Muhamad Ramzi Mohamed Khir

Eksekutif Inisiatif Digital & Portal Kota Buku

Dua tahun dari sekarang, Kuala Lumpur akan menjadi Ibu Kota Buku Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Status itu bermula pada 23 April 2020 iaitu bersamaan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.


Menurut kenyataan dalam laman sesawang UNESCO, Kuala Lumpur iaitu ibu negara Malaysia dipilih berikutan fokus perbukuannya yang kukuh dan terangkum di dalam sistem pendidikan, pembangunan masyarakat yang berasaskan ilmu pengetahuan dan bahan pembacaan yang boleh diakses oleh semua peringkat penduduk di bandar raya berkenaan.

Apabila bercakap tentang inklusif dan akses kepada kandungan, satu persoalan muncul, bersediakah Kuala Lumpur mencapai kebolehcapaian kontens digital dan inklusif dengan hanya kemudahan dan capaian internet yang sedia ada kini? Adakah warga Kuala Lumpur sudah memiliki peranti pintar dengan akses capaian internet?

Berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh firma Pew Research Centre, Malaysia adalah negara ke-10 pyang memiliki gajet pintar terbanyak di dunia (65 peratus dari jumlah populasi).

Selain itu, Malaysia menduduki tempat ke-29 bagi penggunaan internet di dunia seperti yang dilaporkan oleh firma Newzoo Global Mobile Market.

Hasil kaji selidik Newzoo mendapati, terdapat kira-kira 24,572,446 orang pengguna Internet di Malaysia iaitu bersamaan dengan 78.7 peratus dari keseluruhan rakyat Malaysia.

Ini membuktikan bahawa kemudahan dan akses sudah sedia ada. Kuala Lumpur dijangka tidak mempunyai masalah berkenaan capaian internet yang perlu ditangani. Satu masalah lain ialah pembudayaan membaca buku secara digital. Sememangnya telah ramai warga kota menggunakan peranti digital tetapi bahan yang dibaca diperolehi daripada pelbagai platform media sosial dan laman-laman web rawak.

Bagi menggalakkan rakyat Malaysia terutamanya yang menetap di Kuala Lumpur untuk membaca secara digital dengan menggunakan peranti masing-masing, beberapa agensi kerajaan dan syarikat swasta telah membangunkan beberapa platform dan perkhidmatan yang membolehkan pengguna meminjam atau membeli e-buku yang dikehendaki.

Perpustakaan Digital milik Perpustakaan Negara Malaysia (PNM eLIB)

Perpustakaan Negara Malaysia  menyediakan perkhidmatan pinjaman buku digital kepada ahi-ahlinya. Ia memudahkan para ahli untuk mengakses bahan bacaan lebih-lebih lagi bahan bacaan digital tanpa perlu menghadirkan diri ke perpustakaan secara fizikal. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) memiliki portal pustaka digital yang membolehkan pengguna mendapatkan e-buku yang diminati secara dalam talian yang boleh didapati di laman sesawang pnm.elib.com.my.


PNM memiliki portal pustaka digital yang membolehkan pengguna mendapatkan e-buku yang diminati secara dalam talian yang boleh didapati di laman sesawang pnm.elib.com.my.

Melalui laman ini, pengguna boleh meminjam buku yang diminati. Setelah buku itu berjaya dipinjam, pengguna boleh mula membacanya tanpa perlu bergantung kepada capaian internet. Buku tersebut akan dimuat turun ke peranti masing-masing. Setelah tamat tempoh pinjaman, e-buku tadi secara automatik akan dipulangkan semula ke sistem utama selepas tempoh masa yang ditetapkan bagi memberi peluang untuk pengguna lain meminjam judul e-buku yang sama pula.

Portal jualan e-Buku (bookcapital.my)

Ada pengguna lebih suka membeli terus e-buku yang baru dibacanya. Dia mahu menyimpannya seperti mana buku-buku yang dibeli di kedai. Bagi pengguna seumpama ini, mereka turut berupaya memiliki e-buku tanpa perlu meminjam di pustaka digital milik PNM.  Sebagai alternatif, pengguna boleh membeli e-buku melalui portal kedai e-buku iaitu bookcapital.my yang dibangunkan oleh Perbadanan Kota Buku.  Sehingga kini, terdapat lebih 150 ribu judul e-buku yang dijual di portal ini yang merangkumi pelbagai kategori e-buku dari dalam dan juga luar negara.


BookCapital.my yang dibangunkan oleh Perbadanan Kota Buku

Lazada E-books

Lazada Malaysia juga menjual e-Buku selain menjual buku bercetak dan barang keperluan lain. Di bawah label Lazada E-books, terdapat katalog bagi lebih 4,000 judul buku untuk dipilih oleh pengguna. Ini adalah salah satu usaha Lazada Malaysia untuk menarik lebih ramai pembeli melawat portal mereka.

Lazada Malaysia juga menjual e-Buku selain menjual buku bercetak
dan barang keperluan lain

Perkhidmatan Bikon (Beacon) E-buku

Bikon (beacon) adalah peranti ringkas yang beroperasi menggunakan teknologi gelombang radio. Perkhidmatan ini sesuai bagi peranti berkuasa rendah yang digunakan dalam rangkaian tanpa wayar dalam lingkungan kecil. Teknologi ini membolehkan pengguna yang berada dalam lingkungan kira-kira 30 meter dari bikon untuk menerima beberapa judul e-buku secara percuma untuk dibaca dalam jangkamasa yang telah ditetapkan oleh sistem.


Bikon (beacon) adalah peranti berkuasa rendah yang digunakan dalam rangkaian tanpa wayar dalam lingkungan kecil
Sumber Gambar: Kontakt

Melalui bikon ini, pengguna tidak perlu bersusah-payah mendaftar masuk ke portal e-buku untuk mendapatkan e-buku yang hendak dibaca. Teknologi ini adalah salah satu inisiatif yang disediakan oleh Perbadanan Kota Buku dan boleh diakses di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA 2), Lapangan Terbang di Pulau Pinang, Senai dan Kota Kinabalu. Teknologi bikon ini boleh juga diakses di dalam beberapa unit Light Rapid Transit (LRT) milik Prasarana Malaysia.

Selain teknologi bikon, bahan bacaan digital boleh juga diperoleh melalui portal lain seperti melalui Google Playbooks, portal E-Sentral, portal Kakibuku, peranti Kindle Malaysia dan banyak lagi laman seumpamanya.

Menuju masa depan, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Malaysia juga sedang giat mengkaji dan membangunkan buku teks digital interaktif untuk digunakan oleh pelajar sekolah. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mengharapkan inisiatif ini dapat menggalakkan lagi budaya membaca di kalangan semua peringkat generasi tidak kira melalui perantaraan digital mahu pun bercetak.

Harapan setiap pihak adalah agar warga kota  kita telah sedia dengan budaya membaca apatah lagi menjelang sambutan Kuala Lumpur, Malaysia sebagai ibu kota buku dunia pada tahun 2020 kelak.

Comments

comments