Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku

Nota Editor: Artikel ini adalah artikel asal tulisan Sayed Munawar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku dan pernah disiarkan dalam BERITA HARIAN dan BH ONLINE yang bertarikh 1 Oktober 2018.


SEJUMLAH dua puluh buah negara telah diisytiharkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia oleh UNESCO, termasuk Bandar-bandar seperti Bogota, Antwerp, Ljubljana, Yerevan, Incheon dan Conakry. Kuala Lumpur adalah negara ke-20 dinobatkan dengan status itu dan negara kedua di ASEAN selepas Thailand yang menerima status berkenaan pada tahun 2013.

Sejurus Kuala Lumpur menerima pengesahan tentang status Ibu Kota Buku Dunia 2020, berita itu mula tular di media sosial sebelum disambut oleh media perdana dengan pelbagai skop dan polemiknya. Penganugerahan status itu disambut dengan penuh euforia oleh ‘hampir’ semua karyawan buku tanah air.

Saya sebut ‘hampir semua’, kerana timbul juga persoalan, tidak kurang yang meremehkan status KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020.

Kepada karyawan buku yang bertungkus lumus dalam menyiapkan dokumen pembidaan, ia adalah sebuah kepuasan yang sangat besar atas dua sebab. Pertama, ya, kita mengakui bahawa industri buku tanah air berhadapan dengan cabaran yang besar. Dengan penganugerahan ini, membuka peluang untuk karyawan buku membuka lembaran baru dengan memulakan perjuangan menempuh era getir ini bersandarkan kepada wewenangan politik, yang juga baru.

Kedua, tahun 2020, bersinonim dengan hasrat untuk menyambut aspirasi besar wawasan yang digagaskan oleh pemimpin negara, kini Malaysia kembali dipimpin oleh tokoh yang mencetuskan idea wawasan berkenaan, menjadikan tahun penganugerahan berkenaan, yakni 2020, membawa erti yang lebih manis lagi.

Dalam proses pembidaan, negara pembida perlu menyenaraikan segenap kekuatan sesebuah negara dalam aspek perbukuannya. Bagi memenuhi keperluan itu, sekretariat yang dipengerusikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka turut dianggotai agensi dan pemain industri mengumpulkan setiap butiran acara dan agenda perbukuan negara.

Kuala Lumpur sebenarnya sendat dengan acara perbukuan di sepanjang tahun. Berpuluh agensi yang menggubal program dan aktiviti hampir setiap minggu dan bulan dituruti pula dengan agenda perekonomian industri kandungan tanah air, malah tidak ketinggalan inisiatif-inisiatif oleh pejuang-pejuang buku secara individu, memenuhi sebuah kolaj mujahadah perbukuan tanah air.

Sumber: Unesco.org

Setiap satu entiti yang mengisi dan menggerakkan ruang perbukuan tanah air ini bukan hanya memenuhi tanggungjawab dan mandat profesion semata-mata. Sebaliknya ia dinukilkan hasil daripada keyakinan bahawa usaha memandaikan bangsa melalui pembacaan merupakan sebuah mujahadah yang perlu digalas sebagai taklif rabbani, yakni, sebagai sebuah pertanggungjawaban kudus dalam menyalurkan ilmu dan makna.

Sewaktu Conakry dinobatkan oleh Unesco sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2017, ia telah mengubah lanskap malap bandar itu kepada pesta sastera, bandar di penuhi acara, pembacaan puisi dan pentomen, dinding dihiasi dengan nukilan puisi serta wajah penulis mereka, sehinggakan Presiden Guniea menganggap penganugerahan itu sebagai sebuah renaissance budaya mereka dan menjadi impetus kepada usaha untuk mengelakkan budaya tradisi mereka daripada pupus.

Conakry pernah dinobatkan oleh Unesco sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2017
Sumber: Thewomenstorch.com

Berbanding Conakry, Incheon yang mendahului dua tahun dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia menggunakan kesempatan status itu untuk memposisikan bandar mereka sebagai hab perdagangan kandungan serantau dan meletakkan simbol keramat Sungai Han sebagai impetus kepada kejayaan kemajuan menerajui sektor industri teknologi dunia.

Baik Conakry, mahupun Incheon, berlatar belakangkan status ekonomi dan budaya yang sangat jauh berbeza, masing-masing mengambil kesempatan penganugerahan status ini sebagai proses meluruskan semula agenda mencerdaskan umat dengan memanfaatkan wewenangan politik masing-masing. Penganugerahan ini juga merupakan sebuah kecerdasan dalam kalangan pejuang buku untuk mendapatkan wewenangan politik secara bulat dan pukal. Ia ternyata telah berjaya setakat ini untuk menarik perhatian dengan pelbagai polemik yang melatari sementara setiap agensi dan kementerian yang terbabit kini sudah mula sibuk membincangkan agenda termasuk untuk mula menjadikan #KLbaca semakin zahir termasuk di Frankfurt Book Fair, yang dianggap sebagai ‘mecca’ kepada industri buku dunia.

Kepada pemain industri dan karyawan buku, anugerah ini merupakan sebuah laungan perjuangan untuk digegak-gempitakan.

Malaysia bercita-cita besar ingin menjadi pemain utama pembangunan dunia. Kita berada dalam kemelut persaingan yang getir. Malaysia juga kini dalam proses transisi perubahan struktur pentadbiran pasca pilihan raya lalu. Ia merupakan satu pertembungan kesempatan yang luar biasa yang tidak terfikirkan sewaktu mana dokumen pembidaan diisi dan diserahkan kepada UNESCO. Tidak keterlaluan untuk kita anggap ia sebagai sebuah intervensi kudus (divine intervention) mungkin natijah keikhlasan setiap individu yang menyiapkan dokumen pembidaannya.

Jika berpuluh negara telah dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia, jika negara dan ibu kota-ibu kota berkenaan telah menjadi penanda aras kepada usaha karya perbukuan para ahlinya, jika bandar tersebut mengisi ruang dan masa sepanjang tahun dengan acara-acara perbukuan demi memenuhi tanggungjawab penganugerahan itu, jika penobatan status itu menjentik psiki umat agar melihat sebenarnya kita sudah berhempas pula untuk memandaikan bangsa dengan pelbagai cara, maka tahun 2020 sebagai tahun menyambut KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia bukan sahaja wajar, bahkan wajib disyukuri.

Kita perlu terus menyalakan obor kecintaan kepada ilmu melalui wahana pembacaan kerana itulah kritik yang selama ini kita sampaikan bahawa kita menginginkan kemajuan negara ini diisi dengan pembangunan yang benar-benar bermakna, kemajuan dan pembangunan yang benar-benar berarti.

Penganugerahan KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 bukanlah suatu kesilapan. Ia adalah suatu kesempatan.

Lalu, ketika mana ada pihak yang mempersoalkan, mengapa KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia? Jawapan kita mudah.

Mengapa tidak!

Comments

comments