Nadhiya Norizam

Executive Editor at Perbadanan Kota Buku

ADAKAH anda tergolong dalam kumpulan yang gemar membaca setiap hari? Jangan salah faham dengan soalan tersebut. Sekiranya ruang pembacaan anda hanya berkisar di sekitar platform media sosial seperti di Twitter dan Facebook, anda belum boleh dikategorikan bersama golongan yang betul-betul membaca!

Membaca sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat besar, dan sekiranya anda tidak mengamalkan tabiat murni ini, ia merupakan satu kerugian yang amat besar kepada diri anda. Ingin tahu apakah 10 manfaat tersebut?

Stimulasi Mental

SUMBER GAMBAR: SCIENCEDAILY

Kajian telah menunjukkan bahawa membaca boleh memperlahankan dan berkemungkinan juga boleh mengelakkan penyakit-penyakit seperti Alzheimer dan Dementia. Ini adalah kerana, membaca boleh mengekalkan minda anda untuk sentiasa aktif dan sibuk, dan ini boleh mengelakkannya daripada kehilangan tenaga.  Selain itu, bermain permainan seperti catur juga dapat membantu dalam stimulasi mental. Otak juga memerlukan senaman yang sama seperti tubuh badan kita untuk kekal kuat dan sihat.

Mengurangkan Tekanan

SUMBER GAMBAR: BOULDERVITALITY

Rasa tertekan selepas seharian bekerja? Atau pun tertekan dengan masalah-masalah lain dalam kehidupan seperti hubungan peribadi atau kewangan? Semua masalah ini bakal lesap apabila anda terbuai dalam latar penceritaan yang hebat dalam buku yang anda baca. Novel yang baik berupaya ‘memindahkan’ anda ke alam realiti lain sementara membaca artikel yang bagus pula dapat mengalihkan tumpuan anda sebentar dari masalah yang dihadapi dan membiarkan anda untuk berehat dan bertenang seketika.

Menambah Pengetahuan

SUMBER GAMBAR: CREATIVEIMAGES

Semua yang anda baca akan tersimpan sebagai ilmu pengetahuan berharga di dalam minda dan siapa tahu mungkin pengetahuan tersebut akan berguna kepada anda pada masa-masa yang tidak dijangkakan! Apa yang hebatnya mengenai pengetahuan  adalah, ia adalah sesuatu yang kekal abadi, dimiliki oleh diri anda dan tiada siapa yang boleh mengambilnya dari anda berbanding dengan harta lain seperti wang dan kereta.

Meningkatkan Perbendaharaan Kata

SUMBER GAMBAR: YOURSTORY

Lebih banyak yang anda baca, lebih banyak pendedahan yang anda perolehi dalam perbendaharaan kata atau kosa kata. Bukankah hebat jika anda boleh bercakap tentang sesuatu perkara dengan penuh yakin di hadapan orang ramai? Perbendaharaan kata yang bagus juga dapat membantu dalam kerjaya anda kerana orang yang banyak membaca, bijak bercakap dan berpengetahuan dalam pelbagai jenis topik lebih cenderung untuk dinaikkan pangkat dengan lebih pantas berbanding dengan orang yang mempunyai perbendaharaan kata yang sempit dan kurang pengetahuan mengenai kesusasteraan, penemuan saintifik dan hal ehwal semasa.

Meningkatkan Memori

SUMBER GAMBAR: WEAR AND CHEER

Apabila anda membaca sebuah buku, anda harus mengingati kepelbagaian watak dan plot penceritaan yang terkandung dalam cerita tersebut. Sememangnya sejumlah memori yang banyak untuk diingati, namun percayalah otak adalah sesuatu yang hebat kurniaan Ilahi yangdiberi keupayaan untuk mengingati banyak perkara. Tahukah anda, mengikut kajian, setiap memori baru yang anda cipta di dalam otak akan menghasilkan sinaps baru dan menguatkan sinaps lama yang membantu ingatan jangka pendek selain memberi kestabilan kepada emosi anda. Menarik bukan?

Daya Analisis dan Pemikiran yang Lebih Kuat

SUMBER GAMBAR: LEARNPICK

Pernahkah anda membaca novel misteri dan berupaya menyelesaikan misteri tersebut walaupun anda belum habis membacanya? Jika jawapan anda adalah ya, anda sebenarnya telah memiliki keupayaan untuk berfikir secara kritikal dan analitik! Kebolehan yang sama untuk menganalisis perincian juga amat berguna dalam memberi kritikan terhadap plot cerita, menentukan kualiti bahan bacaan tersebut, menganalisis sekiranya watak-watak dalam cerita yang dibaca dikembangkan dengan elok, cara jalan cerita tersebut ditulis dan lain-lain.

Meningkatkan Fokus dan Daya Tumpuan

SUMBER GAMBAR: ENTREPRENEUR

Secara puratanya, setiap hari seseorang akan membahagikan 5 minit dari masa mereka mengerjakan beberapa tugasan harian seperti menyemak emel, berbual dengan rakan melalui aplikasi Skype atau Whatsapp, melihat telefon pintar dan berinteraksi dengan rakan sekerja. Sebenarnya tabiat seperti ini dapat mengurangkan produktiviti selain meningkatkan tekanan dalam diri. Apabila anda membaca buku, kesemua perhatian anda akan tertumpu ke atas jalan cerita tersebut dan anda akan melupakan segala perkara lain. Apa kata anda cuba membaca selama 15-20 minit sebelum pergi bekerja atau belajar dan lihat hasilnya! Anda akan dapati yang anda menjadi lebih fokus selepas anda tiba ke pejabat atau tempat belajar!

Kemahiran Menulis yang Lebih Baik

SUMBER GAMBAR: QUORA

Pendedahan kepada hasil penulisan yang bagus ada kesannya ke atas gaya penulisan seseorang. Ini adalah kerana melalui pemerhatian dan pembacaan terhadap karya penulis lain, secara tidak sedar ia juga turut mempengaruhi hasil penulisan anda sendiri!

Memberi Ketenangan

SUMBER GAMBAR: SCOTTBARRYKAUFFMAN

Selain membiarkan anda berehat melalui pembacaan buku yang bermutu, subjek bahan bacaan itu sendiri juga boleh mewujudkan ketenangan dalam diri anda. Contohnya, membaca tentang subjek kerohanian dapat merendahkan tekanan darah dan memberi ketenangan kepada pembacanya sementara bahan bacaan yang mengandungi unsur motivasi pula dapat membantu mengelakkan pembaca dari mengalami kecelaruan emosi dan penyakit mental yang ringan.

Hiburan Percuma

SUMBER GAMBAR: READ BRIGHTLY

Semua orang menyukai perkara yang percuma, bukan? Apa kata lawati mana-mana perpustakaan paling berhampiran dengan anda dan nikmati ribuan bahan bacaan percuma di sana secara percuma! Memandangkan perpustakaan sering mengganti dan memperbaharui bahan bacaan untuk para pengunjung, gunakanlah kesempatan ini untuk menikmati sumber hiburan bermanfaat ini yang tidak akan pernah habis di sana! Namun jika anda tinggal di kawasan yang berada jauh dari perpustakaan, ini sememangnya tidak boleh dijadikan alasan  dalam zaman moden yang serba canggih kini. Cari sahaja jenis bahan bacaan yang anda sukai di atas talian seperti e-buku dan muat turunnya ke dalam peranti pintar anda untuk membacanya di mana sahaja anda berada.

Kesimpulannya, setiap orang mempunyai genre kegemaran masing-masing tidak kiralah samada anda menyukai kesusasteraan klasik, puisi, majalah fesyen, biografi, fiksyen, novel romantik atau pun buku motivasi. Yang penting, pasti ada sesuatu di luar sana yang menarik minat dan perhatian anda untuk menerokai imaginasi anda dengan lebih jauh melalui pembacaan. Jadi, ayuh jadikan amalan membaca ini satu rutin harian kita semua!

Sumber Artikel: Lifehack

Comments

comments