June 7, 2020

Jangan Curi Lautan Cita-Cita Aku!

Tajuk Buku:
Jangan Curi Lautan Cita-Cita Aku!

Nama Penulis:
Jekyll Gyzma

Terbitan:
Kadokawa Gempak Starz

Buku ini mengisahkan tentang seorang remaja bernama Rayzal yang merupakan salah seorang pemain Harimau Muda bawah 18 tahun. Disebabkan oleh insiden kad merah yang berlaku semasa perlawanan persahabatan antara Singapura dan Malaysia kerana egonya yang terlalu tinggi ingin meneruskan perlawanan, Rayzal terpaksa menerima hakikat bahawa dia kini hanya merupakan bekas pemain Harimau Muda yang pernah menyarung jersi no. 20 kesukaannya semenjak daripada kecil itu. Dia terpaksa pulang ke kampung halamannya di Pulau Sabit, Pulau Pinang dan menjalani kehidupan seperti remaja biasa yang lain iaitu hanya menumpukan perhatian untuk berjaya dalam pelajaran di sekolah. Itulah kehendak ibunya kerana ibu Rayzal tidak pernah merestui karier sebagai pemian bola sepak dan amat gembira dengan khabar berita tersebut.

Kini, Rayzal mendapatkan peluang kedua untuk menyarung kembali jersi bola sepaknya walaupun hanya bermain untuk pasukan kecil Rovers FC di bawah kendalian Amri, rakan baiknya dahulu. Tetapi dia tetap dengan sikapnya yang ego dan selalu menyalahkan dirinya sendiri lagi-lagi apabila peristiwa lamanya semasa bermain bola sepak dengan Amri sering menghantui dirinya.

Kejayaan menjulang piala dalam pemainan bola sepak terletak kepada semangat berpasukan dan persefahaman antara pemian dalam membuat hantaran yang berbahaya sehingga membuka peluang untuk menjaringkan gol kemenangan. Tapi tidak bagi Rayzal apabila dia sering bertindak sendirian apabila emosi dan perasaan ingin tunjuk hebatnya menguasai diri. Malah ia membuatkan Ariana semakin membenci dirinya.

Segala-galanya mula berubah hanya disebabkan oleh seekor ikan paus yang dijumpai Rayzal di tepi pantai. Sifat tidak putus asa dengan diri sendiri dan orang lain malah menghargai pasukan bola sepaknya mula membentuk diri Rayzal menjadi seorang yang lebih baik. Rayzal akhirnya sedar, bola sepak telah membuatkan dia sudah tidak kenal erti keseronokan sebenar bermain permainan tersebut apabila matlamatnya hanyalah kemenangan, menyertai pasukan hebat dan besar serta mendapatkan ganjaran wang semata-mata.

Adakah dia berjaya membantu Rovers FC kekal dalam liga utama bagi musim hadapan? Adakah hubungannya dengan Amri dan Ariana kembali pulih selepas persitiwa pahit yang berlaku 3 tahun lepas? Apakah penerimaan ibu Rayzal apabila mengetahui anaknya menipunya dan tetap ingin bermain bola sepak?

Apa yang Disukai daripada Buku ini:

Saya berjaya menghabiskan pembacaan dalam tempoh tidak sampai dua hari. Saya tidaklah mengenali penulis novel ini bahkan hanya mengetahui namanya ketika berkongsi tentang reviu buku ini. Namun, plot dan jalan cerita yang menarik, menyentuh pelbagai aspek nilai dan moral dalam kehidupan membuatkan saya tertarik untuk terus membaca dan menghabiskannya secepat mungkin. Ibarat kita makan makanan kesukaan kita. Cepat sahaja ingin menghabiskannya di samping menikmati keenakan rasanya.

Pada awalnya saya tertanya-tanya juga apa kaitan dan perhubungannya gambar ikan paus pada bahagian hadapan kulit buku ini dengan kisah suka duka seorang remaja yang meminati permainan bola sepak? Rupanya ada kisah yang boleh diteladani daripada peristiwa Rayzal terjumpa ikan pasu tersebut terdampar di tepi pantai. Gaya penulisan pula tidaklah bombastik dan meleret-leret sehingga susah untuk difahami.

Secara keseluruhan, gaya penulisannya sangat santai dan catchy, mudah difahami walaupun untuk mereka yang baharu sahaja di peringkat sekolah rendah. Malah, penerapan nilai murni dan unsur budaya masyarakat setempat dirasakan sangat dekat dengan diri kita yang sememangnya berasal daripada tanah air tercinta ini.

Apa yang Tidak Disukai dan Penambahbaikan bagi Buku ini:

Menyebut berkenaan kekurangan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap isi penulisan atau lakaran kulit buku ini, saya bukanlah pakar untuk mengolah dan menterjemahkannya dalam bentuk kritikan yang membina. Walaubagaimanapun, pada awalnya saya menganggap buku ini adalah buku yang bertemakan cinta-cintun disebabkan oleh tulisan tajuk bukunya dalam bentuk tulisan berangkai dengan penggunaan warna yang tidak terlalu menonjol.

Terdapat juga lakaran watak seorang lelaki bermain bola dan seorang perempuan yang duduk di atas jeti. Oh, memang saya sudah tertipu betul dengan lakaran kulit buku ini jika saya tidak meneliti sinopsis jalan cerita di bahagian belakang kulit buku ini. Tetapi bagi saya ia tetap menarik kerana ia secara tidak langsung dapat menarik minat remaja untuk sekurang-kurangnya mengambil buku ini di rak dan meneliti serba sedikit isi buku ini sebelum bercadang untuk membeli dan membacanya. Penutup cerita ini bagi saya sudah cukup ramuannya tanpa perlu ditambah dan diperbaiki kerana ia penutup yang menyeluruh. Apa yang telah dimulakan oleh penulis, ditutup dengan amat baik sekali tanpa menimbulkan persoalan dan tanda tanya kepada pembaca.

Rekomen

Buku ini saya amat rekomenkan kepada para remaja (12 tahun – 17 tahun) khususnya walaupun anda bukanlah peminat bola sepak. Walaupun saya berumur 20-an, buku ini tetap memberi kesan kepada saya. Jadi, secara amnya, semua peringkat umur sesuai untuk membacanya. Lagi-lagi apabila ia turut menceritakan bagaimana seorang ibu cuba untuk memahami minat dan kehendak anaknya. Buku ini tidaklah menyentuh berkenaan bola sepak semata-mata kerana ia lebih berfokus terhadap perhubungan, kehidupan seorang remaja yang keliru dan ingin berubah serta ego yang akhirnya memakan diri dan orang lain.

Bola sepak boleh dikatakan sebagai hiasan dan jambatan untuk menyambung jalan cerita daripada satu plot ke satu plot yang lain sahaja. Apa-apa pun, saya meletakkan skor 8/10 bagi buku ini. Skor yang agak tinggi bagi saya kerana ia berjaya menyentuh dan mencuit emosi saya serta memberikan pengajaran yang boleh diteladani dalam menjalani kehidupan seharian kita.