Adi Saujana

Penulis merupakan Pengarah Urusan syarikat Scriptology Sdn Bhd yang mana telah membangunkan aplikasi buku audio, TLiNGE bagi kemudahan mendengar buku di telefon pintar dan komputer. Penulis juga merupakan salah seorang anggota kumpulan nasyid Saujana yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam industri rakaman dan hiburan

TAHUN 2018 sudah berlayar jauh dan tanpa kita sedari, kini ia telah berada di bulan yang kesepuluh. Begitu cepat sungguh masa berlalu pergi. Sudah tercapaikah azam-azam yang kita sasarkan di awal tahun dahulu? Sudah bertambahkah ilmu dan pengetahuan kita? Yang paling penting, berapa banyak bukukah yang telah kita baca dan habiskan?


Syabas dan tahniah diucapkan, jika anda merupakan salah seorang yang berjaya menghabiskan sekurang-kurangnya satu buah buku di suku awal tahun ini. Saya percaya, pasti ramai pembaca majalah ini merupakan peminat tegar buku. Namun begitu, masih ramai lagi masyarakat di luar sana yang tidak sedar akan kepentingan membaca buku ini. Ada juga di antara mereka yang tidak ingat bila kali terakhir mereka membaca dan menghabiskan bacaan mereka!

Antara alasan utama mereka ialah apabila maklumat amat mudah diperolehi di hujung jari melalui internet, membeli buku kini tidak lagi dianggap relevan. Tanya sahaja kepada bakal graduan kita. Walaupun telah dibekalkan dengan baucar buku, bahan bantu belajar seperti mesin cetak, kertas dan alatulis merupakan keperluan yang lebih utama berbanding mendapatkan buku. Bahkan, jika diberi buku secara percuma sekalipun, belum tentu lagi menjadi pendorong semangat mereka untuk belajar.

Namun begitu, artikel ini bukanlah untuk menghakimi sesiapa dan bukan juga untuk menuding jari mencari salah mana-mana pihak. Masing-masing berhak atas kemajuan diri mereka sendiri. Walaupun begitu, isu budaya membaca ini perlu ditangani dengan serius supaya generasi belia dan kanak-kanak sekarang ini dapat dibangunkan dalam suasana ilmu dan buku.

Mengapakah buku dan budaya membaca ini menjadi semakin penting di dalam masyarakat kini? Dalam dunia yang serba canggih dan berteknologi tinggi ini, sesuatu maklumat itu amat mudah untuk diperolehi. Malah, ia boleh didapati dengan percuma sahaja melalui carian artikel di internet dan juga melalui perkongsian di media sosial, video dan penulisan blog.

Lambakan maklumat ini kadang-kala boleh menjadikan sesuatu maklumat itu diragukan kesahihannya dan sumbernya juga tidak diketahui siapa penulisnya. Dalam keadaan ini, keperluan untuk mendapatkan sumber yang benar-benar tulen dan sahih akan tetap menjadi agenda utama. Maka, kewujudan buku yang dipantau terbitannya melalui ISBN, penulis yang berintegriti tinggi dan pusat sumber seperti perpustakaan masih lagi dianggap penting bagi melindungi dan menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat.

Bukan sahaja pentingnya membaca, budaya mencari maklumat yang betul dan sahih juga sama pentingnya dalam membentuk peribadi dan sahsiah masyarakat. Oleh sebab itulah, membaca buku yang betul amat penting dalam perkembangan minda belia dan juga kanak-kanak.

Amat menyedihkan kini, ramai ibu bapa yang mengambil sikap endah tak endah dengan apa yang dicerap oleh anak-anak mereka melalui peranti mudah alih iaitu dengan membiarkan mereka menonton video di laman Youtube selama berjam-jam dan juga menghabiskan masa dengan bermain permainan atas talian di internet. Walaupun ada video yang bermanfaat, namun pembelajaran melalui video dan permainan atas talian ini pastinya bukan sesuatu yang baik untuk perkembangan minda anak-anak.

Namun begitu, tidak boleh dinafikan bahawa perkembangan dunia internet dan digital ini menjadi sesuatu yang disruptive (gangguan) kepada teknologi sedia ada. Banyak syarikat gergasi dunia yang telah gagal dan muflis disebabkan perkembangan yang pesat dalam dunia digital ini. Sebagai contoh, syarikat Kodak yang suatu masa dahulu merupakan pengeluar utama filem untuk kamera, kini telah pun menjadi tinggalan sejarah apabila masyarakat mula beralih kepada kamera digital.

Artis dan penyanyi juga tidak lagi dapat membuat jualan filem dan album melalui cakera padat apabila aplikasi seperti Spotify, Youtube dan Netflix telah mendominasi medium jualan di telefon pintar.

Dalam konteks industri buku, jualan global buku elektronik dan buku audio semakin pesat membangun dan semakin mendapat tempat di kalangan generasi pembaca baru. Di Malaysia, senarionya semakin membimbangkan kerana jualan buku fizikal semakin merosot saban tahun dan cuma genre popular seperti novel cinta dan mistik sahaja yang masih mampu bertahan. Buku ilmiah, novel sastera dan karya ‘berat’ semakin dipandang sepi oleh masyarakat.

Bagi konteks pelajar terutamanya bakal pemimpin kita di universiti, apabila buku tempatnya hanya untuk peperiksaan, maka apabila selesai peperiksaan mereka tidak lagi akan membaca buku sebagai medan untuk melepaskan tekanan. Mereka lebih senang untuk berhibur seperti menonton wayang, menyanyi di pusat karaoke ataupun bersukan di masa santai.

Pesta buku lelong dan acara membawa buku dari luar negara secara besar-besaran seperti Big Bad Wolf juga telah melumpuhkan penerbitan buku terutamanya bagi genre kanak-kanak. Buku kanak-kanak dari luar negara yang berkualiti tinggi ini dijual pada harga yang sangat murah dan ini telah melemahkan semangat penulis dan pelukis untuk berkarya dan juga penerbit untuk menerbitkan buku kanak-kanak yang berkualiti.

Mahu tidak mahu; penerbit buku, penulis dan seluruh penggiat buku di Malaysia terutamanya perlu bersedia menghadapi cabaran dunia digital ini. Industri buku perlu sedar bahawa zaman ini bukanlah zaman menjual buku lagi. Zaman ini adalah zaman menjual konten iaitu maklumat atau cerita yang ada di dalam sesebuah buku.

Konten ini tidak lagi hanya dijual secara bercetak tetapi boleh dipelbagaikan ke dalam format audio dan visual seperti buku audio, video animasi, augmented reality (AR) dan juga virtual reality (VR). Penerbit buku tidak boleh lagi mendabik dada dengan rekod jualan lampau tetapi perlu mengambil langkah pro-aktif dalam menangani gelombang dunia digital ini.

Kandungan tidak lagi hanya dijual secara bercetak tetapi boleh dipelbagaikan ke dalam format audio dan visual seperti buku audio, video animasi, augmented reality (AR) dan juga virtual reality (VR). Sumber Gambar Hiasan: Jacaranda.com.au

Sebelum revolusi industri dan perkilangan automasi, penulisan buku amat penting bagi merekodkan peristiwa bersejarah dan menyampaikan maklumat samada melalui penulisan fakta ataupun secara fiksyen. Penyebaran dan merekodkan maklumat penting untuk dicatatkan ke dalam bentuk buku atau naskhah kerana tanpa catatan, sebuah kisah itu boleh menjadi dongeng atas sebab tokok tambah yang disampaikan secara turun temurun.

Malah Al-Quran juga dibukukan atas cadangan Saidina Umar bagi mendapat simpanan naskhah yang tepat dan memudahkan penyebaran agama Islam dengan fakta yang betul dan benar. Namun pada zaman ini, dengan adanya bantuan teknologi komputer dan digital, maklumat itu tadi tidak lagi tertakluk simpanannya dalam bentuk catatan buku.

Jika diteliti gaya hidup sebuah keluarga moden dalam masyarakat kini, rata-ratanya kita akan mendapati bahawa anak-anak mereka masing-masing akan mempunyai peranti mudah alih walaupun baru berusia dua atau tiga tahun. Amat jarang sekali kita dapat melihat di kedai-kedai makan atau di dalam pengangkutan awam, sebuah keluarga yang anak-anaknya membawa buku dan duduk diam dengan membaca. Senario ini patut dijadikan sebagai benchmark (penanda asas) kepada penggiat industri buku iaitu di mana pada lima ke sepuluh tahun yang akan datang, anak-anak ini akan lebih mesra peranti mudah alih berbanding buku.

Dengan kepesatan dunia digital ini, penggiat industri buku patut melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif dan bermanfaat kepada kelangsungan perniagaan mereka. Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ini, tidak semua perkara yang baru itu sesuatu yang buruk buat kita.

Firman Allah dalam Surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6,

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”

Dua kali Allah SWT menyebutkan bahawa di dalam setiap musibah itu, pasti ada jalan keluar. Penggiat industri buku patut melihat perubahan ke dunia digital ini sesuatu peluang baru yang menarik malah perlu sahaja mengambil kesempatan ini dengan kadar segera.

Secara umumnya, peralihan ke dunia digital ini memberi banyak impak yang positif kepada industri buku. Pada masa ini, kita hanya melihat peranti mudah alih ini hanya terhad kepada telefon pintar dan tablet sahaja.

Tanpa kita sedari, sebenarnya sudah banyak peralatan canggih yang telah direka cipta seperti pemain VR, kacamata digital, skrin pintar nipis bergulung dan pelbagai lagi peralatan yang kita tidak dapat bayangkan di masa hadapan. Semua ini bakal menggantikan teknologi yang lama yang diketahui tidak ‘hijau’ (mesra alam) dan menggunakan sumber yang tidak boleh diperbaharui.

Kebanyakan penerbit buku di Malaysia telah beroperasi bertahun lamanya di dalam industri ini. Ada antara mereka yang mempunyai ratusan koleksi karya-karya penulis yang kebanyakannya pernah mendapat jualan terlaris suatu masa dahulu. Dengan adanya teknologi digital ini, karya-karya ini dapat diekploitasi semula ke dalam format yang baru seperti e-buku, buku audio, video interaktif, animasi dan malah mungkin menjadi drama atau filem. Karya-karya ini juga boleh diterjemahkan kepada bahasa popular dunia seperti Inggeris, Mandarin dan Bahasa Eropah yang lain bagi meningkatkan lagi capaian jualan melalui dunia tanpa sempanan ini.

Bagi penulis pula, kini mereka tidak lagi perlu mengharapkan penerbit untuk menerbitkan manuskrip mereka. Dengan bantuan digital, penulis boleh memiih untuk menerbitkan karya mereka dalam format e-buku mahupun buku audio. Bahkan mereka ini telah mula menulis di laman sosial seperti Facebook dan telah mempunyai ramai pengikut yang menantikan karya terbaru daripada mereka. Kos pemasaran juga dapat dikurangkan dengan adanya laman media sosial yang memudahkan urusan pengiklanan dan capaian kepada golongan sasar yang tertentu.

Dalam perbincangan saya dengan penggiat industri buku digital antarabangsa seperti OverDrive, permintaan terhadap e-buku dan buku audio semakin mendapat sambutan saban tahun di perpustakaan global. Buku audio menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu sekitar 30 peratus setahun memandangkan format audio merupakan satu-satunya cara untuk membaca buku dan mencerap ilmu tanpa menggunakan mata. Dengan buku audio, pendengar dapat menghayati buku dengan santai sambil menutup mata. Pendengar juga boleh melakukan dua perkara dalam satu masa seperti sambil memandu, memasak ataupun bersenam.

Format audio merupakan satu-satunya cara untuk membaca buku dan mencerap ilmu tanpa menggunakan mata. Sumber Gambar: FreeMake.com

Walau apapun natijahnya, industri buku perlu bersedia menghadapi cabaran dunia teknologi digital dan gaya pembacaan generasi muda kini.

Comments

comments