July 5, 2020

Bila Tuhan Berbicara

Tajuk Buku :  
Bila Tuhan Berbicara

Penulis:
Faisal Tehrani

Penerbit:
Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd.

Description: C:\Users\ACER\AppData\Local\Packages\Microsoft.Office.Desktop_8wekyb3d8bbwe\AC\INetCache\Content.Word\muka depan bila tuhan berbicara.jpg

“Mungkin segala petanda dan musibah ini, satu cara untuk tuhan berbicara kepada kita”

Faisal Tehrani, seorang penulis yang tidak asing lagi dalam dunia pengkaryaan fiksyen berbahasa Melayu di Malaysia telah bereksperimentasi dengan sebuah bentuk pengkaryaan yang agak asing bagi beliau. Melalui buku ini, cerita disampaikan dengan menggunakan kaedah pementasan bagi menyampaikan idea ketuhanan dan cabaran individual bagi menyempurnakan firman tuhan. Tema ini tidak asing lagi bagi penulis yang memang sinonim dengan karya yang mencabar pemahaman dan menimbulkan persoalan spiritual kepada pembacanya.

Menarik dalam karya ini berbanding karya berbentuk drama yang lain adalah kewujudan satu watak yang digelar pengarah yang turut berlakon, menyampaikan dialog dan berinteraksi dengan watak-watak yang lain dalam pementasan. Watak pengarah ini sifatnya universal. Boleh masuk dan keluar sesuka hati dimana-mana babak yang beliau mahu. Kewujudan watak ‘Pengarah’ merupakan manifestasi keinginan penulis untuk mencorakkan jalan cerita mengarah kepada keinsafan kepada keagungan ciptaan tuhan.

Seringkali dalam buku ini, watak pengarah menyampaikan idea-idea berkenaan keagungan ciptaan tuhan, Bagi mengelakkan watak pengarah ini terlalu ‘mengganggu’ pola penceritaan, kebanyakan masanya watak pengarah ini akan dijemput masuk oleh watak-watak didalam cerita bagi menyampaikan idea dan pandangan. Walaupun keadaan ini mewujudkan pelbagai dimensi didalam penceritaan kisah, namun ada masanya idea ataupun sokongan penceritaan yang dibawa oleh watak ‘pengarah’ terlalu meleret-meleret, dan memakan terlalu banyak ruang dalam penceritaan drama. Keadaan ini mewujudkan perasaan seperti gangguan dan rasa tidak selesa kepada pembaca yang sedang menghayati peristiwa yang berlaku dalam cerita.

Selain daripada watak ‘pengarah’, pementasan drama ini dihidupkan secara langsung melalui penceritaan tiga watak utama. Masing-masing watak ini membawa personaliti dan sejarah hidup yang berbeza. Pengolahan cerita dalam cerita menunjukan kebijaksanaan penulis dalam menghidupkan drama ini dan merasionalkan kehidupan watak dalam situasi kehidupan sebenar. Walaupun berasal daripada ruang dan gejolak kehidupan yang berbeza, ketiga-tiga watak tersebut disatukan dengan konflik yang menjadi rencah utama dalam pementasan drama ini,, yang tidak lain tidak bukan adalah konflik manusia dalam mengenal tujuan penciptaan dirinya dalam kehidupan seharian yang mencabar.

Kesinambungan dan kedalaman penceritaan watak-watak utama menjadi kekuatan teras dalam pementasan drama ini. Salah satu kekuatan penulis dalam merancang fiksyen yang mencabar garis penceritaan konvensional adalah pemetaan watak yang mempunyai nilai-nilai teras yang walaupun biasa dalam masyarakat namun membawa penjelasaan makna individual yang radikal dan sering ditolak olah masyarakat. Watak-watak digambarkan dengan teliti dan sistematik. Setiap watak membawa dilema yang mendalam dan membingungkan. Penulis telah berjaya menggambarkan delima setiap dengan berkesan, ringkas dan mudah difahami oleh pembaca.

Reviu ini tidak akan sempurna andai tidak menceritakan konflik moral dalam setiap watak-watak utama yang menjadi tonggak dalam drama tuhan manusia. Watak pertama, seorang doktor moden yang berjaya. Namun atas perbezaan pandangan agama, kelemahan agama si doktor dan konflik penerimaan antara isterinya dan keluarga doktor tersebut, membawa kepada konflik dalam rumah tangga mereka. Konflik ini memuncak dan akhirnya mencapai titik resolusi apabila doktor ini membunuh pasangannya secara tidak sengaja. Watak kedua juga membawa kisah orang saintifik, namun kali ini dimainkan sebagai seorang ahli vulkanologi yang tersohor dan menjadi rujukan utama negara. Namun dalam kemasyuran ini, ahli volkanologis ini mempunyai keinginan untuk menukar jantinanya. Watak ini sangat menarik kerana penceritaan dan pengalaman hidupnya dalam cubaan bagi menukar jantina digambarkan dengan jelas dan begitu lancar. Konflik penukaran jantina selalunya taboo dalam masyarakat kita, namun penulis berani membawa konflik bersama dalam perbicaraan mengenai keesaan dan rahmat ketuhanan.

Keberanian penulis mengetengahkan isu yang dianggap taboo diteruskan melalui penceritaan kisah watak ketiga. Watak ini, jika dinilai dari segi kealiman agama adalah yang paling alim antara ketiga-tiga watak utama. Jika dua watak yang awal tadi memaparkan manusia yang leka dengan keindahan dunia, watak yang ketiga ini menjadi watak neutral yang memaparkan seorang ahli agama yang berserah kepada tuhan , bersifat tenang dan ilimah namun membawa ideologi radikal dan ganas. Walaupun digambarkan sebagai seorang jihadis sesat penggila keganasan, namun penilaian ini tidak dapat digunakan untuk menilai watak yang ketiga. Watak ketiga digambarkan sebagai seorang ahli agama yang tenang dan berupaya membetulkan tingkah laku yang biasanya ditafsirkan sebagai keganasan oleh masyarakat umum. Penafian dan pengajaran penggunaan kekasaran dimanifestasi secara tenang dan ilmiah oleh watak ketiga ini. Secara ringkas, watak ketiga ini menawarkan resolusi keagamaan kepada dua watak awal yang telah sesat.

Secara ringkasnya, latar tempat utama yang menjadi pentas utama drama ini adalah di dalam sebuah bunker, ataupun dipanggil gua oleh sesetengah watak. Ketiga-tiga watak dari spektrum kehidupan yang berbeza ini ditemukan ketika masing-masing mencari perlindungan akibat letusan gunung berapi yang sangat dasyat. Ilmu volkanologis disajikan secara berterusan dan mendalam sepanjang pementasan drama ini. Kesemua ilmu ini dibicarakan secara ilmiah dan saintifik oleh watak ahli volkanologis. Sesekali watak pengarah turut campur bersama menerangkan dan menggambarkan kedasyatan yang diakibatkan oleh gunung berapi mega.

Sepanjang mereka bertiga berlindung didalam bunker, masing-masing menceritakan kepada watak-watak lain berkenaan sejarah hidup dan konflik kehidupan yang mereka hadapi. Perbalahan saintifik, dan sindiran keagaman melalui mesej keganasan sering digambarkan oleh penulis melalui perbincangan oleh ketiga-tiga watak. Pandangan semesta setiap watak juga diperdebatkan oleh watak-watak yang sedang terkurung didalam gua, Luahan perasaan dan konflik dalam sendiri dari kesemua watak adalah disebabkan rasa takut yang tidak terhingga akibat bala bencana yang sedang berlaku didunia mereka. Watak doktor dan ahli volkanogis ternyata insaf terhadap kekhilafan yang mereka telah lakukan dan seringkali watak ketiga menjadi pendamai dan solusi dari sudut spiritual. Suasana takut, bimbang dan akhirnya membawa kepada rasa putus asa digambarkan secara konkrit oleh penulis sepanjang kisah mereka berlindung didalam gua/bunker. Ketakutan ini akhirnya ditutup apabila mereka semua berpakat untuk tidur semua menjurus kepada klimaks dalam cerita.

Klimaks cerita ini adalah apabila tersedar secara tiba-tiba selepas tidur yang mereka sendiri tidak pasti berapa lama. Kecelaruan yang wujud berkaitan berapa lama mereka tidur secara jelas diinspirasikan oleh cerita pemuda-pemuda al-kahf yang lari dari penguasa yang jahat dan

akhirnya tertidur ketika berlindung didalam gua. Plot cerita ini seterusnya dikembangkan apabila mereka bertiga bertemua dengan segerombolan manusia yang kelihatan primatif dan kurang maju dari segi ketamadunan. Didapati kesemua manusia baharu yang mereka bertiga temui itu menderita penyakit kusta yang hanya menyerang kaum lelaki dalam kalangan masyarakat dunia baru. Konflik timbul yang menjurus kepada penangkapan mereka bertiga dan dibawa menghadap ke ketua manusia baru yang dinamakan permaisuri.

Kenakalan permaisuri dizahirkan secara berkias dan tidak keterlaluan, Ciri ini dicampurkan dengan dialog berkonotasi seksual separuh sedar seperimana biasa dijadikan penyedap cerita disamping dialog-dialog metafora yang menambah unsur kecindan dalam penceritaan. Kenakalan permaisuri ini berpunca akibat wabak kusta yang menyerang laki-laki dalam kalangan masyaraka dunia baru, jadi apabila ketiga-tiga watak lelaki sihat dibawa ke balairung istana, maka tidak dapat tidak, meledak juga niat dan fitrah permaisuri itu apabila berdepan dengan laki-laki sihat yang digambarkan oleh ketiga-tiga watak utama. Permaisuri ini walaupun digambarkan sebagai tegas namun mempunyai visi yang jelas, iaitu mencari penawar kepada penyakit kusta yang dihadapi oleh masyarakat dunia baharu. Bagi mencapai kebebasan mereka, Permaisuri menitahkan mereka bertiga mengenalpasti ubat kepada wabak kusta yang sedang mereka hadapi. Selain itu, permaisuri juga berminat untuk mengenal asal usul ketiga-tiga watak utama dan beliau merancangan untuk mengetahui rahsia dunia lama yang dibawa oleh ketiga-tiga watak utama. Oleh itu mereka bertiga dibawa kepada seorang pendeta tua, digambarkan sebagai manusia yang paling berilmu dalam kalangan ahli manusia baharu. Pendeta ini dinamakan sebagai nenek tua.

Pertemuan dan kisah hidup mereka bersama nenek tua adalah permulaan peleraian cerita. Hasil penceritaan nenek tua, rupanya masyarakat manusia baharu terlalu mendambakan satu pegangan yang mampu menjadi panduan dan pusat kehidupan dalam masyarakat dunia baharu. Setelah diselidiki, masyarakat dunia baharu adalah sekumpulan manusia yang wujud selepas peristiwa besar ledakan gunung berapi mega ribuan tahun dahulu. Letusan mega gunung berapi yang mana ketiga-tiga watak mencari perlindungan didalam gua atau bunker. Jadi jelaslah kepada mereka bertiga, tidur mereka didalam gua adalah petanda daripada tuhan sepertimana satu frasa yang diucapkan oleh watak sang jihadis terrorist, iaitu bila tuhan berbicara.

Sekarang tahulah mereka bertiga, misi mereka ditidurkan dan dibangunkan didunia baharu adalah untuk menyampaikan khabar gembira daripada tuhan kepada masyarakat manusia didunia baharu. Oleh itu, mereka bertiga bertekad bukan sahaja mencari penawar kepada penyakit kusta yang menyerang fizikal masyarakat manusia dunia baru, namun mereka juga perlu menawarkan pembebasan jiwa dan menunjukan jalan kearah pemusatan spiritual yang berpaksikan ilmu tauhid kepada sang pencipta.

Peleraian cerita bermula apabila ketiga-tiga watak menemui ubat keatas penyakit kusta dengan bantuan watak doktor yang pernah mengkaji berkenaan penyakit kusta semasa melengkapkan tugasan berkaitan penyakit di bangku pengajian universiti dahulu. Selain itu misi spiritual mereka untuk menjelaskan berkenaan islam telah disampaikan secara perlahan-lahan sepanjang mereka duduk di rumah nenek tua. Akhirnya masyarakat dunia baru menerima islam sebagai panduan hidup bagi membina ketamadunan manusia baru. Sebagai tanda penghargaan, permaisuri ini menyampaikan kurnia dengan menunaikan apa sahaja keinginan yang diminta oleh ketiga-tiga watak. Namun, mereka bertiga hanya minta untuk dilepaskan kembali ke gua atau bunker tempat di mana mereka mula ditemui. Walaupun berat dihati permaisuri namun atas dasar kemanusian dan nilai peribadi Muslim melalui ajaran Islam yang telah diajar oleh ketiga-tiga watak, beliau bersetuju membebaskan mereka bertega. Pengakhiran drama ini berlaku apabila ketiga-tiga watak berpakat untuk tidur semula selepas berasa tenang apabila telah berjaya menyampaikan bicara tuhan kepada masyarakat manusia dunia baru. Pengakhiran yang tenang seusai keributan persoalan kehidupan yang telah dilalui oleh ketiga-tiga watak. Khalas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *