Biblioholisme bermaksud kecanduan atau ketagihan terhadap buku yang menggambarkan tabiat luar biasa yang berkecenderungan untuk membaca, membeli, menyimpan, mencintai dan mengagumi buku. Biblioholisme ini bukan sesuatu perkataan yang asing kepada masyarakat kerana ia adalah satu keadaan dimana ia diisi dengan masa yang dipenuhi dengan sesuatu yang positif. Sejak zaman ke zaman, buku merupakan sumber pendidikan sepanjang hayat untuk memperkayakan pemikiran, meningkatkan budaya dan moral, malah lebih daripada itu lagi.


Biblioholisme ini sebenarnya budaya yang mencintai buku dan menyanjung ilmu dalam kehidupan mereka. Dalam diri seseorang bibliofil (seseorang yang menerap budaya bibliohisme) mereka mempunyai tabiat yang sangat luar biasa dalam membaca, membeli dan mencintai buku. Mereka mempunyai sifat yang sangat rakus membaca, tamak dalam mengumpul buku serta gila dalam membeli buku dan mengaguminya. Sepertimana sifat ini dapat dilihat oleh beberapa tokoh iaitu Boulard, seorang pakar perudangan Perancis pada abad ke-18, beliau begitu taksub dalam membeli buku sehingga rumahnya tidak cukup ruang dan terpaksa membeli enam buah rumah lagi hanya untuk menyimpan buku-buku tersebut! Watak seterusnya adalah Jaafar Abd Rahim yang merupakan seorang pemikir kreatif dalam segala hal. Beliau sering kali menelefon Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk bertanyakan tentang buku terbaru yang diperolehi oleh unit perolehan PNM. Ini lebih menjelaskan lagi tentang tabiat seseorang bibliofil tegar; Tn. Jaafar mahu memiliki buku tersebut, bahkan akan merasa gelisah jikalau tidak mendapatkannya, dan beliau akan berusaha untuk membuat salinan, walaupun salinan tersebut tidak disukai sepertimana jika memiliki buku yang asli. Koleksi buku di rumah Tn. Jaafar mencecah hampir 50,000 naskah dan mempunyai pelbagai jenis bidang dan topik yang dikumpulnya. Disebabkan minatnya itu, beliau sering dipanggil untuk membicarakan tentang pemikiran kreatif, khususnya tentang pemikiran lateral Edward de Bono. Jelaslah bahawa mereka yang mempunyai sifat biblioholisme ini sangat meminati buku dan ingin menerokai semua jenis buku yang ada.

Antara buku-buku yang menceritakan tentang biblioholisme adalah seperti “Patience and Fortitude” (2003) yang ditulis oleh Nicholas A. Barbanes, “A Gentle Madness: Bibliophiles, Bibliomanes and the Eternal Passion for Books” (1999) dan sebagainya.

Kesan daripada budaya biblioholisme, maka lahirlah masyarakat pencinta buku dan pembaca yang luar biasa. Seiringan dengan tabiat pembacaan yang mekar, maka secara semulajadinya lahirlah budaya suka menulis dan berkongsi ilmu. Oleh itu, mereka yang mengamalkan budaya biblioholisme dalam kehidupan mereka dapat dilihat dari segi percakapannya, pemikirannya, penulisannya, pembawaan dirinya dan penerapan ilmu dalam kehidupannya. Orang-orang bibliofil ini sebenarnya orang yang berilmu, sepertimana yang diperkatakan oleh James Bacon (1561-1626), seorang ahli falsafah Inggeris, bahawa “Membaca menjadikan seseorang itu berisi”. Berisi disini bermaksud berisi dengan ilmu pengetahuan, cara berfikir dan pandangan hidup yang lebih luas atau rasional untuk membezakan antara yang benar atau yang salah. Golongan inilah yang disifatkan orang yang mengamalkan budaya membaca sebagai sumber pendidikan sepanjang hayat. Golongan pembaca inilah yang patut dijadikan ukuran untuk membuat kesimpulan tentang budaya membaca rakyat Malaysia peringkat nasional (Hassan Ahmad, 2006).

Namun, untuk menjadikan membaca ini sebagai suatu hobi dan tabiat belum lagi menular dan dijadikan budaya dalam kalangan masyarakat negara ini. Malah, dengan perkembangan internet dan media sosial, pembacaan semakin beralih daripada buku, akhbar dan majalah ke arah media baharu dan berbentuk sosial. Dalam era yang sebegini, banyak cabaran dalam bentuk yang pelbagai memerlukan penyelesaian yang bijak dan menyeluruh dalam menanganinya, agar kita dapat membuat pilihan yang tepat untuk diri masing-masing. Ya, bukan sahaja tanggungjawab diri sendiri untuk berubah menjadi lebih baik, masyarakat dan pihak atasan juga perlu melibatkan diri dalam anjakan paradigma ini. Bagi mengembangkan budaya biblioholisme ini, penulis ingin menyarankan beberapa perkara untuk merealisasikannya.

Yang pertama adalah dengan meluntur buluh dari rebungnya, yakni memupuk budaya biblioholisme kepada anak-anak kecil. Cara ini akan lebih berkesan jika akses kepada buku dan bahan-bahan bacaan yang lain lebih mudah diperolehi, terutamanya oleh golongan ibubapa untuk anak-anak mereka. Gerakan popular ‘My Little Free Library’ yang dipopularkan oleh masyarakat Barat tidak lama dahulu merupakan salah satu inisiatif yang baik. Perpustakaan dan kedai-kedai buku juga harus mendekati masyarakat dengan lebih rapat, agar masyarakat dapat mengenal apa itu buku yang sebenarnya supaya mereka dapat memperolehi manafaatnya dalam jangkamasa panjang.

Bercakap mengenai perpustakaan, saranan kedua adalah supaya perpustakaan mempertingkatkan perkhidmatan mereka. Disebabkan maklumat boleh didapati dengan lebih mudah di internet, para pustakawan perlu bersiap siaga dengan pengetahuan dan kemahiran baharu seperti pengurusan data raya, penggunaan media sosial, kurasi media baharu dan sebagainya agar mereka berupaya untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk komuniti mereka.

Pihak media pula tidak boleh diketepikan untuk bantu memupuk budaya biblioholisme ini. Imej yang positif serta menarik mengenai budaya ini tidak mustahil untuk dibentuk supaya masyarakat tidak memandang enteng tentang kepentingan membaca dalam proses pembelajaran sepanjang hayat. Reviu buku di media massa dan juga platform-platform media sosial haruslah meluas agar pendedahan mengenai buku mendapat tempat di mata dan fikiran rakyat.

Selain daripada itu, penulis, penerbit dan pengkarya perlulah kreatif dan berfikiran luar daripada kotak supaya masih boleh kekal relevan dalam era digital ini. Buku-buku alternatif boleh dihasilkan dalam pelbagai bentuk menggunakan pelbagai format seperti buku pop-up dan zine, ataupun buku dalam bentuk digital seperti e-book, buku audio, podcast dan format yang lebih kreatif seperti ‘subscription boxes.’ Terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilakukan untuk memupuk budaya biblioholisme dikalangan masyarakat negara ini. Oleh itu, budaya membaca harus ada pada setiap individu agar dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan beramal. Jelas di sini bahawa menjadi seorang bibliofil adalah lebih baik daripada menjadi seorang yang suka membuang masa dengan perkara yang tak berfaedah.

Comments

comments