Hasri Hasan

Pengurus Kanan Perbadanan Kota Buku. Catatan beliau berkenaan industri buku dan dunia pembacaan boleh dibaca di myhasri.wordpress.com

Ketika menyelusuri lorong-lorong di Paju Book City, Korea Selatan beberapa tahun lalu (waktu itu saya melawat Incheon kerana meraikan mereka sebagai Ibu Kota Buku Dunia tahun 2015), saya berasa takjub sebagai seorang bibliofil. Inilah pengalaman pertama saya berada di sebuah tempat di mana sebuah kompleks khas perbukuan di sebuah daerah terbina atas dedikasi pembinanya sendiri untuk menjadikannya sebuah bandar buku. Setiap sudut di bandar itu menempatkan aktiviti-aktiviti berasaskan buku sama ada kedai-kedai buku, perpustakaan, kilang cetak, sekolah penerbitan, kafe buku dan juga hotel buku.

Paju Book City yang berkeluasan 215 ekar menempatkan kira-kira 300 buah penerbit dengan jumlah staf yang bekerja di bandar itu yang kini sudah pun mencapai 10,000 orang. Bandar ini adalah satu-satunya daerah di dunia ini yang mana populasi bukunya melebihi jumlah manusia dengan nisbah sebanyak 20:1. Ia lahir daripada inspirasi kedua-dua pembangunnya iaitu Min Hyun-Shik dan Seung H-Sang berdasarkan idea perkampungan buku tertua di dunia iaitu ‘Hay-On-Wye’ di Wales. Setiap tahun acara festival buku terbesar di sini iaitu ‘Booksori’ menarik minat seramai setengah juta pengunjung bagi festival tersebut yang diadakan selama 9 hari.

Paju Book City yang berkeluasan 215 ekar menempatkan kira-kira 300 buah penerbit dengan jumlah staf yang bekerja di bandar itu yang kini sudah pun mencapai 10,000 orang
SUMBER GAMBAR: EnglishVisitKorea

Kenapa Mr Min dan Mr Sheung mahu membina Paju Book City ini? Walaupun asalnya kota Paju ialah daerah simbolisma keamanan Korea Selatan dan Korea Utara (Paju terletak di sempadan keduanya), mereka kemudian merasakan bahawa negara mereka memerlukan satu roh keilmuan di celah-celah pemodenan negara mereka. Ya, rakyat yang membaca dan yang mencintai buku memberi roh baru kepada negara tersebut. Nama Paju Book City kini harum semerbak ke mana-mana dan masyarakat dunia amat menghargai kewujudan kota buku ini.

Lorong-lorong buku atau lokasi aktiviti perbukuan yang dekat dengan rakyat amat unik dan signifikan kepada aktiviti keilmuan bandar-bandar itu sendiri. Salah satu timbal balas yang segera ialah lokasi itu akan menjadi pusat tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Sebagaimana para pelancong bercerita dan berkongsi pengalaman di Paju Book City, sebegitu jugalah para pelancong kini bercerita tentang Saigon Book Street di Ho Chi Minh dan Hanoi Book Street di Hanoi, Vietnam ataupun pengalaman mereka membelek-belek buku-buku antik di kota Redu di Belgium atau di Jinbōchō di Chiyoda, Tokyo, syurga buku-buku terpakai penduduk di negara Jepun.

Pelancongan buku (Bibliotourism) sebenarnya mempunyai potensi yang besar. Tidak hairanlah kebanyakan kota-kota besar di dunia mempunyai lokasi bagi para ‘bibliotourist’ ini berkunjung untuk memburu buku atau cuma sekadar menikmati keunikan kota tersebut dengan buku-buku dan kesusasteraannya. Selain bandar Paju, sebuah tempat lain yang jauh lebih terkenal sebagai perkampungan buku terletak di Hay-on-Wye, Wales dengan pengasasnya yang eksentrik iaitu Richard Booth yang menabalkan dirinya sebagai ‘King of Hay’. Atas kegilaannya, Hay-on-Wye kini sudah menjadi sebuah entiti usaha niaga komersil yang mengaut keuntungan berbilion dolar setiap tahun. Mereka memiliki jenama yang kuat dan menjana ekonomi sendiri melalui Hay Market, Hay Festival dan kedai-kedai buku dan cenderamata yang terdapat di sana.

Oleh yang demikian, selain faktor pelancongan, Kuala Lumpur juga perlu mempunyai lorong bukunya yang tersendiri disebabkan banyak lagi faktor lain.  Buku adalah sejenis bahan bacaan yang tidak mengenal status pembacanya sama ada pembaca itu orang kaya ternama mahu pun orang gelandangan di tepi jalan. Manusia memang gemar membaca sekiranya dibekalkan dengan buku-buku yang menarik minat mereka. Buku-buku juga sebenarnya tidak semestinya dijual secara eksklusif di kedai-kedai buku berhawa dingin sahaja. Ia seharusnya dijual di mana-mana sahaja. Para pembaca yang sukar mendapat buku yang dikehendaki menyebabkan mereka beralih kepada bahan bacaan dalam dunia digital yang terdapat dalam telefon pintar masing-masing sebagai pengganti bahan bacaan di tangan.

Rakyat Malaysia gemarkan buku. Lihat sahajalah acara perbukuan yang besar seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Bookfest Popular di KLCC dan Pesta Lelong Big Bad Wolf yang sering menarik berjuta manusia saban tahun. Di Cyberjaya juga telah ada kedai buku yang dibuka 24 jam. Kedai seumpama ini tidak akan dibuka jika tidak ada permintaannya. Rakyat marhaen akan menyambut baik jika lokasi tumpuan ramai seperti di Pasar Seni, Chow Kit, Dataran Merdeka atau di Puduraya diwujudkan lorong-lorong tetap yang menjual buku-buku baru, terpakai mahupun buku-buku antik. Sekiranya poket-poket bazar ini diwujudkan, nescaya penduduk dan pengunjung ke Kuala Lumpur akan menjadi lebih mesra buku dan pembudayaan yang baru akan terbit. Selain itu, lebih ramai peminat buku akan datang dari luar Kuala Lumpur dan juga dari luar negara.

Buku-buku, lebih-lebih lagi buku tempatan perlu sampai ke tangan warga kota tidak kiralah siapa dia. Di Kuala Lumpur, profil warga kota bukan tertakluk kepada penduduk berstatus ekonomi tinggi semata-mata. Ramai warga kota yang masih berstatus ekonomi sederhana dan miskin bandar. Lokasi-lokasi penduduk di kawasan perumahan rakyat di ibu kota perlu juga ada akses kepada buku-buku sama ada buku akademik atau buku-buku fiksyen dan sebagainya. Dalam situasi beginilah lorong-lorong buku penting diadakan. Anak-anak muda sering beranggapan bahawa pembelian di tempat sebegini adalah lebih mesra poket dan ia lebih dekat dengan jiwa mereka berbanding kedai-kedai berhawa dingin dan mewah di pusat membeli-belah berprestij.

River of Life yang sedang dibangunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mewujudkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat
SUMBER: TheMalaysianInsight

Sesebuah kota itu dikatakan mempunyai rohnya sendiri apabila aktiviti di sekitar pusat bandar dipenuhi dengan aktiviti yang mengayakan minda dan mangasah pemikiran warga kota. Selain acara hiburan hujung minggu di sana-sini, kota kita juga berhak diisi dengan acara jual buku dan aktiviti yang berkaitan dengannya. Kota Buku pernah berkerjasama dengan beberapa pihak mengadakan acara perbukuan di ibu kota seperti acara ‘Kota Kata’ di pesiar kaki di Maju Junction, Festival Sastera Kanak-kanak di Jalan Tunku Abdul Rahman dan di Dataran Underground. Pada acara-acara ini saya dapat lihat pengunjungnya berbeza dan ia amat menggembirakan apabila lebih ramai anak-anak muda kota berjinak-jinak dengan acara perbukuan.

Salah satu kumpulan yang sering menyantuni lorong-lorong buku ialah golongan pelajar yang mempunyai bajet terhad. Banyak lokasi di seluruh dunia mempunyai tempat menjual buku-buku murah. Ia unik dalam dunianya yang tersendiri seperti Pasar Buku Senen di Jakarta atau College Street di Kolkata, India. Kawasan seperti ini padat dengan pelajar universiti yang mencari buku-buku murah terpakai atau buku yang diberi diskaun harga yang tinggi kerana sewa kawasan itu juga tidak mahal. Cubalah kita bayangkan pelajar-pelajar kolej di Malaysia juga perlu mencari buku-buku rujukan yang sesuai, di manakah lokasi tumpuan mereka? Jika tidak ada kedai-kedai buku jalanan seperti ini, maka kedai fotostatlah tempat tumpuan mereka.

Suasana di Pasar Buku Senen di Jakarta
SUMBER GAMBAR: Novsabatini

Selain daripada akses kepada golongan marhaen, lokasi lorong-lorong buku juga boleh dijadikan lokasi gaya hidup. Banyak lokasi lorong buku yang bercitarasa tinggi dan ia menjadi satu kebanggaan kepada penduduk sekitarnya. Antara contoh lorong buku yang bercitarasa tinggi adalah seperti di Montereggio, Itali. Penduduk Tuscany amat berbangga dengan sejarah kota ini kerana kilang percetakan yang pertama di Itali bermula di sini oleh Jacopo da Fivizzano pada tahun 1471 dan di sinilah lahirnya kedai buku yang pertamanya. Satu lagi lokasi eksotik bibliofil ialah di Lilleputthammer di Norway yang mendedikasikan kota ini sebagai kota buku kanak-kanak. Bahagian utama lorong tersebut mempunyai rumah-rumah antik yang dibina pada sekitar tahun 1930-an. Terdapat 40 buah kedai, dua bangunan untuk hotel, tiga kafe, dua kedai roti, balai polis dan pawagam. Di dalam kota buku kanak-kanak ini terdapat enam buah rumah khas untuk buku kanak-kanak semata-mata dengan jumlah buku sebanyak 15,000 naskhah yang diperolehi dari seluruh dunia!

Lilleputthammer di Norway sebagai kota buku kanak-kanak
SUMBER GAMBAR: HafJellResort

Sehubungan itu, wajarlah Kuala Lumpur sudah mulai memikirkan satu keperluan untuk memiliki satu lokasi perbukuan yang unik sama ada sebuah lorong buku, kota kecil khusus untuk dunia buku atau pun kawasan khas buat pencinta buku di sekitar kota raya ini. Sekiranya terdapat kemudahan sedemikian, maka wujudlah roh sebuah kota raya yang berjiwa keilmuan dan intelektual setanding dengan kota raya buku dunia yang lain. Semoga ibu kota buku dunia Kuala Lumpur berjaya merealisasikannya sebelum bermulanya tahun 2020!

Comments

comments