August 9, 2020

Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama

Judul buku:
Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama

Penulis:
Teme Abdullah

Penerbit:
Iman Publication

Reviu Buku Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama karya Teme Abdullah Beri Nafas Baharu Naratif Futuristik

 Al-kisah saya beli buku ini sewaktu ia pertama kali diterbitkan lalu dijual secara rasmi semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 2018. Saya baru sahaja berkesempatan untuk membacanya melalui teknik cabut undi (sebab buku dari tahun 2014 tak habis baca lagi, rezeki buku ini lah saya baca dahulu waktu musim PKP). Kalau ikut pengalaman tahap ketangkasan saya membaca buku, waktu 3 hari itu boleh dikatakan durasi paling pendek saya untuk menghabiskan novel fiksyen Melayu yang sarat dengan pesanan mesra penulis kepada pembaca. Pokoknya, Teme benar-benar berjaya membawa imaginasi saya ke hadapan sampai saya rasa sedih bila menamatkan pembacaan (dan geram sebab mahu tidak mahu mesti beli buku kedua untuk siri ini!).

            Sekali lagi para pembaca terutama sekali peminat tegar buku siri Pelukis Jalanan dihidangkan dengan kemunculan sebuah karya sulung genre fiksyen dari seorang penulis breakthrough terkenal menerusi buku Siri Pelukis Jalanan yang lebih bersifat memoir pengalaman hidup. Bagi pendapat saya, Teme Abdullah tampil dengan satu keunikan dan kreativiti tersendiri menerusi buku Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama sewajarnya diberi perhatian ramai dalam menjadikan karya fiksyen sebagai medium penyampaian ilmu pengetahuan yang benar. Perkara paling penting bagi saya sepanjang membaca buku ini, Teme berjaya garap dan ketengahkan realiti isu kehidupan yang begitu dekat dan mudah difahami oleh setiap seorang daripada kita. Seperti contoh tidak silap saya dalam buku Arkitek Jalanan, Teme selalu menekankan tentang isu golongan yang menjadi penunggang agama untuk kepentingan sendiri. Nyata dalam buku ini penulis sekali lagi menggarapkan isu tersebut ke dalam bentuk imaginasi kompilasi unsur futuristik dan satira seperti yang dapat dilihat dalam petikan sinopsis belakang buku tersebut;

“Ilmu agama ini umpama senjata yang boleh dimiliki sesiapa. Jika senjata itu jatuh ke tangan yang baik, akan digunakan senjata itu untuk menyerang yang jahat. Namun, jika ia jatuh ke tangan yang jahat, akan digunakan senjata itu untuk memusanahkan kebaikan.”

            Kebaikan yang dimaksudkan itu adalah pelbagai dalam buku ini, cuma suka saya petik contoh terdekat adalah tentang perasaan cinta antara manusia berbeza jantina yang sering disalah tafsir sebagai ‘mensyirikkan’ Tuhan. Salah faham ini boleh terjadi sekiranya seseorang itu tidak merujuk kepada sumber sahih atau ikut suka hati mempergunakan ia untuk kepentingan kehendak nafsu sendiri. Begitu juga tentang isu kepimpinan dan kepemimpinan, jika kita belajar tinggi-tinggi tanpa mempunyai sifat empati dan toleransi terhadap perbezaan pendapat adalah menjadi satu kerugian buat seseorang dalam menjadi pemimpin pada diri sendiri serta orang sekeliling. Satu lagi perkara yang saya suka dengan buku fiksyen Teme ini adalah kita boleh nampak penulis benar-benar melakukan penyelidikan teliti seperti mendapatkan rujukan dari sumber hadis dan perujuk pendakwah serta ilmuan yang boleh dipercayai.

            Selain itu, watak dan perwatakan dalam buku Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama ini cukup kuat dipertonjolkan dan sempurna perkaitan ceritanya antara satu sama lain. Penulis berjaya menghidupkan watak berdasarkan sifat dan sikap sebenar yang terdapat pada manusia sebenar lalu menjadi penggerak utama jalan cerita ini sehingga berjaya menghasilkan unsur plot twist pada akhir cerita (belum akhir lagi ni untuk saya kerana belum beli buku kedua hmmm). Cuma saya akui terdapat kekeliruan pada nama-nama karakter yang menyebabkan saya terpaksa ulang alik undur ke belakang untuk mengenali dan menghafal nama watak-watak utama seperti yang diingatkan oleh editor penerbit sendiri.

            Akan tetapi, saya juga faham tujuan Teme meletakkan nombor sebagai wakil nama watak pelatih institut ada sebabnya dan salah satu mengikut interpretasi saya adalah para pelatih ini dianggap seperti pelatih pegawai tadbir dan diplomatik lah gitu. Oleh itu sebolehnya nama sebenar mereka tidak diketahui ramai supaya dapat mengamalkan konsep sama rata dan hanya kualiti kendiri seseorang dapat membezakan perbezaan masing-masing.

            Untuk penggunaan bahasa tulisan dalam buku Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama ini adalah bahasa ringkas dan mudah difahami. Tidak hairan lah bila bab babak perdebatan itu meskipun berjela-jela panjang dan padat hujah penjelasannya, saya masih boleh ikut rentak dan faham isi penting yang ingin disampaikan oleh penulis. Keindahan bahasa Melayu dalam buku ini turut digunapakai semaksimum mungkin melalui beberapa penulisan kiasan pepatah bahasa Melayu yang mendalam selain puitis menunjukkan keunikan kebendaharaan kata sang penulis.

            Tambahan pula, latar masa Madrasah Taming Sari ini pula terletak  pada latar masa paling ke hadapan dengan tujuan mengangkat semula harapan zaman kegemilingan pemerintahan Islam di Nusantara selepas para pemimpin Islam sebelum zamannya mendapat kesedaran untuk tidak menjadi berat sebelah atau membuta tuli menghukum masyarakat mahupun seseorang apabila ilmu pengetahuan dan pendapat sendiri terhad pada sesuatu ilmu. Bila kita meletakkan garis batas terhadap sejauh mana ilmu pengetahuan yang perlu kita miliki, di situ lah permasalahan membezakan haq dan batil boleh berlaku yang menyebabkan kesusahan kepada perkara lain.

            Kesimpulannya, saya berasa seronok dan gembira membaca buku ini walaupun adegan sakit hati dalam buku ini memang membuatkan saya menyumpah-nyumpah dengan sepenuh hati watak antagonis kerana ya tuhan orang jenis ini memang wujud. Maksudnya, Teme berjaya lah buat saya menghayati cerita ini. Saya sangat mengesyorkan kalian untuk baca buku ini kerana ia membawa manfaat baik kepada akaun bank kewangan kita dan input pengetahuan kita, hihi. Apa pun, tahniah Teme dan jangan berhenti menghasilkan seseuatu karya yang lain dari norma anda!


fatinamuhammad@gmail.com

fatinawrites.blogspot.com

4 thoughts on “Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama

  1. Teruskan menulis..fatina Ingat lagi saya pernah Kata Kat fatina
    You can do impossible things sometimes if you think you can.. So now, you’re deserve it. Congratulations…

Leave a Reply to MasitaMelan Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *