Dewih Haris

Penulis dan editor.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan untuk menterjemahkan karya antarabangsa kepada golongan muda, kata Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Tuan Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Siri Pencerahan Selangor dalam satu majlis bertempat di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur, semalam.

Majlis itu dianjurkan oleh Kerajaan Selangor menerusi Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan Nusantara Audiobooks.

“Siri Pencerahan Selangor ini merupakan anjuran kerajaan negeri Selangor melalui IBDE, di mana kita menterjemahkan beberapa karya-karya antarabangsa dan karya tempatan yang kita fikirkan sesuai untuk generasi muda dan masyarakat keseluruhannya.” tambah beliau.

Turut hadir Yang Berhormat Muhammad Hilman (ADUN Gombak Setia). Majlis itu turut menampilkan penulis dua buku dalam siri ini iaitu Prof. Dr. Martin Van Bruinessen dengan buku yang dibincangkan, Islam di Nusantara: Kitab Kuning, Pesantren dan Tarekat dan Pamela Ong Siew (Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Onn Bin Jaafar).

Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) merupakan satu usaha untuk merancakkan aktiviti penterjemahan, memperkaya perbendaharaan ilmu dan khazanah bacaan bahasa Melayu.

IBDE memberi tumpuan kepada kegiatan penterjemahan dan penerbitan karya-karya penting dunia merangkumi karya-karya falsafah, islamik, sastera, politik dan biografi. IBDE digerakkan oleh sekumpulan penggemar buku, pencinta bahasa dan individu yang berpengalaman dalam penerbitan dan penterjemahan.

Setiap satu keluaran akan diterjemahkan dan dicetak sejumlah seribu cetakan dan diedarkan  ke perpustakaan, agensi-agensi kerajaan dan sekolah-sekolah untuk dijadikan bahan bacaan yang memberi manfaat kepada generasi muda dan masyarakat di Malaysia.

Aktiviti perterjemahan ini akan disusuli dengan perbincangan dalam kalangan masyarakat untuk mencambah minat membaca dan memahami ilmu pengetahuan. #

Comments

comments