Faiz Al-Shahab

Faiz Al-Shahab ialah Pengarah Urusan di Xentral Methods, syarikat yang menawarkan kandungan digital dan interaktif dalam bentuk ribuan E-buku kepada para pembaca.

BARANGKALI masyarakat sudah pun sedar terhadap kesan yang dibawa oleh dunia digital. Ia telah mengubah cara hidup kita, malah ia juga turut mengubah bagaimana kita melihat dan memahami perkara yang berlaku di sekeliling.


Kini, telah jelas bahawa cara kita menerima hiburan dan juga berita telah berubah secara drastik, dan tidak lama lagi, cara kita menerima pendidikan dan pembelajaran juga akan turut berubah.

Kontemporari, industri penerbitan dan percetakan khususnya majalah dan surat khabar mengalami kemerosotan jualan secara mendadak. Fenomena ini menerangkan bahawa generasi pengguna kini lebih senang mendapatkan berita, hiburan, dan gosip dari sumber media sosial.

Media sosial bukan sahaja menjadi perantaraan berita, hiburan dan gosip, malah ia dipakejkan supaya pengguna tidak perlu mencarinya lagi di internet kerana ia berupaya disampaikan melalui perkongsian rakan-rakan dan komuniti.

Dalam media sosial, pengguna disajikan dengan pelbagai maklumat, iklan dan berita secara rela atau pun paksa. Faktor ketersediaan ruang perkongsian berita, hiburan dan gosip ini menyebabkan khalayak ramai kurang progresif dalam mencari maklumat, apatah lagi untuk membeli berita, hiburan, dan gosip melalui media bercetak.

Kesannya, masa dan tumpuan pihak umum tercabar dengan daya tarikan dan kemeriahan media sosial.

Oleh itu, jelas sekali bahawa sektor industri penerbitan yang paling ditampar hebat dunia digital adalah penerbitan surat khabar dan majalah. Hal ini juga membawa impak besar kepada industri pengiklanan tempatan.

Dunia digital bukan sahaja mengubah cara hidup kita, malah ia juga mengubah bagaimana kita melihat dan memahami perkara di sekeliling.
GAMBAR: CEOTODAYMAGAZINE

Bagaimana untuk kita memahami kesannya kepada makroekonomi? Untuk memahami lebih lanjut, kita perlu mengulang kaji semula model perniagaan secara konvensional.

Secara amnya, surat khabar dan majalah jarang sekali meraihkan keuntungan melalui jualan naskhah. Malah, kadar harga majalah dan akhbar yang dijual adalah minima jika dibandingkan dengan kualiti kertas dan warna cetakan.

Majalah dan surat khabar menjana pendapatan melalui jualan ruang iklan pada cetakan kertas. Suatu ketika dahulu, pengedaran majalah dan surat khabar adalah tinggi, dan bilangan pengguna serta pembacanya juga ramai sekiranya mereka tertarik dengan kandungan yang dipersembahkan.

Apabila tumpuan pengguna beralih kepada dunia digital, dan apabila telefon bimbit juga boleh memaparkan kandungan yang dicari atau dikehendaki, maka surat khabar dan majalah yang diedarkan secara bercetak sudah menjadi tidak relevan,

Mengapakah tsunami digital lebih genting untuk majalah dan surat khabar berbanding buku? Ini ada kaitan dengan jangka hayat kandungan majalah dan surat khabar tersebut sendiri. Majalah dan surat khabar membawa kandungan terkini dan kontemporari melalui media cetak. Disebabkan kemunculan kandungan digital, media cetak tidak dapat lagi bersaing dengan keupayaan dan kepantasan platform digital mengemaskini berita dan informasi, baik untuk segmen yang serius atau pun hiburan.

Kejatuhan peredaran majalah dan surat khabar cetak menyebabkan ruang iklan yang ditawarkan tidak lagi menarik untuk syarikat-syarikat berjenama menaja.

Jika kita cuba memahaminya dari sudut makroekonomi, penjanaan pendapatan melalui iklan cetak menjamin saliran wang yang lebih cenderung kepada perbelanjaan tempatan dan lebih kedap tirisan.

Selalunya, syarikat berjenama luar negara atau pun tempatan akan berbelanja untuk iklan yang kebiasaannya akan diuruskan oleh agensi pembeli media, dan kemudiannya akan diterima dan dilaksanakan oleh penerbit media cetak seperti agensi surat khabar dan juga penerbit majalah.

Dalam sistem rantaian bekalan ini, semua perbelanjaan dan penerimaan wang berlaku di dalam negara.

Namun apabila media digital memainkan peranan pengiklanan yang lebih ketara, terdapat gangguan pada rantaian bekalan kontemporari ini.

Syarikat-syarikat berjenama masih tetap mengiklankan produk mereka. Walaubagaimana pun, mereka lebih cenderung memilih platform media digital yang lebih relevan untuk pengguna umum masa kini.

Agensi pembeli media pula akan memilih platform-platform media sosial dan juga enjin pencarian internet seperti Facebook dan Google.

Masalah yang wujud dari sudut ekonomi pula adalah disebabkan syarikat-syarikat pengiklanan ini adalah syarikat luar negara. Oleh sebab itu, wang yang dijana secara jualan tempatan, menghadapi ketirisan apabila menyeberang ke sempadan luar negara.

Secara langsung, hasil pendapatan dari pengiklanan yang biasanya beredar di dalam negara sahaja, kini disalurkan ke luar negara disebabkan ciri media digital itu sendiri yang tidak mengenal sempadan.

Dalam keghairahan industri kita menyahut seruan dunia digital, kita juga harus membuat pertimbangan dari aspek makroekonomi. Lambat laun, industri tempatan akan kehausan mata wang kerana dari tahun ke tahun, wang yang dijanakan melalui pembelian khalayak ramai untuk produk-produk berjenama akan tersalur keluar.

Menurut MalayMail Online, tahun 2016 sahaja melihat lebih dari RM 2.6 billion hasil pendapatan pengiklanan meninggalkan Malaysia. ¬

Terkuburnya surat khabar dan majalah cetak bukanlah lagi impak paling negatif kesan dari pembangunan ekonomi digital, namun ketirisan wang tempatan yang menyeberang sempadan dalam bentuk iklan untuk pelbagai platform media sosial antarabangsa adalah jauh lebih negatif untuk jangka masa sederhana disebabkan pengaliran wang ke luar negara.

Comments

comments