Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

PERNIAGAAN secara atas talian memang sudah tidak asing lagi di Malaysia. Daripada barangan yang murah sehinggalah produk yang mencecah ribuan ringgit. Daripada sebotol sabun pencuci, contohnya, sehinggalah ke cincin perkahwinan yang diperbuat daripada emas bertatahkan berlian. Walhal, jika dicari di kedai-kedai berhampiran, sudah pasti dapat dijumpai dan boleh dibeli. Begitulah betapa berpengaruhnya urusan jual beli dengan menggunakan kaedah ini.

Industri buku juga tidak kurang hebatnya. Pelbagai strategi dan kaedah digunakan, semata-mata untuk menarik minat para pencinta buku untuk membeli buku-buku kegemaran mereka dengan lebih mudah. Segala urusan pembelian buku-buku kini hanya di hujung jari; berbekalkan telefon pintar dan kad debit bank yang berbaki.

Di sini penulis senaraikan antara sepuluh kedai buku atas talian yang membuatkan para pencinta buku tidak keruan apabila melawatnya, sama ada dalam mahupun luar negara. Rambang mata itu sudah pasti. Malah membuatkan mereka sentiasa ‘melekat’ untuk melihat senarai ribuan buku yang menarik. Hari demi hari, bulan demi bulan, dan tahun demi tahun. Sehingga menjadikan segelintir antara mereka adalah pemerhati yang setia. Apa yang pasti, setiap kedai buku atas talian ini menjanjikan keunikan dan faktor tarikan yang tersendiri.

1.  Bookxcessonline.com 

Laman web ini menyediakan buku-buku dari luar negara dengan kadar harga yang sangat murah: kebanyakan harga buku 80% lebih murah dari harga asal. Jika bernasib baik, terdapat juga buku yang berkualiti dan ‘mahal’ isi kandungannya dapat dibeli di sini dengan harga kurang daripada RM20 senaskhah; tidak termasuk kos penghantaran. Sebagai contoh, buku karya pemenang Hadiah Nobel Sastera 2017, Kazuo Ishiguro, dapat di miliki di sini, berjudul ‘The Unconsoled’ dan ‘The Buried Giant’ (sementara stok masih ada).

Akan tetapi, buku-buku terbaru yang popular agak sukar untuk diperoleh. Walau bagaimanapun, karya sastera klasik yang dikarang oleh Harper Lee, Mark Twain dan Charles Dickens sebagai contoh, buku-buku mereka turut berada dalam senarai. Bagi penggemar bahan bacaan berbahasa Inggeris, laman web ini adalah sangat berbaloi untuk mereka. Selain novel, buku nota dan permainan untuk kanak-kanak juga turut dijual.

2.  Bookurve.com 

Bertemakan “kedai buku atas talian yang dibina oleh pencinta buku untuk para pembaca”, laman web ini juga turut menyenaraikan banyak buku-buku yang popular. Oleh sebab sifatnya yang global, maka terdapat tiga kategori bahasa utama untuk ratusan kategori buku-buku yang telah diterbitkan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris. Hal ini  bersesuaian dengan landskap perniagaan di negara ini. Oleh kerana terdapat banyak novel dan buku-buku bestseller, maka harga juga adalah berpatutan dan bersesuaian. Walaupun begitu, dari semasa ke semasa, tawaran yang mereka lakukan juga agak menarik.

3.  ITBM