Rusnajaa Mohd Yusoff

Eksekutif Pembangunan Kapasiti dan Penyelidikan, Perbadanan Kota Buku.

Pada September 2013, dua orang penyelidik dari Oxford, En. Carl Fray dan En. Micheal Osborn, telah menerbitkan kertas kajian yang bertajuk “The Future of Employment: How Susceptible are Jobs to Computerisation?1” (Masa Depan Pekerjaan: Terkesankah dengan Pengkomputeran?)


Terdapat beberapa istilah yang mungkin anda pernah dengar sebelum ini:

  • AI: Parapan Artificial Intelligence, yang bermaksud kecerdasan buatan ataupun kepintaran tiruan.
  • Automation: Automasi, yang bermaksud penggunaan mesin untuk melaksanakan sesuatu kerja dengan penyeliaan minimum oleh manusia.
  • Computerisation: Pengkomputeran, iaitu melengkapkan sesuatu dengan penggunaan dan automasi yang berkaitan dengan komputer dan perisian.

*Istilah-istilah ini diterjemahkan dengan bantuan Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP.

Dalam kertas kajian tersebut, mereka mendapati bahawa 10 jenis pekerjaan yang berisiko tinggi untuk digantikan oleh automasi, termasuk pekerjaan juruteknik matematik, penyedia cukai, dan penaja jamin insurans2. Ini bukanlah pekerjaan-pekerjaan yang memerlukan buruh kasar; dahulu kala, mesin dicipta untuk menggantikan tenaga fizikal yang diperlukan untuk kerja-kerja berat dan bersifat berulang, sekarang ia mungkin akan menggantikan tenaga mental pula.

Bagi negara-negara yang sedang mengalami globalisasi rancak, sanggup berbelanja besar untuk kajian-kajian tentang kepintaran tiruan ini (AI) saban tahun. Bagi kerajaan di China, AI kini menjadi salah satu inisiatif strategik untuk membangunkan negara tersebut menjadi peneraju AI dunia pada tahun 2030, lebih kehadapan daripada Amerika Syarikat.

Sumber: https://www.maxpixel.net/
Artificial-Intelligence-Technology-Futuristic-3262753

Pada tahun 2017, 48% daripada jumlah pendanaan ekuiti secara keseluruhan untuk syarikat permulaan (start up) yang berasaskan AI adalah dari China. Berbanding dengan tahun sebelumnya, mereka telah meningkatan pendanaan sebanyak 11.3% lagi. Ini menunjukkan komitmen China terhadap pembangunan AI.

Sifat teknologi AI pada masa kini bertujuan untuk menghasilkan mesin yang boleh belajar secara kendiri. Beberapa dekad yang lepas, AI dibangunkan atas dua jenis pendekatan. Mari kita lihat contoh yang berikut: katakanlah kita mahu mengenalpasti gambar seekor kucing. Pendekatan pertama adalah dengan menghasilkan algoritma yang dikodkan oleh pengatur cara komputer supaya cubaan penghuraikan gambar seekor kucing dilakukan dari senarai kategori (empat kaki, misai, telinga menegak, berbulu, dsb.) Pendekatan kedua pula adalah dengan penyuapkan data (dalam kes ini, gambar dan imej kucing) sebanyak mungkin kepada mesin tersebut sehingga ia berupaya untuk mengenalpasti dan belajar dengan sendirinya rupa bentuk seekor kucing berdasarkan data-data tersebut.

Perkembangan pesat teknologi dan kebergantungan kepada data raya lebih memberatkan pendekatan kedua, yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sekarang, banyak jenis mesin yang dicipta untuk untuk belajar secara kendiri, menggunakan kaedah ‘kotak hitam’ yang membuatkan ia hampir mustahil untuk dijurutera undurkan oleh manusia

Ini membuatkan teknologi berasaskan AI lebih berguna dalam beberapa bidang yang memerlukan jawapan untuk persoalan-persoalan yang lebih terperinci dan memerlukan masa yang lama untuk dikaji, contohnya “Apakah corak pengguna dalam telekomunikasi?” atau, “Bagaimana saya boleh menjana X keuntungan daripada pulangan pelaburan saya?” atau, “Bagaimana saya boleh padankan penumpang dengan orang yang menawarkan kenderaan tumpangan dengan lebih optima?”

Jikalau AI terus berkembang dengan kadar yang pesat secara global, ia akan menjadi lebih cekap dan berkesan dalam mencari penyelesaian kepada beberapa soalan tertentu. Dengan teknologi yang direka untuk belajar secara kendiri, maka persoalan yang timbul adalah “Apakah peranan manusia selepas ini?”

Mungkin jawapannya boleh dilihat dalam satu kajian yang telah dijalankan di Oxford. Mereka mendapati bahawa pekerjaan-pekerjan yang amat sukar digantikan oleh mesin automasi termasuk pekerja kesihatan mental, pekerja sosial, doktor, pakar psikologi dan guru. Ini merupakan dapatan yang sangat menonjol, kerana persamaan dalam semua pekerjaan yang disebutkan tadi adalah keperluan kemahiran berkomunikasi yang tinggi. Dalam erti kata lain, jenis perkerjaan yang memerlukan sifat kemanusiaan.

Maka adalah perlu bagi pihak yang menggubal polisi pendidikan untuk menjawab persoalan yang seterusnya – “Jika AI akan mengambil alih tugas-tugas yang dilakukan oleh manusia – termasuk tugas-tugas yang ‘berkemahiran tinggi’ – apakah kelebihan yang dipunyai manusia berbanding dengan AI?” Oleh itu, dasar pendidikan yang bermakna dalam zaman AI adalah memberikan tumpuan mendalam kepada kekuatan dan kelebihan manusia yang paling besar, iaitu ‘kemanusiaan’. Ini bermakna, pendidikan haruslah digunakan untuk membina empati, sahsiah diri, serta kesefahaman terhadap perbezaan orang lain.

Secara logiknya, jika mesin-mesin yang ada sekarang mempunyai kebolehan belajar kendiri, haluan pemikiran bahawa semua orang (dalam konteks Malaysia, pelajar sekolah) wajib belajar untuk menjadi pakar pengekod komputer adalah salah sama sekali. Mesin sebenarnya telah pun berupaya untuk menulis kod dan algoritma mereka sendiri dengan lebih cekap daripada manusia. Ada yang mengatakan bahawa itu sesuatu yang bagus, kerana keperluan untuk memahami dan menyelia mesin tersebut tetap ada. Namun begitu, sebuah artikel dalam MIT Technology Review menyatakan3 bahawa “Tiada siapa pun yang tahu apa sebenarnya yang dibuat oleh algoritma-algoritma canggih ini.” Jika kita sebagai orang biasa pun sukar untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam ‘kotak hitam’, mengapa tidak serahkan tugas tersebut kepada pakar sahaja?

Ini tidak bermaksud untuk mengendahkan ilmu-ilmu pengekodan. Jika ada pelajar di luar sana yang punyai minat untuk belajar kemahiran tersebut, maka mereka perlu disokong. Pengekod diperlukan dalam pelbagai sektor pekerjaan. Namun begitu, meletakkan nilai yang terlalu tinggi dan memaksa semua orang untuk belajar kemahiran ini tidak masuk akal sama sekali.

Dalam era ledakan mesin dan teknologi, apa kata kita fokus untuk menjadi seorang manusia yang baik? Kemahiran insani seperti tolong-menolong, bersifat altruistik dan pro-sosial perlu dipupuk dalam diri kita dan generasi seterusnya. Adakah kita sebagai makhluk yang bertamadun boleh sampai sebegini jauh tanpanya?

Apakah peranan sekolah kebangsaan dalam semua ini? Dalam keadaan sistem ekonomi sekarang yang bersifat kapitalis, orang-orang kaya semakin kaya dan yang miskin kekal miskin kerana tiada pengagihan yang adil untuk kualiti pendidikan. Jika sekolah swasta dianggap menyediakan pendidikan yang lebih berkualiti daripada sekolah kebangsaan, dan sekolah swasta mengenakan pembayaran yang berada di luar kemampuan rakyat marhaen, maka hanya anak-anak kepada golongan berpendapatan tinggi sahaja boleh menghadiri sekolah swasta. Maka kemiskinan akan terus akan diwarisi jika peluang kerjaya tidak terbuka kepada golongan yang sukar untuk mendapat pendidikan berkualiti tinggi.

Situasi ini sangat merbahaya, kerana sifat-sifat kemanusiaan, empati dan keterbukaan minda hanya boleh diajar dan dipupuk dengan pergaulan sesama pelbagai lapisan masyarakat. Dari aspek ini, boleh dikatakan sekolah swasta amat kekurangan dari aspek ini, kerana kebanyakannya dipenuhi oleh golongan yang kaya-raya dan elit (kiasu).

Dalam erti kata lain, sekolah swasta mungkin mempunyai pelajar-pelajar yang berlainan kewarganegaraan, etnik atau tempat tinggal, namun mereka masih dari latar belakang yang lebih kurang sama. Adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa semua sekolah swasta adalah sama, tetapi disebabkan kekangan kemasukan (i.e wang), ada kebenarannya di situ.

Kerana inilah, sekolah kebangsaan amat penting. Malah, dengan sedikit campur tangan daripada pelbagai pihak dalam memastikan sekolah-sekolah ini mempunyai pelajar daripada pelbagai latar belakang (terutamanya pendapatan isi rumah) supaya sekolah-sekolah tersebut merupakan tempat yang terbaik untuk berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Di sekolahlah kita dapat belajar bagaimana untuk membina hubungan sosial, mencari kawan, berganding bahu, bertukar pendapat, bersaing, dan sebagainya. Setelah meningkat dewasa dan mengimbau masa lalu, banyak kenangan indah telah terbina di sekolah.

Manusia tidak boleh hidup berseorangan. Kita saling memerlukan antara satu sama lain – terutamanya mereka yang berbeza daripada diri kita – untuk menjadi manusia yang lebih baik. Dengan cara inilah kita boleh membina masa depan yang kohesif untuk kehidupan manusia dalam dunia AI. Kita memerlukan pendidikan yang fokus kepada potensi yang menjadikan kita manusia yang berperikemanusiaan, dan memerlukan sekolah yang bersifat terbuka dan awam dimana kekurangan wang bukanlah kekangan untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

Rujukan:

1. Frey, C. dan Osborne, M. (2013). “The Future of Employment: How Susceptible are Jobs to Computerisation?” Oxford Martin School Working Paper no. 7.

2. Merujuk kepada No. 1 di atas, kajian ini terdapat beberapa kelemahan. Artikel ini bukanlah ruang yang sesuai untuk mengkritik kajian tersebut secara terperinci, tetapi wajar diperakui bahawa ‘tugas’ akan lebih terkesan akibat pengkomputeran berbanding dengan ‘kerja’. ‘Kerja’ merupakan himpunan beberapa ‘tugas’, dan sebahagian daripadanya berisiko tinggi kepada automasi.

3. https://www.technologyreview.com/s/604087/the-dark-secret-at-the-heart-of-ai/

Comments

comments