Shamsul Amin

Penulis, editor dan tukang cerita.

KUALA TERENGGANU, 28 Jun — Dunia buku dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Mokhtar Yusof, 65, pengusaha Dusun Buku yang meninggal dunia, semalam.

Beliau diberitakan meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di Hospital Sultanah Zahirah di Kuala Terengganu, petang semalam. Bekas guru itu meninggalkan isteri serta lapan anak dan cucu-cucu di samping lebih 14 000 judul buku di perpustakaan peribadi di rumahnya, yang dibuka kepada orang awam sebagai Dusun Buku.

Salah seorang anak Allahyarham, Saifulnizam memberitahu Utusan Online semalam, keluarga beliau akan meneruskan legasi Dusun Buku peninggalan bapa mereka.

“Berkenaan Dusun Buku, kami kesemua anak arwah akan meneruskan legasi peninggalan arwah. Semoga segala jasa dan pengorbanan arwah terus dapat dinikmati sejajar dengan hasrat penubuhan Dusun Buku, untuk memberi kemudahan kepada masyarakat.”

Dusun Buku diusahakan oleh Mokhtar bersama isteri dan anak-anak sejak lapan tahun yang lalu setelah bersara daripada perkhidmatan pendidikan sebagai Guru Besar di SK Undang, Kuala Terengganu. Dusun Buku menghimpunkan koleksi buku Allahyarham Mokhtar sejak 1973 untuk dikongsikan dengan masyarakat setempat supaya dapat menyemarakkan budaya membaca dan menghargai bahan bacaan. #

 

Kredit gambar lakaran: The Star

Comments

comments