July 5, 2020

Beza Sama Magis dalam Kelembutan Peng Xuejun


Tajuk Buku :  
Kaulah Adikku (You Are My Sister); 2017,
Pintu Pengadang (Half Door); 2018

Penulis:
Peng Xuejun

Penerbit:
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)


Tamat pembacaan timbul rasa syukur kerana karya ini diterjemah ke Bahasa Melayu dan dapat dinikmati. Oleh kerana, Kaulah Adikku dan Pintu Pengadang secara langsung atau tidak langsung mempunyai persamaan dari satu sudut tetapi berbeza dari segi pendekatan maka saya tertarik untuk meletakkan dua karya Peng Xuejun yang benar-benar mengesankan ini dalam satu ulasan.

Jika dilihat pada mood ilustrasi yang ditonjolkan ke dalam kedua karya ini terdapat perbezaan mood di antara keduanya. Warna untuk Kaulah Adikku lebih ceria manakala Pintu Pengadang lebih gelap dengan menggunakan warna-warna tanah. Begitulah mood yang dibawakan oleh penceritaan masing-masing.

Kaulah Adikku berkisar sekitar watak utama si Kader Gadis dan adiknya, Penyek disulami persahabatannya bersama keluarga Ah Tao Long dan kemunculan Nenek Xiu. Cerita ini berjalan tenang dilatari pokok pic, padi, buah lokuat, lembu, kambing, musim bunga, salji, panas, aktiviti menjahit serta menyulam.

Pintu Pengadang pula mengisahkan Shaji yang telah diserahkan kepada Nenek Yun untuk dijaga sementara ibu ayahnya membanting tulang menyiapkan landasan kereta api. Di pekan ini Shaji menjalani kehidupannya sehingga akil baligh. Pintu pengadang menjadi simbolik buat Shaji dalam melangkah kedewasaan.

Kaulah Adikku

Membaca blurbnya satu harapan telah diberikan kepada para pembaca. Beberapa anugerah telah dimenangi dan juga telah diadaptasi ke filem. Jujurnya saya tidak dapat menjangkakan kisah yang terkandung dalam novel ini pada awal pembacaan. “Perjalanan hidup gadis menginjak dewasa dalam latar adat dan budaya etnik minoriti Miao” yang tercatat pada blurb, tidak memberi banyak klu. Saya jadi tertanya apa istimewanya “adik” di sebalik tajuk “Kaulah Adikku” itu.

Biarpun novel ini dikategorikan sebagai kanak-kanak, namun kisah ini terasa dekat dengan setiap anak gadis yang telah meningkat dewasa. Sungguhpun cerita ini ditulis dari perspektif “aku”, cerita ini berjalan separuh mengenai Kader Gadis dan separuh lagi keluarga Ah Tao Long. Sebagai kanak-kanak yang berumur 9 tahun pastinya akan menjadikan orang lebih dewasa darinya sebagai rujukan. Begitulah Kader Gadis melihat Ah Tao Long dalam hidupnya. Setelah melihat Ah Tao Long bekerja untuk adiknya, Kader Gadis pula berbuat yang sama untuk Penyek.

Ada babak yang ditulis terasa begitu “nyata”. Ketika Adik baru dilahirkan, babak Kader Gadis dan Ah Tao Long memandikan adik terasa amat dekat. Cerita ini penuh dengan pengajaran untuk lebih menghargai perhubungan adik-beradik tanpa menyatakannya terang-terangan tetapi disampaikan dengan halus melalui peristiwa sehari-hari yang dilalui oleh watak dalam kisah ini.

Dalam perjalanan tenang cerita ini, pembaca diberikan satu peristiwa yang merentap perasaan. Itu yang saya rasakan!

Pintu Pengadang

Kali ini ceritanya diterajui oleh watak Shaji seorang kanak-kanak autistik. Dalam tempoh melangkah ke alam akil baligh pelbagai suka dan duka dilalui. Cerita ini digerakkan dari sudut pandang Shaji yang melihat orang datang dan pergi dalam hidupnya. Begitulah seorang kanak-kanak cuba memahami lumrah kehidupan.

Kisah kanak-kanak di dalam buku ini dilihat dekat dengan masyarakat. Misalnya, watak Tongluo yang mengejek Qingliu kerana berbibir sumbing. Memang menjadi resam di zaman persekolahan, kanak-kanak lelaki suka mengejek atau mengusik kanak-kanak perempuan. Mereka akan berubah bila menginjak remaja.

Malah tidak ketinggalan, elemen mistik dan dukun yang mempunyai magnet dengan masyarakat turut dimasukkan ke dalam cerita ini.

Keistimewaan Pintu Pengadang terletak pada perlambangan yang dibuat. Menjadikan kisah ini artistik. Contohnya seperti, “kupu-kupu putih berterbangan” merupakan surat cinta “abang” dan Yu Liwan yang telah dikoyakkan ketika hujan salji.

Saya akui yang air mata saya bergenang ketika membaca Pintu Pengadang. Setelah membaca Kaulah Adikku, saya merasa lebih bersedia dengan kisah yang akan dibawakan Peng Xuejun. Ternyata saya kali ini Peng Xuejun membawa saya menaiki roller-coaster emosi.

Lembut Namun Memukul

Biarpun kedua-dua novel ini berlatarbelakangkan masyarakat Miao namun, aspek yang disentuh adalah berbeza. Kaulah Adikku banyak memaparkan aspek tradisi seperti menjahit dan menyulam manakala Pintu Pengadang membawakan elemen perubatan/dukun masyarakat Miao.

Jika dilihat melalui mata kasar, tiada apa yang istimewa. Kedua-duanya membawakan kisah gadis yang meningkat dewasa. Namun bila diselami kisah keduanya, amat berbekas di hati. Semuanya bersandarkan rentetan peristiwa dan pemilihan kata yang baik. Inilah contoh penulisan boleh menjadikan sesuatu yang biasa, menjadi luar biasa. Kisah masyarakat yang mampu memukul perasaan.

Di dalam Pintu Pengadang terdapat catatan oleh Peng Xuejun, di situ dapatlah kita fahami mengapa kisah ini kelihatan begitu dekat dan nyata. Hal ini demikian kerana, kisah itu sendiri dekat dengannya. Saya bersetuju dengan tulisan Peng Xuejun, “Zaman kanak-kanak bagaikan sebuah buku yang menghimpunkan kisah-kisah menarik … Buku ini tidak akan jemu kubaca sepanjang hayat.”


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *