Lima Judul Bacaan Pilihanku Yang Teratas Bagi Tahun 2019


(Bahagian 1)

Kurang sebulan, tahun 2019 akan melabuhkan tirainya. Tahun 2020 pula, bakal menjelma. Pada ketika Malaysia sedang giat mempromosi Dekad Membaca Kebangsaan, tentu ramai yang sedang bermuhasabah, buku apa yang telah di baca? Buku apa yang masih belum habis dibaca? Buku apa yang sudah dibeli tapi belum di baca? Buku apa pula yang sudah ada dalam cadangan untuk dibeli tetapi belum dapat dibeli?

Dalam Bahagian Pertama ini, saya ingin kongsikan; LIMA judul buku bacaan pilihan dan ada juga yang diulang baca pada 2019. Ada fiksyen dan ada juga bukan fiksyen. Ada travelog dan ada juga memoir. Sebenarnya, banyak lagi buku lain yang bagus dan sudah dibaca, tapi untuk artikel ini, saya hanya pilih LIMA teratas sahaja. Saya fikir, ia adalah karya-karya penting (majoritinya diterbitkan) pada tahun 2019 untuk dibaca oleh orang ramai.

  1. Budaya Ilmu: Makna dan Manifestasi dalam Sejarah dan Masa Kini oleh Wan Mohd Nor Wan Daud, CASIS-HAKIM, 2019.

44101015. sy475

Dapatkan di Kafilahbuku.com

Karya ini boleh diumpamakan sebagai ‘buku panduan’ yang tuntas untuk mengisi kekurangan kandungan berkualiti tempatan berkaitan dengan Faham dan Makna serta Kebudayaan Masyarakat Berilmu.

Memang kena pada masanya, ketika ramai orang sedang bercakap mengenai Dekad Mambaca Kebangsaan. Cuma dalam kompleksiti masyarakat hari ini, nilai tambah boleh diberikan untuk memahami persoalan-persoalan berikut:

  1. Kenapa perlu membaca?
  2. Kenapa perlu Berilmu?
  3. Adakah Dekad Membaca Kebangsaan hanya bermaksud ‘mahu melahirkan masyarakat membaca’?

Sedikit sinopsis: Buku ini mengupas dengan mendalam konsep budaya Ilmu, dengan menyorot sejarah pelbagai bangsa dan tamadun. Ciri-ciri budaya ilmu yang boleh diteladani serta perkaitan antara jatuh bangun sesuatu peradaban dengan budaya ilmu; dianalisis dan dihurai.

Edisi ini memuatkan 4 bab baharu yang meliputi budaya ilmu di Andalusia, di alam Melayu, dalam perpaduan dan kesejahteraan negara serta pengamalannya dalam institusi Pendidikan.

Buku ini Untuk siapa? Ia dikarang khusus buat para sarjana, pendidik, ahli politik, mahasiswa, aktivis kemasyarakatan, pentadbir, profesional dan ibu bapa yang prihatin akan daya usaha menghapuskan kejahilan pembangunan makna diri bangsa dan tamadun berteraskan keilmuan.

  1. Menalar Makna Diri: Kembara Menjejak Imam Birgivi oleh Hasrizal Abdul Jamil, Karangkraf, 2014.
22028450

Dapatkan di Karangkrafmall.com

Ia sebuah travelog sejarah pencarian ilmu oleh seorang penuntut ilmu. Sebenarnya, ini bacaan kali kedua buat saya. Kali pertama membacanya dahulu, tidak asyik. Tetapi bacaan kali ini, lebih mengasyikkan. Dalam pengalaman membaca, jika rasa tidak asyik untuk bacaan kali pertama, tidak mengapa. Berikan masa dan ruang untuk diri menghadapnya melalui perjalanan hidup peribadi. 

Sampai satu masa, bacaan seterusnya akan lebih mengesankan. 

Menurut penulisnya, karya ini karya yang amat bermakna baginya. Itulah faktor utama kenapa saya mencari-cari semula karya ini di rak buku.

Karya ini sebuah karya yang merakam pengembaraan Ustaz Hasrizal bagi mencari dan menganalisas bahan rujukan untuk kajian pemikiran dan perjuangan seorang tokoh penting Daulah Uthmaniyyah abad ke 16, Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi atau dikenal sebagai Imam Birgivi.

Pengembaraan ini bukan sekadar pengembaraan akademik bagi menyempurnakan pengajian beliau pada ketika itu di UKM, tapi juga ia merupakan pengembaraan ukhuwwah, tarbiyyah, mehnah, keringat dan air mata, pada memartabat disiplin sejarah, saat ia dipinggirkan oleh massa.

Perjalanan merentas gunung melintas benua, terhimpun padanya keseriusan amanah ilmu, namun terselit juga kelucuan persahabatan melangkau batas bangsa dan Bahasa.

Sebenarnya, lebih penting lagi, apabila, bagi saya, karya ini umpama panduan untuk kita bermuhasabah tentang hala tuju diri masing-masing. Jika Ustaz Hasrizal berjaya merakam situasi mencabar dalam bermuhasabah lewat karya beliau ini, maka sebagai pembaca, ia pasti dapat membantu menyedarkan apa perancangan yang perlu diatur dan bagaimana diri bersedia menghadapi kehidupan mendatang.

**Tambahan saya: Buku ini akan lebih mengujakan jika pernah menonton drama bersiri Turki berjudul Diriliş Ertuğrul!

  1. Cerita Dari Baozang Yan: Ular di Tilamku oleh SM Zakir, Nusa Centre, 2019.
45021693. sx318

Dapatkan di NusaCentre.org

Taiwan. Dari kaca mata dunia, Taiwan dikenal sebagai antara negara terbersih dunia. Dari kaca mata rakyat Malaysia, Taiwan dikenal dengan kontroversi lobi peperiksaan UEC untuk diiktiraf negara memandangkan terdapat sejumlah pelajar Cina Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke Taiwan. Kini, ia sinonim sebagai sebuah negara yang menghargai para seniman segenap pelusuk dunia melalui penganjuran residensi penulis di Bukit Khazanah. SM Zakir adalah salah seorang daripadanya.

Buku terbaharu SM Zakir ini, saya kategorikan sebagai travelog-hikayat pertama yang merakam pengalaman sebagai penulis residen di Bumi Taiwan. Namun ia bukan travelog biasa. Ia travelog magis yang akan bawa pembaca menyelami ‘kesepian’ dan keliaran pemikiran penulis selama berada di Bukit Khazanah – sebuah bukit yang dahulunya kediaman para tentera dan kini yang diambil alih kerajaan dan dijenamakan sebagai studio untuk para seniman (berkarya).

Ketelitian SM Zakir menzahirkan bentuk muka bumi Bukit Khazanah (tempat para seniman berkarya), reka letak dan susun studio yang didiaminya selama sebulan serta watak-watak sekelilingnya menjadikan saya leka dan turut membayangkan sayalah peneman dan saksi pengalaman penulis selama tempoh melalui ‘kesepian’ di Bukit Khazanah itu. Bukan sahaja pengalaman secara fizikal, malah pengalaman meresapi pemikiran dan keliaran idea sebagai seorang penulis (lelaki) yang membuat pembaca seperti aku ketawa secara spontan, sedih, teruja dan kadang-kala segan untuk membaca perenggan-perenggan seterusnya.

Buku ini tentang kesepian. Bukan sahaja kesepian sebagai penulis, malah kesepian seorang tua di lereng Bukit Khazanah. Sebagaimana diungkapkan SM Zakir:

“Maha sepi, sepi menjadi semakin sepi apabila seorang demi seorang rakan-rakan meninggal dunia kerana usia tidak lagi mahu bersama mereka. Tetapi usia masih tidak puas menyeksaku. Usia masih mahu melekat kepadaku tanpa mahu meninggalkan aku. Dan kehidupanku diseksa dengan sepi yang maha sepi. Aku tiada isteri, tiada anak, tiada sanak saudara dan aku hanya mempunyai kenangan yang semakin hari semakin pudar seperti seragam tentera nasionalis yang aku bangga semakin pudar dimamah waktu.” (Bab 11, ms 112).

Kesepian akibat disisih setelah bekorban adalah kesepian yang tragis. Bagi aku, kisah ulung orang tua di lereng bukit itu adalah kemuncak dan sarat dengan mesej untuk kita mahu memahami fragmen rencam dunia politik, ekonomi dan sejarah Taiwan serta masyarakatnya.

Namun, buat pembaca, jangan tertipu dengan penceritaan yang lambat merangsang aqal menikmatinya. Hayati imaginasi yang mahu disampaikan. Kenikmatan membaca lahir bersama kesabaran mahu memahaminya di hujung cerita.

  1. Kenangan-Kenanganku di Malaya oleh HAMKA, Jejak Tarbiah, 2019.
44424395. sy475

Dapatkan di Jejaktarbiah.com

Buku yang diterbitkan kali pertama pada 1957 ini penuh misteri.

Siapakah penduduk Malaya yang membacanya pada tahun tersebut? Apakah impaknya dalam pembuatan dasar kerajaan Malaysia pada ketika itu? Atau, adakah kebijakkan pembuatan dasar politik berkait dengan kebudayaan, bahasa, dan kewarganegaraan di Malaya (sebagai contoh), dibuat dengan mengambil kira pandangan salah seorang sosok ulamak yang boleh dikira amat berpengaruh di Kepulauan Melayu ini.

Buya HAMKA bukan sekadar menulis travelog beliau di Malaya berupa travelog keindahan tempat menarik tetapi turut mengulas aspek rupa cita masyarakat yang diidam-idamkan setelah kemerdekaan Malaya pada ketika itu dengan memberikan 1001 nasihat dan harapan.

Semua nasihat yang disusun dalam 10 bab ini disulam dengan latar sejarah dan cabaran yang sedang dihadapi oleh Indonesia agar kemerdekaan Malaya kelak, lebih bersedia menghadapi cabaran-cabaran yang beliau sebutkan dalam karya beliau ini.

Melalui karya ini, Buya membawa pembaca hanyut bersama sejarah Indonesia yang tidak mudah diketahui andai pembacaan kita (orang Malaysia) terhad dan tiada masa membaca sejarah Indonesia. Buku ini pembuka bicara dan seumpama menghubungkan ‘missing link’ fregmen sejarah Kepulauan Melayu.

Buya turut menyatakan kenangan beliau yang pernah bertemu dengan para pemimpin masyarakat di Malaya pada ketika itu seperti Pendeta ZA’BA, Abdul Rahim Kajai, Uthman Qalam, Buyong bin Adil, Harun Aminurrashid, Tongkat Warrant, dan Abdullah Basmeih. Buku ini bukan sebuah travelog biasa.

Saya akan baca semula satu hari nanti.

  1. Ideologi: Sebuah Memoir oleh Zin Mahmud, Republik Buku, 2019.
45159079. sx318

Untuk pertanyaan stok, boleh WA Penerbit: 011-2773 9202

Ia sebuah karya memoir yang jujur-polos oleh penulisnya. Sejarah kehidupan beliau yang dirakam melalui karyanya ini adalah suatu yang kita tidak akan dapati dalam mana-mana catatan rasmi di luar sana. Catatan-catatan beliau ini, mengabsahkan atau menjelaskan lagi perincian sisi atau sudut yang tidak kita ketahui – tentang politik tempatan dan antarabangsa, tentang Komunisme-Sosialisme-Anarkisme, tentang karya-karya yang dibaca yang membentuk cara beliau berfikir dan bertindak, dan tentang pengalaman beliau yang telah berkhidmat lama sebagai seorang wartawan di Akhbar Utusan, Utusan Malaysia, Harakah, Harian Watan, dan Minggu Tempo. 

Tidak keterlaluan dan ia sememangnya pengalaman peribadi saya dalam membaca karya ini, bahawa: melalui karya ini, konsep asas, perbezaan dan persamaan antara sosialisme dan komunisme Berjaya diterangkan dengan ringkas.


*Penulis seorang Bukuwan. Juga seorang karyawan di Perbadanan Kota Buku. Makan buku, minum buku, tidur buku. Semua tentang dunia buku. Boleh berinteraksi dengan beliau di FB: Aliff Basri, di twitter: @aliffalbus; dan di IG: adevotedreader

Related posts