa yang telah ada sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan menghasratkan perubahan yang menganjakkan identiti daripada tasawwur yang berlandaskan perkauman, dicorakkan oleh persengketaan kepada identiti yang berlandaskan sifat-sifat alamiah serta rahmah.

Dr Wan Azizah turut mengingatkan bahawa anjakan itu bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan kerana kita (masyarakat dan negara) sentiasa berdepan dengan anasir penentang perubahan yang masih menginginkan susun atur yang lama.  — BERNAMA

Comments

comments