Nadhiya Norizam

Executive Editor at Perbadanan Kota Buku

…juga filem dan rancangan televisyen yang pernah kita tonton?

SESETENGAH orang mempunyai keupayaan untuk mengingati setiap perincian plot cerita walaupun mereka hanya membaca sebuah buku atau pun menonton sesuatu filem pada kali pertama sahaja. Namun, hakikatnya, kebanyakan pembaca atau penonton tidak berkebolehan untuk berbuat sedemikian kerana pengalaman membaca atau menonton mereka ini diibaratkan seperti masuk dari telinga kanan kemudian keluar pula ke telinga kiri.

‘Keluk lupa’ (forgetting curve) adalah tahap kecenderungan seseorang untuk melupakan apa sahaja yang dipelajarinya dan dikatakan berada pada kedudukan paling tinggi dalam tempoh 24 jam selepas menerima sesuatu maklumat. Sekiranya apa sahaja maklumat yang dipelajari atau diterima samada melalui pembacaan mahu pun tontonan  tidak dikaji semula, kebanyakan apa yang dipelajari tersebut akan hilang perlahan-lahan dari hari ke hari dan yang tinggal selepas waktu tersebut hanyalah serpihan dan cebisan maklumat dari keseluruhan jumlah kontens yang telah dibaca atau ditonton!

‘Keluk Lupa’ (the Forgetting Curve‘) berasal dari teori yang diilhamkan
Hermann Ebbinghaus, seorang ahli psikologi berbangsa Jerman
Sumber Gambar: GrowtheEngineering

Dalam era internet masa kini, keperluan minda kita untuk mengingati semula sesuatu maklumat secara spontan menjadi semakin berkurangan. Jared Horvath, seorang penyelidik dari Universiti Melbourne mengatakan bahawa, “Asalkan anda tahu di mana dan bagaimana untuk mendapatkan sesuatu maklumat tersebut, anda tidak perlu bersusah-payah pun untuk mengingatinya!”.

Menurut satu kajian yang telah dilakukan, fungsi internet adalah seperti ruang simpanan memori luaran. Apabila kita tahu di mana kita boleh mendapatkan sesuatu maklumat yang dikehendaki, kadar keperluan dan keupayaan minda kita untuk mengingati semula adalah lebih rendah. Malahan, sebelum kewujudan internet lagi, produk-produk hiburan telah pun berperanan sebagai ruang simpanan memori luar kita.

Kita tidak perlu pun mengingati mana-mana petikan dari sebuah buku kerana kita tahu yang kita sebenarnya berupaya membacanya semula di dalam buku tersebut. Begitu juga setelah kewujudan pita video, penonton berupaya untuk menonton kembali sesuatu cerita pada bila-bila masa sahaja yang mereka mahukan!

Satu pengajaran yang diperolehi oleh Horvath selepas melakukan kajian mengenai ‘binge-watching‘ (tontonan lewah atau menonton sesuatu dalam tempoh berpanjangan) adalah sekiranya kita mahu mengingati semua perkara yang kita baca atau tonton, sebaiknya waktu bacaan atau pun tontonan tersebut dijarakkan tempoh masanya. Memori kita akan menjadi lebih kuat setiap kali ia cuba untuk mengingati semula sesuatu maklumat.

Sesuatu maklumat yang diterima oleh otak kita sebenarnya tidak akan kekal berada di dalamnya melainkan kita berusaha, memberikan tumpuan dan mencipta strategi tertentu untuk mengekalkan sesuatu ingatan tersebut. Ini sering dilakukan ketika kita belajar di sekolah atau di universiti atau pun membaca  dengan tujuan tertentu.

Pembaca cenderung melupakan maklumat yang dibaca sekiranya ia tidak dikaji semula Sumber Gambar: AmrLibraries

Pernahkah kita mengambil nota apabila menonton rancangan di televisyen untuk mengingati jalan cerita tersebut kelak? Kebanyakan masanya, kita mungkin dapat melihat dan mendengar maklumat dalam rancangan televisyen tersebut, namun hakikatnya kita sebenarnya tidak betul-betul menghayati setiap perincian yang terkandung di dalam rancangan tersebut. Tidak dapat dinafikan bahawa bukanlah semua maklumat yang kita perolehi dari tontonan tersebut akan hilang sepenuhnya. Mungkin sesetengah maklumat itu masih kekal di dalam ingatan kita. Ia cuma menanti waktu atau penunjuk yang tepat untuk muncul dan merangsang kembali memori tersebut. Atas sebab inilah, rancangan-rancangan televisyen sering menyiarkan sedutan dari rancangan lepas untuk membantu merangsang kembali ingatan para penonton mereka.

Kesimpulannya, baik buku, rancangan hiburan, filem mahu pun lagu, tidak boleh disamakan dengan sekumpulan fail yang boleh dimuat naik begitu sahaja ke dalam otak kita seperti fungsi dan peranan komputer. Sebaliknya, semua perkara tersebut bercampur-campur dengan banyak lagi maklumat yang diperolehi oleh otak dari banyak perkara atau kejadian yang berlaku dalam kehidupan seharian.

Horvath turut bersetuju dan beliau ada mengatakan, “Alangkah bagusnya sekiranya kita dapat mengingati atau memilih mana-mana memori yang kita mahukan. Namun, hakikatnya, satu memori sebenarnya adalah semua memori yang kita ada”.

Sumber: The Atlantic

Comments

comments